
Jumaat, 18/04/2025 – Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim, mengesahkan bahawa Pergerakan itu bersedia untuk merundingkan satu perjanjian menyeluruh yang akan membawa kepada gencatan senjata kekal, pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza, pembukaan semula lintasan sempadan, dan permulaan usaha pembinaan semula — sebagai pertukaran kepada perjanjian pertukaran tahanan yang serius dan bermaruah.
Dalam kenyataan kepada media pada hari Rabu, Naim menegaskan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan kerajaan sayap kanannya kekal sebagai satu-satunya halangan kepada perjanjian tersebut, didorong oleh kepentingan peribadi dan perhitungan politik.
“Ini adalah pendirian tetap Pergerakan, dan tanpanya, tiada perjanjian yang boleh dicapai. Sebarang ilusi yang dibangkitkan oleh Netanyahu untuk melanjutkan perang akan membawa kesan buruk kepada semua pihak — terutamanya tahanan mereka sendiri,” katanya.
Beliau juga menolak keras idea perjanjian secara berperingkat, sambil berkata, “Penipuan perjanjian separa sebagai pertukaran makanan dan air, sementara pembunuhan beramai-ramai masih berlaku, adalah sesuatu yang sudah berlalu.”
Penterjemah : Norshuhada Samudin