Haneyya: Satu delegasi Hamas akan menyambung semula rundingan gencatan senjata di Kaherah tidak lama lagi

Rabu , 08-05-2024 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya telah bersetuju dengan Perdana Menteri dan menteri luar Qatar, Mohamed Al Thani dan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata bagi menamatkan pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza.

Menurut sumber dari pejabatnya, Haneyya bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Qatar dan berbincang perkembangan terkini berkaitan rundingan gencatan senjata.

Haneyya menekankan kesungguhan Pergerakannya untuk mengkaji cadangan gencatan senjata yang diterima baru-baru ini, dan menyatakan penghargaannya kepada Qatar atas peranannya dalam usaha sebagai pengantara.

Pemimpin Hamas itu juga menelefon ketua perisik Mesir dan bercakap dengannya mengenai usaha gencatan senjata itu.

Beliau berterima kasih kepada Mesir atas usaha besarnya untuk menamatkan perang ke atas Gaza, dan menegaskan bahawa delegasi peringkat tinggi dari Pergerakan Hamas akan melawat Kaherah tidak lama lagi untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata bagi mencapai persetujuan menamatkan pencerobohan terhadap penduduk Gaza dan memenuhi tuntutan keadilan mereka.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Norliza Baharom