Al-Qassam: Kami tidak akan benarkan musuh memeras ugut untuk dapatkan sesuatu yang gagal mereka dapatkan melalui peperangan.

Jumaat , 20/02/2009 – Briged Izzuddin al-Qassam, sayap tentera HAMAS menegaskan isu gencatan senjata mempunyai aliran tersendiri dengan matlamat tertentu dan jelas yang ingin dicapai, iaitu pembukaan pintu-pintu sempadan, pembatalan sekatan atau kepungan dan penamatan atau pemberhentian sebarang bentuk permusuhan. Mengaitkan gencatan senjata dengan isu-isu lain tidak akan berhasil sama sekali.

Abu Ubaidah, jurucakap Briged al-Qassam menegaskan dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web “al-Qassam” pada hari Rabu (18/2), adalah menjadi hak Briged al-Qassam dan para pejuang Palestin yang lain untuk membalas tindakan permusuhan Zionis yang dilakukan melalui penerusan kepungan dan penutupan pintu-pintu sempadan.

Manakala berhubung isu pertukaran tawanan di antara pihak pejuang dan Zionis, beliau menegaskan, “isu pertukaran tawanan dengan pihak Zionis mempunyai aliran yang khusus dan matlamat lain yang jelas, iaitu pihak Zionis hendaklah memberikan komitmen terhadap syarat-syarat yang kami kemukakan untuk pembebasan tentera mereka, Shalit, dengan membebaskan seluruh tawanan yang kami tuntut secara terperinci dalam senarai yang jelas. Kami tidak akan menerima pengecualian sebarang nama daripada senarai tersebut.”

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah :  muhajir