Wartawan Palestin di Istanbul Protes Pembunuhan Abu Akleh

Rabu, 18-05-2022 – Wartawan Palestin menganjurkan perhimpunan di hadapan Konsulat Israel di Istanbul pada hari Khamis sebagai protes terhadap pembunuhan Shireen Abu Akleh, wartawan Al Jazeera di Palestin ketika beliau membuat liputan pasukan Israel yang menyerbu kem pelarian Jenin di Tebing Barat pada hari Rabu.

“Perhimpunan itu diadakan sebagai mengutuk jenayah berdarah Israel terhadap rakan sekerja kami Shireen Abu Akleh,” kata pengurus pejabat Al Jazeera Media Network di Turki, Abdul Azim Mohammed kepada Quds Press sambil menegaskan bahawa jenayah kejam itu tidak boleh terlepas dari hukuman.

Wartawan Palestin, Abdullah Al-Saafin memberitahu Quds Press bahawa menyasarkan Abu Akleh secara terancang adalah percubaan untuk mengekang pengaruhnya. Beliau menambah bahawa pembunuhan Israel terhadap Abu Akleh tidak akan menghalang wartawan Palestin daripada membuat liputan tentang jenayah Israel.

sumber : https://english.palinfo.com
penterjemah : Neina Mukhtar