Rejim Zionis Culik Warga Palestin Ketika Serangan Waktu Subuh di Tebing Barat

Isnin, 29-11-2021 – Rejim Zionis pada awal pagi Rabu lalu telah menculik sejumlah warga Palestin, termasuk seorang wanita, semasa kempen serangan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Menurut sumber tempatan, rejim Zionis menculik seorang ibu berusia 50 tahun bernama Nabila Abul-Sabri dan anaknya Bilal dari rumah mereka di kem pelarian al-Jalazon di utara Ramallah.

Rejim Zionis juga menculik seorang bekas tahanan dikenali sebagai Thaer Samad’ah dan mengeluarkan saman daripada Shin Bet kepada seorang lagi belia bernama Mohamed Abul-Sabri untuk disoal siasat, semasa kempennya di kem al-Jalazon.

Rejim Zionis juga menyerbu rumah tahanan Abdullah al-Barghouthi di bandar Beit Rima, barat laut Ramallah dan menculik anaknya Osama.

Di Tulkarem, rejim Zionis menculik dua belia yang dikenali sebagai Khaled Abul-Izz dan Amr Teem dari rumah mereka di bandar Zeita.

Di Nablus, rejim Zionis menyerbu beberapa rumah di kampung Deir Sharaf dan Lubban ash-Sharqiya, termasuk rumah MP Jamal at-Tirawi.

Di timur Baitulmaqdis, pasukan polis Israel menculik seorang pemuda bernama Anas Qanbar selepas menggeledah rumahnya di kawasan kejiranan Jabel Mukaber.

Dalam kejadian berasingan, tiga pekerja Palestin dari bandar Bir Nabala di timur Baitulmaqdis cedera apabila rejim Zionis menyerang kereta yang mereka naiki berhampiran kem al-Jalazon di Ramallah.

Sumber tempatan memberitahu, seorang daripada pekerja itu mengalami kecederaan akibat peluru getah dan yang lain cedera akibat kesan terhidu gas pemedih mata.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul