Rejim Zionis Culik dan Serang Puluhan Warga Palestin di Bandar Ya’bad

Khamis, 14-05-2020 – Rejim Zionis telah menculik puluhan warga Palestin dan mencederakan ramai yang lain semasa beberapa serbuan ganas di bandar Ya’bad, di sebelah barat Jenin, setelah seorang askar mati disebabkan kecederaan parah di kepala dalam kejadian melempar batu di sana.

Sumber tempatan memberitahu seorang wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) bahawa tentera Israel menggeledah puluhan kediaman di kawasan al-Salamah di bandar itu dan mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 penduduk tempatan, termasuk ketua keluarga berserta isteri dan anak-anak mereka.

Pertembungan antara belia tempatan dengan tentera Israel dilaporkan telah berlaku di pelbagai kawasan di bandar. Semasa kejadian tersebut, puluhan orang cedera akibat tembakan Israel atau terkena asap gas pemedih mata.

Saksi juga melaporkan bahawa semasa penangkapan dan siasatan di tempat kejadian, kelihatan tentera menyerang secara fizikal sejumlah penduduk tempatan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul