Rabu, 12-01-2022 – Regim Zionis Israel (IOF) melakukan serbuan dan kempen penangkapan besar-besaran di seluruh Tebing Barat dan Baitulmaqdis pada subuh Isnin.
Menurut Pejabat Media Asra, tentera IOF menangkap 17 rakyat Palestin, tiga daripadanya ditangkap di bandar Beita di Nablus. Enam lagi rakyat Palestin telah ditahan di Baitulmaqdis yang dijajah, termasuk dua bekas banduan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor Syuhada
Rabu, 12-01-2022 – Sebilangan besar pasukan polis Israel menaiki kenderaan berbeza telah menyerbu kawasan timur Beersheba di padang pasir Negev pada pagi Isnin dan menyerang penduduk tempatan ketika jentolak sedang meratakan kawasan tanah milik sebuah keluarga di situ.
Menurut sumber setempat, jentolak besar milik pihak berkuasa pembangunan Badwi yang diiringi oleh pasukan polis memulakan operasi meratakan tanah secara besar-besaran di atas tanah milik keluarga Attrash sebagai permulaan untuk merampas kawasan itu dan mengubahnya menjadi kawasan taman terbuka.
Tentera Israel juga bertempur dengan penduduk tempatan dan menyerang serta menangkap beberapa daripada mereka semasa operasi itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Rabu, 12-01-2022 – Ketua biro politik Hamas Ismail Haneyya mengesahkan bahawa “Zionis tiada masa depan di tanah Palestin” dan “Palestin akan kekal hidup di dalam minda rakyat Palestin dan Arab dan negara-negara Islam”.
Haneyya berkata di dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada petang hari Ahad bahawa “tiada jalan lain selain mengembalikan rakyat Palestin ke tanah air mereka dan kampung-kampung dari mana mereka diusir”. Ketua Hamas tersebut menggariskan kesungguhan pergerakannya berkenaan mendapatkan kebebasan rakyat Palestin daripada penjara-penjara Israel, menjelaskan pembebasan mereka sebagai “satu isu negara yang paling cemerlang”.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Selasa, 11-01-2022 – Puluhan pendatang Yahudi yang dilindungi oleh polis mencemarkan Masjid Aqsa pada pagi Ahad.
Menurut sumber tempatan, puluhan pendatang termasuk pelajar institusi keagamaan memasuki masjid dalam pelbagai kumpulan melalui pintu Maghariba Gate dan berkeliaran di dataran pada waktu pagi.
Ketika berada di kota suci Islam itu, mereka mendengar ceramah oleh para rabbi tentang kuil yang didakwa dan membuat provokasi dengan mengerjakan ibadah Talmud.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa, 11-01-2022 – Menara pemerhati Rejim Zionis dihujani molotov cocktail berhampiran Bandar Awarta, Selatan Nablus. Menurut sumber tempatan, tindakan para belia Palestin itu mencetus kebakaran di sekitar pintu masuk utama bandar tersebut. Rejim Zionis membalas dengan beberapa tembakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Huzaifah Abd Jamil
Selasa, 11-01-2022 – Tahanan adminsitratif di penjara Israel memasuki hari kesembilan melakukan pemboikotan terhadap mahkamah Israel sebagai langkah protes terhadap penahanan administratif yang dikenakan terhadap mereka.
Para tahanan administratif Palestin mengumumkan pada 1 Januari lalu sebagai langkah protes menolak penahanan administratif terhadap mereka dan mereka mula memboikot mahkamah Israel.
Para tahanan administratif menuntut langkah semua pihak untuk mendokong langkah mereka dan mewar-warkan ketidakadilan yang menimpa mereka.
Kempen di media sosial dilancarkan Khamis lalu dengan motto “Keputusan Kami adalah Pembebasan” dalam rangka menyokong 500 tahanan administratif di penjara Israel dalam usaha untuk memboikot mahkamah Israel kerana ini adalah alat yang melegitimasi kejahatan penahanan administratif terhadap mereka
Ratusan warga Palestin menjadi sasaran penahanan administratif setiap tahun oleh pihak penjajah Israel dan terperosok di penjara tanpa ditentukan jangka waktu berakhirnya penahanan mereka dengan alasan adanya “rahsia” yang tidak dapat capai oleh tahanan sendiri atau peguamnya.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Selasa, 11-01-2022 – Persatuan Banduan Palestin (PPS) berkata pada hari Ahad bahawa kesihatan banduan yang diserang kanser Nasser Abu Hamid sudah merosot ke tahap kritikal.
Dalam kenyataan Facebook mereka, PPS berkata bahawa penjara Israel memberitahu banduan di penjara Ashkelon, tempat Abu Hamid ditempatkan sebelum dia dibawa ke Hospital Barzilai, bahawa “nyawanya berada dalam sangat bahaya.”
PPS menambah bahawa apa yang dikatakan oleh penjaga penjara itu menunjukkan bahawa kesihatan Abu Hamid menjadi lebih teruk.
Banduan Abu Hamid mengalami demam yang sangat tinggi beberapa hari lalu dan telah dipindahkan segera ke hospital.
Dia menghidap kanser paru-paru dan baru-baru ini mula mengambil dos kemoterapi selepas pihak Israel sengaja melengah-lengahkan serta mengabaikan keperluan perubatannya.
Bagaimanapun, menurut doktor yang mengawasi keadaannya, Abu Hamid menghidap radang paru-paru akut akibat jangkitan kuman yang menyebabkan kegagalan paru-paru dan koma.
Abu Hamid, 49 tahun dari kem pelarian al-Am’ari di Ramallah, telah dipenjarakan sejak 2002, menjalani tujuh hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 50 tahun penjara.Beliau mempunyai empat saudara lelaki yang juga menjalani hukuman penjara seumur hidup.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 11-01-2022 – Gerakan Hamas memberi amaran kepada Israel akan akibat buruk jika mereka berterusan menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berkelakuan agresif terhadap pegawai dan pekerja Wakaf Islam di kota suci itu.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Hamas Mohamed Hamada menyifatkan kegigihan pihak berkuasa dalam menganiaya, menangkap dan menghalau pegawai dan pekerja Masjid Al-Aqsa sebagai “pencerobohan terang-terangan” dan “campur tangan” dalam hal ehwal Masjid.
Hamada juga mengutuk percubaan berulang kali Israel untuk menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan di premis masjid itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Selasa, 11-01-2022 – Rejim Israel pada malam tadi dan waktu subuh hari Ahad telah menculik sejumlah orang awam Palestin di Baitullaham dan Baitulmuqaddis.
Menurut sumber tempatan, rejim Zionis menculik Amer Taqateqa, 17 tahun dan Mohamed Taqateqa, 22 tahun dari rumah mereka di bandar Beit Fajjar.
Di Nablus, rejim Zionis memecah masuk dan menyelongkar sebuah rumah milik Faleh Awa’yes di bandar Burqa, dan bertempur dengan sekumpulan pemuda di kem pelarian Aqabat Jabr di Jericho.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 10-01-2022 – Tentera Israel pada hari Khamis memaklumkan keluarga tahanan Palestin yang dituduh membunuh seorang peneroka Yahudi tentang tindakan mereka untuk merobohkan rumahnya di Jenin sebagai tindakan hukuman.
Jurucakap tentera Israel berkata keluarga tahanan Mahmoud Jaradat di Jenin telah dimaklumkan mengenai keputusan tentera yang mengarahkan pemusnahan rumahnya.
Pemuda itu dan yang lain telah dituduh melakukan operasi menembak baru-baru ini yang mengorbankan seorang peneroka dan mencederakan dua lagi daripada kumpulan pelampau Hilltop Youth berhampiran tapak pemindahan Homesh pada 16 Disember 2021.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 10-01-2022 – Anggota biro politik Hamas, Husam Badran telah menegaskan bahawa pihak penentang Palestin itu tidak akan terus berdiam diri dalam isu sekatan Israel di Semenanjung Gaza.
Dalam kenyataan akhbar kepada agensi berita Anadolu pada hari Rabu, Badran berkata bahawa hari-hari mendatang akan membuktikan kepada semua orang bahawa pihak penentang itu tidak akan mengecewakan rakyatnya, sambil menambah bahawa “kepimpinan penentang menghantar mesej jelas bahawa Pedang Baitulmaqdis masih terhunus.”
Beliau menegaskan bahawa semua percubaan Israel untuk mengelak persefahaman terakhir mengenai gencatan senjata ke atas Gaza tidak akan berhasil, sambil menambah bahawa Hamas sentiasa berhubung dengan Mesir dan beberapa orang tengah untuk meredakan sekatan ke atas Gaza.
Bagaimanapun, beliau berkata bahawa hubungan Pergerakannya dengan pengantara masih belum membuahkan sebarang kemajuan ketara atau jelas yang boleh dirasai oleh penduduk Gaza, terutamanya berkaitan usaha pembinaan semula.
Pegawai Hamas itu mengulangi penolakan pergerakan tersebut terhadap sebarang prasyarat Israel untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza atau mengadakan perjanjian pertukaran tahanan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Isnin, 10-01-2022 – Seorang pemuda Palestin telah terbunuh pada subuh Khamis apabila seorang pendtaang Yahudi yang memandu laju melanggarnya ketika beliau berjalan ke tempat kerja.
Mangsa dikenali sebagai Mustafa Filna, 25 tahun, bapa seorang bayi berusia 16 bulan dari Kampung Safa, barat kota Ramallah.
Salah seorang saudaranya menyatakan, pada pukul 6 pagi, Mustafa sedang menyeberangi jalan apabila sebuah kereta yang dibawa laju oleh pendatang melanggarnya dan menyebabkan beliau cedera seterusnya maut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Isnin, 10-01-2022 – Berpuluh pemuda warga Palestin menderita akibat pendedahan kepada gas pemedih mata pada petang hari Rabu semasa pertempuran dengan tentera rejim Israel dan puak pelampau penceroboh Yahudi di perkampungan Qaryut, selatan Nablus.
Menurut sumber tempatan, sekumpulan penceroboh Yahudi menyerang mata air perkampungan tersebut dan projek pertaniannya; dan menyebabkan kemusnahan pada pintu dan pagarnya.
Aktivis tempatan Bashar Qaryuti berkata penduduk tempatan bersegera ke mata air tersebut untuk melindunginya dan menghalau penceroboh sebelum tentera rejim Israel masuk campur untuk melindungi penceroboh dan mula melepaskan bom gas pemedih mata ke arah penduduk kampung.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Jumaat, 07-01-2022 – Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, kesihatan tahanan yang merupakan pesakit kanser Nasser Abu Hamid semakin teruk pada Selasa.
Menurut PPS, Abu Hamid telah diberi bantuan alat pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Barzilai, di mana beliau dimasukkan empat hari lalu. Beliau menderita demam teruk beberapa hari lalu dan dipindahkan segera ke hospital.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Jumaat, 07-01-2022 – Peneroka Yahudi memusnahkan puluhan pokok zaitun di utara bandar Kafr ad-Dik, barat Salfit, di utara Tebing Barat pada malam Selasa.
Sumber setempat mengesahkan bahawa sekumpulan peneroka dari penempatan haram Aley Zahav telah mencabut 50 pokok zaitun milik petani tempatan Saleh Al-Shannar. Insiden itu berlaku selepas tentera Israel memusnahkan kawasan tanah Kafr al-Dik, sebagai sebahagian daripada rancangan pembesaran penempatan Aley Zahav.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar