Asal Usul HAMAS (Part 2)


Oleh : Maszlee Malik

Kemunculan Fatah sebenarnya merupakan usaha Khalil al-Wazir bersama rakan-rakannya di dalam IM yang lain. Ketika mereka mengusulkan penubuhan Fatah demi menjadi pelindung kepada IM daripada menerima nasib seperti IM di Mesir, pimpinan IM di Gaza tidak mengambilnya dengan seirus.

Kesannya, Khalil bersama-sama dengan rakan-rakannya seperti Salim Za’nun, Salah Khalaf, As’ad al-Saftawi, Kamal ‘Udwan, Abu Yusuf Najjar, Ghaleb Wazir dan lain-lain telah meneruskan perancangan mereka. Mereka bersikap lebih agresif lagi apabila mereka merekrut ahli-ahli IM yang lain untuk menyertai Fatah. Keadaan ini pada awalnya terkawal, tetapi akhirnya mendapat perhatian para pimpinan IM Gaza apabila melihat semakin ramai anggota IM telah menyertai Fatah.

Fatah yang bergantung kepada sokongan negara-negara Arab lain semakin hari semakin jauh daripada IM dan juga corak perjuangan IM. Menurut Fatah, pendekatan IM sudah lapuk dan memerlukan refomasi untuk memastikan perjuangan kemerdekaan Palestin lebih disertai oleh ramai orang. Akhirnya, pada tahun 1960, IM mula menyatakan pendirian mereka terhadap Fatah. Mereka mengisyhtiharkan penentangan mereka terhadap perjuangan Fatah. Tindakan IM ini merupakan perpecahan buat pertama kalinya di antara para pejuang Palestin.

IM di Gaza pula lebih

menumpukan aktivisme mereka kepada usaha merekrut ahli-ahli yang baru untuk generasi

yang lebih mantap di masa hadapan untuk membebaskan Palestin.


Natijah daripada penolakan tersebut, IM menjadi semakin terpinggir dan Fath menjadi semakin popular. IM telah mengambil langkah kembali menyusun generasi mendatang yang akan bertanggung jawab memerdekakan Palestin dan berundur buat seketika dari lapangan politik dan penentangan bersenjata. Dari tahun 1957, semenjak Khalil al-Wazir mengemukan cadangnya untuk menubuhkan Fatah, sehinggalah tahun 1987, IM telah menyepikan diri daripada lapangan jihad dan politik. Pada tahun 1968-70, anggota IM yang ingin menyertai perjuangan bersenjata akan menggunakan platform Fatah. Situasi ini dapat dilihat pada jihad “Muaskar Syuyukh” (di bawah bendera Fatah) menentang rejim Zionis yang dilancarkan oleh para anggota IM pada tahun-tahun tersebut. Mereka digelar sebagai “Syuyukh” adalah kerana imej Islamik yang mereka bawa.

Tahun-tahun 70’an pula menyaksikan bagaimana kedua-dua buah pertubuhan (IM dan Fatah) menjadi semakin berbeza. Fatah menjadi sebuah pertubuhan sekular dan nasionalis semata-mata. Mereka menjadi semkain terpisah daripada akar ideologi Islam mereka yang pernah diimani sewaktu bersama IM. IM di Gaza pula lebih menumpukan aktivisme mereka kepada usaha merekrut ahli-ahli yang baru untuk generasi yang lebih mantap di masa hadapan untuk membebaskan Palestin. Mereka menumpukan kepada usaha pembinaan masjid dan mengumpulkan anak-anak muda di masjid.

Bagi IM di Tebing Barat pula keadaannya berbeza. Penglibatan mereka dengan aktiviti jihad melalui “muaskar syuyukh” ataupun “fidaiyeen” telah menjadikan mereka sebahagian daripada Fath. Apa yang menarik, hatta Fath sendiri pun tidak pernah terlibat dengan apa yang dilakukan oleh para “Muaskar Syuyukh” tersebut. Keadaan ini berterusan sehinggalah terletus perselisihan faham di antara PLO yang didominasi Fatah dengan Raja Hussein di Jordan yang dikenali yang membawa kepada pertempuran di antara PLO dan tentera Jordan pada September 1970. Kesan daripada perbalahan ini, PLO telah dihalau keluar dari Jordan ke Lubnan. IM di Tebing Barat pada waktu itu mengambil sikap berkecuali dan akhirnya terpaksa menurut jejak langkah rakan-rakan mereka di Gaza. Mereka kembali menumpukan usaha pembinaan generasi.

IM Palestin selepas 1970

Hasil daripada usaha “pembinaan generasi” IM di Gaza dan Tebing Barat selepas 1970 akhirnya membuahkan hasil. Kebanyakan masjid-masjid di Gaza dan juga anak-anak muda berada di bawah pengaruh IM. Begitu juga halnya dengan para pemuda dan penuntut- penuntut universiti. Di dalam setiap pilihanraya di universiti-unversiti di Palestin, pasti para pelajar pro-IM akan memenanginya. Ini telah memberikan tamparan hebat kepada PLO dan Fatah pada waktu itu. IM telah memberikan fasa perjuangan mereka di Palestin kepada beberapa fasa. Tahun-tahun 1965 sehingga 1970 dipanggil sebagai fasa pembinaan masjid. Tahun-tahun 1975 sehingga 1980 pula dikenali sebagai fasa pembinaan institusi sosial, badan-badan kebajikan, pembinaan kelab-kelab pemuda dan juga penguasaan universiti.


Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin karismatik IM dan juga orang yang bertanggung jawab

membina generasi muda IM di Gaza telah ditangkap.

Permulaan tahun 80’an pula telah menyaksikan bagaimana suasana di Palestin mula berubah. Kegagalan usaha kumpulan kiri, revolusi Iran 1979 dan juga kemenangan parti Likud yang ekstrim di Israel telah memberikan satu momentum kepada perjuangan Islam di Palestin. Kebangkitan Islam di kalangan rakyat Palestin juga telah menyumbang kepada suasana yang serba baru ini. Natijahnya, “Saraya Jihad al-Quds” ataupun lebih dikenali sebagai kumpulan Jihad Islami mula muncul. Mereka sebenarnya merupakan kumpulan pecahan dari IM di Gaza yang kecewa dengan kelambatan IM untuk mengumumkan jihad terhadap rejim Zionis. Fathi Shikaki, pengasas Jihad Islami merupakan seorang yang begitu mengkagumi revolusi Iran telah menyatakan pendiriannya ini ketika menubuhkan Jihad Islami. Para anggotanya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada di antara mereka yang berlatar belakangkan IM, ada yang terpengaruh Jamaat Islamiyyah dari Mesir, dan ada yang pengkagum revolusi Iran.

Tahun 1984 telah menyaksikan bagaimana persediaan IM untuk melancarkan jihad telah dibongkar rejim Zionis. Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin karismatik IM dan juga orang yang bertanggung jawab membina generasi muda IM di Gaza telah ditangkap. Pelbagai penangkapan lagi telah dilakukan oleh pihak rejim terhadap aktivis IM. Akhirnya suasana tahun 1984-87 yang serba getir ini telah melonjakkan aktivisme IM untuk muncul sebagai sebuah gerakan jihad di Palestin setelah sekian lama “mengeram”. Pada tahun 1985, kepimpinan IM di Palestin telah memobilisasikan para aktivis IM di seluruh Gaza dan Tebing Barat agar turut turun menyertai demonstrasi untuk berhadapan dengan musuh.

Penubuhan HAMAS

Akhirnya pada tahun 1987, IM telah mula menstrukturkan gerakan mereka. Syeikh Ahmad Yassin telah dipilih menjadi pengasas dan pemimpin spiritual HAMAS setelah sekian lama menjadi ketua biro politik IM (yang merupakan biro paling utama IM) di Gaza. Syeikh Salah Syahadah pula dilantik menjadi ketua sayap ketenteraan mereka. Operasi pertama yang mereka lancarkan pada September 1987 oleh Yahya al-Ghoul dan Salah Syahadah walaupun kecil impaknya, namun telah menjadi mercu tanda permulaannya lembaran jihad yang baru bagi IM di Palestin. Keadaan kucar-kacir itu memuncak pada 6 Disember apabila kumpulan Jihad Islami telah berjaya membunuh seorang warga Zionis. Rakyat Israel yang marah telah bertindak balas yang membawa kepada insiden pelanggaran 13 rakyat Palestin oleh warga Zionis menggunakan trak sewaktu mereka pulang dari kerja. Kesannya, empat orang telah meninggal dunia, manakala sembilan yang lainnya pula cedera parah.

Kemarahan rakyat Palestin yang memuncak telah membawa kepada

siri-siri demonstrasi di seluruh Palestin.


Kemarahan rakyat Palestin yang memuncak telah membawa kepada siri-siri demonstrasi di seluruh Palestin. Keadaan ini telah memberikan satu peluang kepada IM untuk mengisytiharkan wajah baru mereka. Wajah perjuangan jihad yang telah lama mereka tinggalkan. Wajah jihad berteraskan Islam demi menggantikan kegagalan perjuangan para sekularis dan golongan kiri yang gagal membawa kesan terhadap kemerdekaan bumi Palestin. Akhirnya, pada 8 Disember 1987 HAMAS telah ditubuhkan bersama dengan terletusnya Intifadah rakyat palestin yang pertama. Ianya ditubuhkan hasil perundingan di antara enam orang pengasas utama HAMAS, iaitu Syeikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz al-Rantisi, Salah Syahadah, Muhammad Sham’ah, Isa al-Nashshar, Abdul Fattah Dukkhan dan Ibrahim al-Yazuri.

Penubuhan HAMAS dan pengisytiharan Intifadah itu akhirnya telah tersebar ke seluruh Gaza kepada seluruh anggota IM dan rakyat Palestin pada 11 dan 12 Disember. Ianya tersebar di Tebing Barat pula pada 14 dan 15 Disember. Intifadah 1987 itu sebenarnya merupakan tanda bermulanya siri jihad IM bersama rakyat di bumi Palestin secara massa dengan nama baru mereka… HAMAS!