Isnin, 13/07/2026 – Pusat Sosial Sada mengungkapkan bahawa sepanjang Jun 2026 berlaku 911 pelanggaran digital yang mensasarkan konten Palestin. Pelanggaran tersebut berasal dari aktiviti pengguna media sosial mahupun tindakan menghadkan yang dilakukan oleh syarikat teknologi.
Dalam laporan yang dikeluarkan, Pusat Sosial Sada menyebutkan bahawa sebanyak 891 pelanggaran dilakukan oleh pengguna media sosial. Bentuk pelanggaran itu meliputi tulisan berunsur kebencian, penyebaran maklumat salah dan hasutan. Sementara itu, 20 pelanggaran lainnya dilakukan oleh platform digital dalam bentuk penghapusan konten, menghadkan jangkauan dan penutupan akaun.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa Telegram menjadi platform dengan jumlah pelanggaran pengguna terbanyak. Platform ini mencatat peningkatan signifikan dalam kes tulisan berunsur kebencian dan penghinaan yang mencapai 725 kes yang merupakan bentuk pelanggaran yang paling dominan sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, laporan juga mencatatkan pelbagai kes hasutan, ancaman, tuduhan “terorisme” serta penyebaran disinformasi yang beredar melalui Telegram.
Isnin, 13/07/2026 – Dari awal pagi, pantai Gaza mula menerima ribuan penduduk yang telah menemui satu-satunya tempat perlindungan daripada kepanasan musim panas yang terik, selepas khemah-khemah perpindahan bertukar menjadi tempat yang tidak tertanggung dengan peningkatan suhu, gangguan bekalan elektrik yang berterusan dan kekurangan air.
Di atas pasir yang luas, bunyi ombak bercampur dengan ketawa kanak-kanak, sementara bunyi pesawat perang dan letupan sentiasa kedengaran di latar belakang.
Sebuah babak yang merangkumkan realiti Gaza yang luar biasa; kanak-kanak cuba mencuri saat-saat kegembiraan, dan ibu-ibu lebih banyak memerhatikan langit daripada anak-anak mereka.
Abu Ahmed Al-Dahdouh duduk di bawah payung compang-camping yang dibuatnya daripada sehelai kain, memerhatikan anak-anaknya bermain di dalam air.
Dia memberitahu wartawan Pusat Maklumat Palestin: “Khemah itu sangat panas, terutamanya pada waktu tengah hari. Kanak-kanak tidak boleh duduk di dalamnya, jadi kami datang ke laut bila-bila masa yang kami boleh. Sekurang-kurangnya di sini ada sedikit udara untuk melegakan mereka.”
Dia menambah, sambil memandang ke arah ufuk: “Kami tidak mencari tempat berkelah, kami mencari tempat di mana kami boleh bernafas.”
Tidak jauh darinya, Ummu Muhammad Abu Awda sedang membentangkan selimut kecil di atas pasir, sementara anak-anaknya berlari-lari di antara ombak.
Dia berkata: “Selama berbulan-bulan anak-anak saya tidak tahu apa itu kehidupan normal. Tiada sekolah, tiada taman, tiada tempat bermain. Laut telah menjadi segalanya bagi mereka, walaupun kami hanya tinggal di dalamnya selama beberapa jam.”
Dia menyambung: “Setiap kali kami mendengar bunyi letupan, kami memeluk anak-anak kami rapat dengan kami, tetapi kemudian kami membiarkan mereka bermain semula. Kami tidak mahu mereka membesar tanpa mengetahui apa-apa selain ketakutan.”
Di seberang pantai, Abdul Rahman Al-Masri yang berusia 10 tahun sedang membina istana pasir, bersama adik perempuannya…
Isnin, 13/07/2026 – Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) pada Isnin menggesa Israel supaya segera membebaskan Dr. Hussam Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, sambil menyifatkan penahanannya sebagai “sewenang-wenangnya”.
Dalam satu kenyataan, UNHRC berkata penahanan Dr. Abu Safiya oleh Israel melanggar beberapa peruntukan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta satu lagi perjanjian utama antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.
UNHRC turut menyuarakan kebimbangan bahawa Israel mungkin sedang mengamalkan penahanan sewenang-wenangnya secara meluas dan sistematik.
Pada Sabtu lalu, pertubuhan Physicians for Human Rights memberi amaran bahawa keadaan kesihatan Dr. Abu Safiya telah merosot dengan ketara selepas beliau dipindahkan ke sayap Rakevet di Penjara Nitzan, yang terletak di bandar Ramla. Penterjemah : Norshuhada Samudin
Selasa, 07/07/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata delegasi pergerakan itu meneruskan pertemuan dengan pihak pengantara di Kaherah bagi hari ketiga berturut-turut untuk membincangkan mekanisme pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta langkah ke arah fasa kedua perjanjian tersebut.
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen pada Khamis, Qassem menjelaskan bahawa rundingan tertumpu kepada penyempurnaan baki perkara yang masih belum dilaksanakan dalam fasa pertama perjanjian, selain membincangkan pendekatan praktikal bagi memulakan fasa kedua. Menurut beliau, usaha sedang dilakukan untuk merangka mekanisme yang berkesan bagi mempercepat pelaksanaan perjanjian itu.
Qassem menegaskan bahawa Hamas meneliti semua cadangan dengan penuh “kesungguhan dan tanggungjawab”, sambil meletakkan kepentingan rakyat Palestin sebagai keutamaan, khususnya dalam usaha menamatkan peperangan di Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berkesan.
Beliau turut menggesa semua pihak yang terlibat agar mengambil langkah serius untuk melaksanakan perjanjian tersebut serta memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi semua syarat yang telah dipersetujui.
Qassem juga menekankan keperluan untuk segera mengaktifkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Semenanjung Gaza, yang menurutnya dapat membantu menangani keadaan semasa di wilayah itu serta menyokong kejayaan pelaksanaan gencatan senjata.
Delegasi Hamas yang diketuai oleh Zaher Jabarin, pemimpin pergerakan itu di Tebing Barat yang diduduki, tiba di Kaherah dua hari lalu untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir dan pihak pengantara mengenai penyempurnaan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Perbincangan tersebut merangkumi usaha memastikan Israel mematuhi komitmennya untuk membenarkan bekalan keperluan asas memasuki Gaza, termasuk bahan yang diperlukan bagi membaik pulih hospital, kedai roti, dan infrastruktur kritikal lain, selain melaksanakan baki perkara yang masih tertangguh dalam perjanjian berkenaan.
Rundingan itu turut membincangkan pelan tindakan yang disediakan oleh Nikolay Mladenov dengan kerjasama pihak pengantara bagi fasa kedua perjanjian. Pelan tersebut merangkumi pengaktifan jawatankuasa pentadbiran serta pasukan perlindungan antarabangsa, yang seterusnya membawa kepada pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Pada 13 Jun, Hamas telah menyerahkan maklum balas daripada pelbagai fraksi Palestin terhadap cadangan pelan tindakan yang diterima pada 19 April. Dalam respons itu, Hamas menegaskan keperluan untuk melaksanakan sepenuhnya fasa pertama perjanjian, khususnya protokol kemanusiaan serta penghentian sepenuhnya serangan Israel ke atas Gaza.
Sepanjang bulan Jun, Kaherah menjadi tuan rumah kepada beberapa siri pertemuan yang melibatkan Hamas, kumpulan-kumpulan Palestin lain dan pihak pengantara. Pertemuan tersebut berjaya menghasilkan pendirian bersama dalam kalangan pihak Palestin. Pusingan rundingan semasa pula memberi tumpuan kepada langkah-langkah praktikal untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata, menyempurnakan fasa pertama, menghentikan serangan dan pembunuhan bersasar oleh Israel, membuka semula pintu sempadan, serta memulakan operasi Jawatankuasa Kebangsaan bagi pentadbiran Gaza.
Selasa, 07/07/2026 – Platform “Al-Haris” yang dikaitkan dengan jentera keselamatan gerakan pertahanan di Semenanjung Gaza telah memberi amaran mengenai cubaan melampau kumpulan-kumpulan yang mempunyai kaitan dengan pihak penjajah Israel. Kumpulan tersebut menyasarkan masyarakat Gaza bagi pengedaran dadah dan bahan-bahan yang mencurigakan.
Dalam satu kenyataan akhbar, pihak pengawal menegaskan bahawa kegiatan kumpulan-kumpulan ini yang berlindung disebalik nama keselamatan namun hakikatnya mereka sedang berusaha menggugat keselamatan masyarakat melalui penyeludupan narkotik. Kejadian ini merupakan satu lagi usaha untuk merosakkan minda golongan muda dan melemahkan struktur sosial masyarakat Gaza.
Kenyataan akhbar itu turut menambah bahawa tindakan mengeksploitasi kesukaran dan bebanan yang di hadapi masyarakat dengan menyeludup bahan-bahan tersebut merupakan satu jenayah terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka sekaligus mendedahkan peranan kumpulan-kumpulan ini dalam mencetuskan kekacauan dan merosakkan keutuhan barisan dalaman rakyat Gaza.
Platform itu turut menggesa rakyat untuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan mereka, serta terus berhati-hati terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan yang melibatkan promosi atau pengedaran narkotik mahupun bahan terlarang. Laporan perlu dibuat sekiranya mendapati sebarang tingkah laku atau pergerakan yang mencurigakan melalui saluran “Murasalat al-Haris”. Jurucakap pasukan sekali lagi menekankan bahawa melindungi masyarakat adalah tanggungjawab bersama dan pentingnya menghadapi alat dan taktik penjajahan bermula dengan kesedaran kendiri dan penolakan apa-apa yang mengancam keselamatan rakyat Palestin dan masa depan anak-anak mereka.
Sumber keselamatan di Semenanjung Gaza juga mendedahkan usaha untuk menyeludup sejumlah besar narkotik melalui laluan yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap yang juga dikenalpasti bekerjasama dengan penjajah. Walaupun penghantaran sebelum ini berjaya dirampas, manakala mereka yang terlibat juga telah pun ditahan dibawah undang-undang yang berkaitan namun tetap tidak menjamin halangan dapat dikekalkan.
Sumber tersebut menyatakan bahawa tindakan jenayah ini merupakan sebahagian daripada usaha dan instrumen pihak penjajah bagi menggugat keselamatan sekaligus merosakkan fabrik sosial masyarakat. Jurucakap turut berikrar bahawa agensi keselamatan itu akan terus berusaha menjejaki sesiapa sahaja yang cuba mengancam keselamatan dan kestabilan rakyatnya.
Rabu, 01/07/2026 – Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, pada hari Isnin mengumumkan bahawa segala persiapan telah diselesaikan bagi pembinaan tiga penempatan baharu di kawasan utara Semenanjung Gaza, dan kini hanya menunggu kelulusan akhir daripada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Ketika mengadakan lawatan ke penempatan Sderot, Smotrich berkata Israel bersedia untuk memulakan pembinaan tiga penempatan tersebut dengan segera sebaik sahaja mendapat “lampu hijau” daripada Netanyahu.
Menurut laporan media Israel, Smotrich menyatakan bahawa Israel telah bersedia untuk menubuhkan tiga bandar baharu di utara Semenanjung Gaza dan menggesa Netanyahu memberikan kelulusan muktamad bagi pelaksanaan rancangan berkenaan.
Rabu, 01/07/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam ketiadaan tindakan masyarakat antarabangsa selepas seorang kanak-kanak perempuan terbunuh pada petang Isnin di Khan Yunis, susulan serangan udara Israel yang mengenai khemah-khemah perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan khemah-khemah tersebut terbakar.
Dalam satu kenyataan media, Qassem berkata kanak-kanak itu menyertai “puluhan ribu kanak-kanak” yang, menurut Hamas, telah terbunuh sepanjang peperangan akibat pengeboman, kebuluran, penafian rawatan perubatan, ketakutan, serta kehilangan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa.
Beliau berkata kejadian-kejadian ini berlaku ketika “dunia hanya melihat dan mendengar tanpa mengambil tindakan,” sambil mengkritik tindak balas Liga Arab, parti-parti politik, parlimen, para ulama, dan golongan intelektual di seluruh dunia Arab, serta Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah, yang didakwanya hanya berdiam diri ketika peristiwa ini berlaku.
Qassem menambah bahawa mereka yang terus berdiam diri sepanjang konflik ini “akan dipertanggungjawabkan di hadapan Yang Maha Kuasa” kerana gagal bertindak, sambil berkata sikap membisu mereka berterusan di hadapan peperangan yang sedang berlaku di Gaza.
Rabu, 01/07/2026 – Pusat Kajian dan Survei Palestin menerbitkan sebuah makalah penyelidikan berjudul “Perang terhadap Tubuh Palestin: Kekerasan Seksual di Antara Strategi Penaklukan dan Sistem Impuniti (pesalah tidak dikenakan tindakan)”, yang mengulas dakwaan penggunaan kekerasan seksual sebagai sebahagian daripada strategi dalam sistem penjajah Israel.
Dalam penerbitannya, badan tersebut menyatakan bahawa kajian ini mengungkap adanya tindakan yang dinilai berbahaya dalam pola penggunaan kekerasan seksual, bukan sebagai tindakan individual tetapi instrumen strategi dalam sistem penjajah.
Makalah tersebut disusun berdasarkan sejumlah dokumen dan laporan rasmi antarabangsa, terutama laporan Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa (PBB) yang diterbitkan pada Mei 2026. Menurut kajian tersebut untuk pertama kalinya memasukkan Israel ke dalam senarai pihak yang dicurigai melakukan kekerasan seksual dalam situasi konflik.
Selain itu, penelitian tersebut memuatkan pelbagai bukti yang didokumentasikan dari pusat-pusat penahanan, serta laporan organisasi hak asasi manusia antarabangsa. Menurut badan pengkaji tesebut, dokumen-dokumen yang diteliti menunjukkan bahawa dakwaan pelanggaran tersebut bukan merupakan insiden yang terpencil, melainkan bahagian daripada pola yang bersifat sistematik dengan tujuan mempermalukan serta melemahkan masyarakat Palestin.
Pusat Kajian dan Survei Palestin menyatakan bahawa penyelidikan ini merupakan langkah penting dalam memperkuat naratif Palestin di peringkat antarabangsa. Penelitian tersebut menggabungkan analisis politik, undang-undang, sosial dan psikologis untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai persoalan yang dikaji.
Rabu, 01/07/2026 – Pertubuhan hak asasi manusia Israel, B’Tselem, telah mendokumentasikan pembunuhan 54 kanak-kanak dan remaja Palestin oleh pasukan pendudukan Israel di Tebing Barat sepanjang tahun 2025.
Organisasi itu berkata dalam laporan yang diterbitkan pada hari Isnin bahawa kebanyakan kanak-kanak itu terbunuh dalam keadaan di mana mereka tidak menimbulkan sebarang ancaman langsung, sementara pihak berkuasa pendudukan masih menahan mayat sebahagian daripada mereka sehingga hari ini.
Dia menjelaskan bahawa pasukan pendudukan telah membunuh 54 kanak-kanak dan remaja Palestin di Tebing Barat sepanjang tahun 2025, dengan menyatakan bahawa 21 daripada mereka terbunuh walaupun tidak menyertai sebarang konfrontasi.
Beliau menambah bahawa 13 orang lagi terbunuh, didakwa kerana melontar batu ke arah pasukan pendudukan atau jalan raya, tanpa sebarang kecederaan direkodkan dalam kalangan pasukan Israel.
Menurut laporan itu, 47 kanak-kanak dan budak lelaki terbunuh akibat tembakan peluru hidup, manakala tujuh yang lain terbunuh akibat serangan udara yang dilakukan oleh pasukan pendudukan.
Beliau menegaskan bahawa 11 kanak-kanak dan remaja terbunuh akibat tembakan daripada pasukan pendudukan dalam serangan hendap, manakala sembilan kanak-kanak bawah umur, termasuk dua kanak-kanak perempuan, terbunuh semasa serbuan di bandar-bandar Palestin yang tidak menyaksikan penangkapan atau konfrontasi.
Laporan itu menyatakan bahawa beberapa kanak-kanak terbunuh di dalam atau berhampiran rumah mereka, manakala yang lain terbunuh semasa melalui kawasan itu atau semasa di tempat kerja mereka.
Beliau juga melaporkan bahawa empat kanak-kanak bawah umur terbunuh semasa operasi penangkapan, manakala tujuh yang lain terbunuh dalam serangan udara, termasuk empat yang berada di halaman rumah mereka atau di jalanan.
Laporan itu menunjukkan bahawa dua budak lelaki lain terbunuh kerana disyaki melakukan serangan terhadap pasukan pendudukan.
B’Tselem mengesahkan bahawa pasukan pendudukan telah menghalang atau menghalang pasukan perubatan atau warganegara daripada sampai ke 13 kanak-kanak dan remaja, yang bersamaan dengan kira-kira satu perempat daripada kes.
Beliau menambah bahawa dalam sekurang-kurangnya sembilan kejadian, askar melepaskan tembakan ke udara atau ke arah paramedik dan orang awam untuk menghalang mereka daripada sampai ke mangsa yang cedera.
Dalam beberapa kes, pasukan pendudukan juga menghalang pemindahan mangsa yang cedera ke hospital, dan tidak jelas sama ada mereka menerima sebarang rawatan sebelum kematian mereka.
Organisasi itu mengesahkan bahawa, sehingga 29 Jun 2026, pihak berkuasa pendudukan masih menahan mayat 18 kanak-kanak dan budak lelaki daripada 54 orang yang terbunuh pada tahun 2025.
Beliau berhujah bahawa dasar ini melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak keluarga mereka untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anak mereka, mengebumikan mereka, dan mengadakan upacara berkabung untuk mereka, sekali gus memburukkan lagi penderitaan mereka.
Selasa, 23/06/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem pada hari Khamis menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk memberi tekanan kepada kerajaan Zionis agar menghentikan pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza bagi membolehkan pelaksanaan komponen-komponen lain dalam rancangan itu bagi menamatkan perang.
Dalam satu kenyataan akhbar, Qassem berkata bahawa kenyataan Trump mengenai komitmen penuh Hamas terhadap gencatan senjata adalah “kedudukan positif” dan mencerminkan keseriusan kumpulan itu dalam melaksanakan perjanjian yang bertujuan untuk menamatkan perang di Gaza.
Trump mengumumkan pelan 20 perkara pada 29 September 2025, yang bertujuan untuk menamatkan perang ke atas Gaza. Cadangan itu termasuk pembebasan tawanan Zionis, pelucutan senjata Hamas, pengunduran Zionis secara berperingkat dari Semenanjung Gaza, pembentukan kerajaan teknokratik dan pengerahan pasukan penstabilan antarabangsa.
Fasa pertama pelan itu berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025. Hamas berulang kali mengatakan bahawa ia tetap komited terhadap keperluan perjanjian itu, sambil menuduh Zionis gagal menegakkan kewajipannya, meneruskan pelanggaran, dan menghalang kemajuan ke arah fasa kedua.
Walaupun Trump mengumumkan pelancaran fasa kedua perjanjian itu pada pertengahan Januari, perselisihan pendapat dilaporkan masih wujud mengenai bagaimana peruntukan utama harus dilaksanakan, terutamanya yang berkaitan dengan pengunduran Zionis, usaha pembinaan semula dan masa depan senjata Palestin.
Perjanjian gencatan senjata dicapai selepas dua tahun perang di Gaza yang bermula pada 8 Oktober 2023. Menurut angka rasmi Palestin, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 173,000 cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur awam Gaza telah rosak atau musnah.
Selasa, 23/06/2026 – Kementerian Kesihatan Lubnan pada Khamis mengumumkan bahawa jumlah korban akibat serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac telah meningkat kepada 3,912 orang terbunuh, manakala 11,873 lagi cedera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Khamis, Pusat Operasi Kesihatan Kecemasan kementerian itu memaklumkan bahawa jumlah kumulatif mangsa akibat serangan Israel sepanjang tempoh 2 Mac hingga 18 Jun kini mencecah 3,912 kematian dan 11,873 kecederaan.
Angka tersebut diumumkan ketika serangan udara dan bedilan Israel terus menyasarkan beberapa bandar dan kampung di selatan Lubnan, termasuk serangan langsung terhadap kenderaan awam.
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa seorang rakyat Lubnan terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran bandar Kfar Tebnit di selatan negara itu.
Agensi itu turut melaporkan bahawa sebuah dron Israel menggugurkan bom di bandar Beit Yahoun di selatan Lubnan, menyebabkan dua individu cedera.
Selatan Lubnan menyaksikan peningkatan ketegangan yang berterusan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk serangan udara, bedilan artileri dan pelbagai operasi ketenteraan lain di tengah-tengah konflik yang berlarutan di kawasan sempadan.
Sementara itu, Hezbollah memaklumkan bahawa tentera Israel masih berada di pinggir selatan Kfar Tebnit berhampiran Arnoun dan pertempuran di kawasan tersebut masih berlanjutan.
Dalam kenyataan kepada media pada Khamis, kumpulan itu berkata tentera Israel telah cuba mara ke arah Kfar Tebnit dan Bukit Ali al-Taher selama empat hari berturut-turut, namun menegaskan bahawa kawasan tersebut akan terus menjadi penghalang kepada kemaraan pasukan darat Israel.
Hezbollah turut mendakwa bahawa pejuangnya telah menghadapi serangan tentera Israel menggunakan peluru berpandu dan dron, menyebabkan korban dalam kalangan tentera serta memaksa mereka berundur dari kawasan berkenaan.
Perkembangan terbaharu ini berlaku ketika pertempuran di selatan Lubnan terus memuncak, meskipun kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap kesan kemanusiaan dan keselamatan yang berpunca daripada konflik tersebut.
Selasa, 23/06/2026 – Korban serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac lalu meningkat kepada 3,798 dan mencederakan seramai 11,781 orang menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam memaklumkan jumlah korban akibat serangan berterusan Israel kini mencecah 3,798 dan 11,781 cedera, dengan serangan terus menyasarkan pelbagai kawasan di seluruh Lubnan, khususnya di selatan negara itu.
Angka terkini ini adalah susulan peningkatan semula ketegangan di selatan Lubnan, apabila tentera Israel terus melancarkan serangan udara dan serangan ke atas kawasan kediaman serta orang awam sejak awal pagi, menyebabkan peningkatan angka korban dan kerosakan.
Selasa, 23/06/2026 – Pasukan penjajah Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza. Hal ini terjadi ketika meningkatnya indikasi kesenjangan yang semakin lebar antara komitmen yang dinyatakan dan pelaksanaan sebenar di lapangan dengan latar belakang keadaan aspek kemanusiaan yang memburuk dengan begitu cepat.
Sebuah laporan Pejabat Media Kerajaan mencatatkan 3269 pelanggaran perjanjian gencatan senjata sepanjang 245 jam. Pelanggaran tersebut mengakibatkan 992 warga Palestin syahid dan 3138 lainnya cedera akibat serangan yang terus berlangsung. Laporan itu juga mendokumentasikan penangkapan 95 warga Palestin sepanjang tempoh yang sama.
Dari aspek kemanusiaan, laporan itu mengungkapkan adanya halangan ketat terhadap masuknya bantuan ke Semenanjung Gaza. Hanya 52740 trak dari 147000 trak yang sepatutnya masuk hingga akhir tahun yang telah diizinkan masuk. Angka tersebut menunjukkan tahap kepatuhan hanya 36% sahaja. Hal ini mencerminkan halangan berterusan terhadap aliran bantuan, meskipun keperluan terus meningkat.
Mengenai aspek perjalanan, pihak penjajah hanya mengizinkan 6845 pelancong dari 19600 orang yang sepatutnya diizinkan meninggalkan Semenanjungr Gaza melalui laluan darat Rafah. Tingkat kepatuhannya hanya 35%. Keadaan ini menyukarkan pesakit dan mereka yang memerlukan bantuan kemanusiaan untuk mendapatkan rawatan atau melakukan perjalanan.
Angka-angka tersebut mencerminkan pola pelanggaran yang berterusan oleh penjajah Israel yang merosakkan keberkesanan perjanjian gencatan senjata.
Selasa, 23/06/2026 – Gerakan Perjuangan Islam (Hamas) pada Isnin mengecam keputusan Mahkamah Rayuan Britain yang mengekalkan larangan terhadap organisasi Palestine Action, dengan menyifatkan keputusan itu sebagai “bermotif politik” dan bertujuan menyekat gerakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, Hamas mendakwa keputusan tersebut dibuat akibat “tekanan kumpulan Zionis” dan bertujuan untuk memburu serta menakut-nakutkan aktivis yang menyokong hak rakyat Palestin serta menentang operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.
Menurut Hamas, pengharaman organisasi itu merupakan satu usaha untuk membungkam suara-suara yang menolak apa yang disifatkannya sebagai sokongan atau sikap berdiam diri sesetengah kerajaan Barat terhadap tindakan Israel, ketika konflik di Gaza masih berterusan. Penterjemah : Farah Najwa
Selasa, 16/06/2026 – Pergerakan Hamas merakamkan ucapan takziah atas pemergian tahanan Palestin, Emad Sarhan, 48, yang berasal dari Haifa, selepas syahid di dalam penjara Gilboa milik Israel setelah lebih 24 tahun berada dalam tahanan.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas menyifatkan kematiannya sebagai satu lagi jenayah yang menambah senarai panjang pelanggaran terhadap tahanan Palestin.
Hamas menegaskan bahawa Sarhan syahid akibat dasar pengabaian perubatan yang disengajakan serta penyeksaan yang dikenakan terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel. Menurut Hamas, para tahanan kini berdepan pelanggaran yang semakin membimbangkan dan mengancam nyawa mereka.
“Pihak perkhidmatan penjara Israel terus menafikan hak tahanan untuk mendapatkan rawatan perubatan serta menempatkan mereka dalam keadaan yang amat sukar sebagai sebahagian daripada dasar sistematik yang bertujuan menyeksa dan mematahkan semangat mereka,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Hamas menegaskan keyakinannya bahawa tindakan sedemikian tidak akan berjaya melemahkan ketabahan dan keazaman para tahanan Palestin.