Selasa, 10-09-2019 – Rejim Zionis (IOF) telah menculik lapan warga Palestin sewaktu Subuh selepas merampas rumah mereka di Tebing Barat dan BaitulMaqdis.
Tentera Israel mendakwa dalam satu kenyataan bahawa pasukannya menangkap tujuh orang Palestin di Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, IOF menculik dua belia dari rumah mereka di bandar Rujeib, timur Nablus, dan bandar Beit Kahil, barat al-Khalil. Mereka dikenali sebagai Ghazi Abu Mustafa dan Mu’taz Asafera.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nurul
Selasa, 10-09-2019 – Segerombolan penduduk haram pelampau Yahudi telah menyerang warga Palestin dan harta benda mereka Rabu lalu, di pekan-pekan Madama dan Burin, di selatan Nablus di kawasan terjajah Tebing Barat.
Menurut sumber tempatan, berdozen-dozen penduduk haram dari kawasan Yitzhar merusuh kawasan selatan Madama dengan dibantu perlindungan anggota keselamatan dan tentera, dan telah membakar dan memusnahkan beberapa batang pokok zaitun.
Apabila beberapa orang penduduk tempatan Madama cuba bersemuka dengan perusuh berkenaan, anggota tentera telah campur tangan dan melepaskan gas pemedih mata, dan menyebabkan kecederaan ke atas penduduk tempatan.
Di dalam kejadian berasingan, penduduk haram di kawasan yang sama telah menceroboh pada waktu malam ke dalam pekan Burin berdekatan dan menyebabkan kerosakan ke atas beberapa pokok zaitun.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Selasa, 10-09-2019 - Pengarah Jabatan Urusan Pelarian Hamas, Iyad al-Maghari mengatakan, pihaknya telah bersiap-sedia untuk mengadakan Persidangan Kerakyatan dengan tema "Menghadapi 'Deal of Century' dan Melindungi Hak Kembali” pada Ahad petang (5/9) di Rashad Al Shawa Pusat Balai, Kota Gaza.
Dalam pernyataan kepada akhbar Safa, Al-Maghari mengatakan, Kongres Rakyat ini dilakukan sebagai bentuk penegasan atas hak kembali bangsa Palestin, khususnya Gaza yang tidak menerima tawar-menawar atau lalai dalam penolakanya terhadap 'Deal of Century' Amerika serta semua konspirasi dan rancangan untuk menyelesaikan masalah Palestin.
Beliau menambah bahawa misi dari kongres ini adalah bahawa para pelarian Palestin akan tetap memperjuangkan hak-hak kembali mereka sebagai hak kolektif dan tidak akan menjual aset-aset mereka secara individu kepada pihak Israel, tak boleh berlaku tawar-menawar dan dilepaskan.
"Kami tak akan melepaskan tanah dan rumah atau tempat suci kami dan kami akan melawan penjajahan Israel hingga pembebasan dan kembali" katanya. Beliau mengisyaratkan bahawa persidangan tersebut akan menegaskan bahawa 'Deal of Century' tidak akan berlalu begitu saja.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Jumaat, 06-09-2019 - Ahmed Bahar, wakil ketua Dewan Legislatif Palestin, mengatakan bahawa pemerintah penjajah Zionis sedang menghala ke dalam perang agama.
Hal tersebut ditegaskan Ahmed Bahar dalam sebuah pernyataan akhbar pada Rabu (4/9/2019) malam. Beliau merujuk kepada penyerbuan Masjid Ibrahimi di kota Hebron yang dilakukan oleh Presiden Zionis Israel Robin Rivlin yang beberapa jam kemudian disusuli oleh PM Zionis Benjamin Netanyahu.
Beliau memperingatkan penjajah Israel agar tidak bermain dengan api dan menegaskan bahawa Netanyahu akan menjadi orang pertama yang terbakar oleh api yang akan menggulingkan pemerintahannya dan entiti perampas tersebut yang didirikan atas dasar pembunuhan, jenayah, terorisme dan pertumpahan darah.
Bahar menegaskan bahawa kota Hebron akan tetap murni menjadi kota Palestin selamanya dan merupakan bahagian berkait yang tidak terpisah dari Palestin bersejarah. Ia dilindungi dengan nyawa dan darah oleh rakyatnya yang berjiwa panglima dan perjuangannnya yang gagah berani.
Beliau menegaskan bahawa Netanyahu dan entiti buatannya akan hancur dengan izin Allah.
Bahar menyeru untuk dilakukan intifadhah rakyat Palestin untuk melindungi tempat-tempat suci dan mengekang rancangan pendudukan penjajah Israel.Beliau turut meminta masyarakat antarabangsa agar segera menyokong dan bergerak secepatnya untuk menghentikan serangan Zionis yang dilakukan secara terang-terangan terhadap Masjid Ibrahimi dan tempat-tempat suci Palestin. Ia merupakan pelanggaran secara jelas terhadap undang-undang antarabangsa, perjanjian dan konvensyen tentang kebebasan beribadah dan agama.
sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman
Jumaat, 06-09-2019 –Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu hari Rabu lalu telah mencemarkan Masjid Ibrahimi di al-Khalil, hanya beberapa jam setelah Presiden Israel Reuven Rivlin melawat kawasan yang sama.
Lawatan Netanyahu berkenaan hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya di Israel, dan Perdana Menteri berkenaan bertujuan ingin meraih undi daripada penduduk haram Israel.
“Kami bukannya asing di Hebron. Kami akan tinggal di sana selama-lamanya,” ucap Netanyahu ketika menghadiri majlis sempena memperingati 90 tahun sejak 60 orang Israel dibunuh di al-Khalil ketika Revolusi Palestin Al-Buraq dalam tahun 1929.
Masjid Ibrahimi terletak di Bandar Lama al-Khalil yang didiami oleh kira-kira 400 penduduk haram Yahudi di bawah kawalan keselamatan yang ketat oleh askar Israel.
Pihak berkuasa Kementerian Luar Negara Palestin mengutuk sekeras-kerasnya lawatan Netanyahu, dan menyifatkannya sebagai berunsur “perkauman” dan “provokatif”.
“Lawatan ini adalah ternyata penjajahan yang berbaur perkauman, yang telah dirancang Netanyahu di ketika kemuncak pilihanraya, dalam usaha untuk meraih undi daripada pihak-pihak berhaluan kanan dan pihak pelampau kanan,” menurut kenyataan rasmi pihak kementerian.
Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin berkata bahawa lawatan berkenaan adalah suatu tindakan meruncing yang serius yang akan “mengheret kawasan ini ke dalam perang keagamaan yang akan mendatangkan akibat yang sangat buruk.”
Gerakan Perjuangan Islam, Hamas, telah mengecam lawatan berkenaan dan menekankan bahawa al-Khalil, Baitulmaqdis dan seluruh Palestin akan sentiasa kekal sebagai Arab, dan apa sahaja usaha pihak Israel untuk mengubah identiti mereka akan menemui kegagalan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Jumaat, 06-09-2019 – Human Right Defenders (HRD) al-Khalil menyatakan bahawa mereka tidak boleh menerima perbuatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mencemar kemuliaan Masjid Ibrahim dan mengesa penduduk di bandar itu supaya menyuarakan rasa marah mereka terhadap lawatan tersebut.
Melalui satu kenyataan media, HRD mengingatkan bahawa sebenarnya lawatan Netanyahu ke al-Khalil adalah untuk menyokong pendatang haram Yahudi dan memberi gambaran bahawa bandar itu adalah bandar Yahudi. HRD menyeru semua penduduk yang menetap di Bandar Lama al-Khalil, Jalan al-Shuhada, Tel Rumeida, Wadi al-Husain, Haret Jaber, al-Salaymeh dan Wadi al-Gharus membantah lawatan Netanyahu itu dengan memasang bendera Palestin di atas bumbung rumah masing-masing.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Jumaat, 06-09-2019 – Jurucakap Hamas, Hazem Qasem dengan tegas mengecam kerajaan Shtayyeh kerana berterusan melakukan perbuatan yang memburukkan isu kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan mendalamkan lagi pembahagian antara Palestin.
Dalam kenyataan akhbar pada hari Selasa, jurucakap Qasem mengatakan bahawa Gerakannya telah memberi amaran untuk membentuk kerajaan dari konsensus nasional dan mewakili kepentingan Pergerakan Fatah.
Beliau menambah bahawa kerajaan Shtayyeh tidak berusaha untuk mengangkat sekatan ke atas Gaza dan mengabaikan panggilan negara untuk mengakhiri sekatan tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor syuhada
Jumaat, 06-09-2019 – Sekumpulan peneroka haram Yahudi pada hari Rabu pagi mencemarkan Masjid al-Aqsa di Jerusalem Dijajah sambil dikawal ketat oleh pasukan polis Israel haram.
Pengurus kompaun al-Aqsa Sheikh Omar al-Kiswani berkata sejumlah besar peneroka pelampau Israel menceroboh ke tempat suci melalui Pintu al-Maghareba yang berada di bawah kawalan Israel sepenuhnya.
Sheikh al-Kiswani mengatakan bahawa peneroka melakukan lawatan provokatif di dalam masjid sementara para pengawal al-Aqsa menghalang mereka yang cuba melakukan ritual Talmud di tempat Islam.
Penduduk haram Israel hampir setiap hari menyerang Masjid al-Aqsa di bawah kawalan polis yang ramai.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen
Khamis, 05-09-2019 – Tentera rejim zionis Israel meroboh sebuah masjid di kawasan selatan Bandar al-Khalil, Tebing Barat.
Menurut kata saksi, dua jentolak milik rejim Israel memasuki kawasan Jabal Juhar di al-Khalil pada awal pagi dan mula menolak bangunan masjid yang masih dalam pembinaan itu.
Tambah saksi itu lagi, pihak rejim mendakwa bahawa masjid itu terletak di kawasan C yang merupakan kawasan dibawa pentadbiran eksklusif pihak Israel berdasarkan Perjanjian Oslo.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Khamis, 05-09-2019 – Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan Isnin lalu berkata bahawa lapan tahanan Palestin di penjara Israel telah melancarkan mogok lapar. Mereka melancarkan mogok lapar dalam tempoh yang berbeza-beza, sebagai menyatakan bantahan terhadap tahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas mereka.
Suruhanjaya berkenaan menyatakan bahawa tahanan Huthaifa Halabiya, seorang penduduk pekan Abu Dis di bahagian timur Baitulmaqdis, telah bermogok lapar selama 64 hari, dan kesihatan beliau diakatakan semakin merosot setiap hari.
Tahanan-tahanan lain adalah Ahmad Ghannam, Sultan Khalouf, Ismail Ali, Tareq Qa’dan, Naser al-Jada’, Thaer Hamdan, Fadi al-Horoub, dan Anas Awwad, dan mereka telah bermogok lapar untuk tempoh yang berbeza-beza di antara 25 – 51 hari.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Jumaat, 30-08-2019 – Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Nickolay Mladenov berkata pada Selasa yang meskipun sejak dua bulan lepas suasana agak tenang, situasi di Gaza masih lagi sangat genting di mana kejadian keganasan terus berlaku.
Bercakap di Mesyuarat Majlis Keselamatan tentang Timur Tengah, Mladenove memberi amaran kepada Israel agar menggunakan tindakan bersenjata hanya sebagai pilihan terakhir apabila berurusan dengan para pemprotes atau warga di sempadan.
Pegawai PBB itu turut menekankan tentang situasi kesihatan disifatkannya sebagai sedang dalam krisis.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Jumaat, 30-08-2019 – Rejim Zionis telah menyerbu pekan-pekan Beitunia dan Ein ‘Arik yang teletak di sebelah barat bandar Ramallah, Tebing Barat, Rabu lalu.
Sumber tempatan melaporkan bahawa sebilangan kenderaan tentera Israel yang membawa askar bersenjata telah memasuki Beitunia dan bertembung dengan penduduk Palestin.
Sumber yang sama juga melaporkan bahawa Rejim Zionis telah menyerang orang awam Palestin dengan gas pemedih mata dan bom pegun.
Rejim Zionis kemudiannya telah menyerbu Ein ‘Arik, menggeladah beberapa kediaman penduduk Palestin, dan merampas beberapa rakaman kamera litar tertutup.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul
Khamis, 29-08-2019 – Puluhan pendatang Yahudi pada pagi Isnin mencemarkan dataran Masjid Aqsa dengan kawalan polis rejim.
Menurut Pihak Berkuasa Waqaf di Baitulmuqaddis, polis rejim menutup Pintu Masjid Maghariba pada pukul 11 pagi setelah sekurang-kurangnya 56 pendatang melawat kota suci itu.Saksi mata turut melaporkan menyaksikan sebahagian para pendatang mengerjakan ibadat Talmud ketika lawatan mereka ke masjid itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Khamis, 29-08-2019 – Pesuruhjaya Jeneral UNRWA Pierre Krahenbuhl berkata bahawa dunia tidak merasai realiti penderitaan, kesakitan dan kekecewaan yang dialami penduduk Semenanjung Gaza.
Menurut kenyataan media yang dibuat di Bandar Gaza, baru-baru ini, beliau menimbulkan fakta yang rakyat Palestin di wilayah Gaza telah dinafikan hak paling asasi.
Beliau berkata lagi, dia telah mengadakan pertemuan penting dengan pegawai di Gaza beberapa hari yang lalu dan menambah sebab beliau datang semula ke Gaza adalah bagi melancarkan acara tahun sekolah baru yang beliau nyatakan sebagai satu upacara yang sangat penting untuk pelarian Palestin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Khamis, 29-08-2019 – Satu delegasi dari Gerakan Islam, Hamas, yang diketuai oleh ahli biro politik Rawhi Mushtaha tiba di Kaherah pada petang Isnin untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Mesir.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata dalam satu kenyataan akhbar pada hari Selasa bahawa mereka akan menghadiri pertemuan mengenai usaha yang dilakukan untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan serangan Israel yang berterusan terhadap Palestin.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada siri lawatan yang dilakukan oleh pemimpin Hamas di Gaza ke Mesir untuk membincangkan hubungan dua hala serta perkembangan terkini di Palestin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ameen