Rafah : Penduduk Palestine dihimpunkan dan ditembak


RAFAH, 19/5/ 2004 – Massej Online – Kekejaman terbaru yang dilakukan oleh Israel di Rafah baru-baru ini menyaksikan tentera Israel telah mengarahkan lelaki Palestin yang berumur 16 tahun ke atas di Rafah berdekatan Tel Sultan untuk berhimpun di sekolah UNWRA Al Amariya.

Prosedur ini mengingatkan kembali tindakan sama Israel sebelum ini di Tebing Barat dimana mereka melakukan penggeledahan rumah ke rumah, memaksa mereka berhimpun di jalan-jalan dan sekolah-sekolah kemudian mengelaskan lelaki-lelaki Palestin mengikut kumpulan umur tertentu. Kemudiannya mereka akan menangkap dan memenjara lelaki-lelaki ini secara beramai-ramai.

Keadaan ini amat dibimbangi terutamanya terhadap nasib mereka yang ditahan. Dalam bulan April 2003 pihak tentera Israel melakukan perkara yang sama iaitu dengan menghimpunkan secara berbondong-bondong lelaki Palestin dari khemah pelarian Tulkarem di Tebing Barat. Tentera menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan mereka berhimpun di padang Sekolah Perempuan UNRWA.

Mereka kemudiannya akan melakukan penggeledahan rumah ke rumah. Sesiapa yang dijumpai masih berada dalam rumah akan ditahan. Pada mulanya Tentera Israel menahan mereka di sekolah tersebut selama 3 hari. Tetapi kemudiannya menghalang mereka untuk kembali ke rumah masing-masing. Keadaan ini juga mengingatkan tentang kejadian pada tahun 1948 dan 1967 dimana mereka telah melakukan pengusiran besar-besarn terhadap rakyat Palestin.

Kini, di Rafah, kesemua mereka yang ditahan tersebut memang terdiri darpada pelarian. Penahanan dan pengusiran seperti ini menguatkan lagi andaian tentang usaha kempen pemusnahan etnik oleh rejim haram Israel.

Situasi di Rafah pada waktu ini adalah amat kritikal. Dilaporkan yang penduduk Palestin telah diusir dari rumah mereka. Ramai diantara mereka ditembak dijalan-jalan raya. Empat kanak-kanak antara yang ditembak di sekolah. Mereka kini dalam ketakutan. Sekiranya mereka meninggalkan rumah, mereka akan ditembak dijalan. Sekiranya mereka pergi berlindung ke sekolah, mereka masih tidak tahu nasib yang sedang menunggu mereka disana, ditambah lagi dengan perkhabaran yang ada antaranya yang telah ditembak di sana.

Dilaporkan tentera Israel telah menahan 20-30 pemuda Palestin, kemudiannya menghimpunkan mereka di jalan di Tel al-Sultan. Di sini mereka diseksa dengan bulldozer dan tank tentera yang akan dipandu secara membabi-buta ke arah mereka.

Dianggarkan jumlah kematian sebanyak 33 orang. Seramai 1000 penunjuk perasaan dari Rafah keluar ke Tel al-Sultan untuk membantah kekejaman Israel ini. Tentera Israel membalas dengan melepaskan tembakan daripada menara kawalan serta menggunakan helikopter Apache dan melepaskan 2 peluru berpandu ke arah orang ramai. Lapan orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 30 yang lain cedera parah.

Pihak bantuan kesihatan Palestin dan organisasi hak asasi manusia telah merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai masyarakat Palestine oleh rejim haram Israel.

sumber : massej.info

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.