Selasa, 31-03-2020 – Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza telah melancarkan rayuan terhadap masyarakat antarabangsa sejumlah $23 juta untuk membantunya menghadapi dan membendung penyebaran coronavirus di kawasan yang serba kekurangan.
“Untuk menghadapi coronavirus di Gaza, kami menyeru masyarakat dan institusi kebajikan antarabangsa untuk segera menyumbang 23 juta dollar,” jurucakap kementerian kesihatan Ashraf Qudra menyatakan pada sidang akhbar Khamis lepas.
“Kementerian Kesihatan sangat bimbang tentang kekurangan ubat-ubatan penting, barang-barang perubatan, bekalan makmal, bank darah serta kekurangan alatan untuk menjalankan pemeriksaan coronavirus.”
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nur idawati
Isnin, 30-03-2020 – Sebuah organisasi bukan kerajaan Belgium merayu agar kepungan ke atas Semenanung Gaza dihentikan berikutan pandemik coronavirus di seluruh dunia dan mengesa pihak kerajaannya mengambil langkah segera mengatasi kesan penularan wabak tersebut.
“Belgium perlu lebih bertanggungjawab dari sebelumnya untuk mendesak supaya kepungan yang dibuat rejim Israel ke atas Gaza ditamatkan,” demikian kata NGO itu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada pihak kerajaannya.
Mereka juga meminta agar dilakukan usaha segera untuk membekalkan “alat bantuan pernafasan, katil rawatan intensif, kit ujian pengesanan dan segala bentuk kemudahan yang boleh mengurangkan risiko jangkitan.”
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Isnin, 30-03-2020 – Pihak berkuasa rejim Zionis pada hari Ahad lalu telah memutuskan untuk melanjutkan penahanan pentadbiran wartawan Palestin Bushra al-Tawil, 26, selama empat bulan.
Menurut Pejabat Media Banduan, al-Tawil yang merupakan seorang penduduk Ramallah di Tebing Barat, telah ditangkap oleh Rejim Zionis pada Disember 2019 dan telah ditahan semenjak itu tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Al-Tawil adalah salah seorang daripada lebih 40 wanita dan gadis Palestin yang sedang ditahan di penjara Israel.
Selasa, 10-03-2020 – Polis rejim Israel telah memaklumkan kepada Sheikh Najeh Bakirat, Timbalan Pengarah Wakaf Islam Baitulmaqdis yang juga Ketua Akademik Sains dan Warisan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki Masjidil al-Aqsa untuk tempoh satu minggu.
Pihak polis rejim tidak memberitahu sebab larangan tersebut. Sebelum ini, pihak rejim telah menguatkuasakan larangan masuk seperti itu ke atas Sheikh Bakirat sebanyak 22 kali.
Penduduk Baitulmaqdis berkata bahawa Sheikh Bakirat menerima perintah larangan selepas beliau ditanya tujuan beliau masuk ke masjid di pusat tahanan al-Qishla yang terletak di bandar suci tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Selasa, 10-03-2020 – Para pendatang Israel pada Rabu merampas satu kawasan pertanian Palestin di bandar Beit Ummar utara Tebing Barat bandar al-Khalil.
Aktivis Mohammed Awad menyatakan yang para pendatang Israel, dengan diiringi pasukan bersenjata, merampas 12 dunum kawasan pertanian di Beit Ummar yang ditanam dengan badam, anggur dan zaitun serta memasang kawat berduri sekitarnya.
Awad berkata, tanah itu dimiliki warga Palestin bernama Saqer Abu Ayyash dan saudara-saudaranya.
Selasa, 10-03-2020 – Sekurang-kurangnya 163 peneroka Yahudi telah melawat Masjid Aqsa di bawah perlindungan pihak polis.
Para peneroka, yang termasuk para pelajar dan pegawai kerajaan, melawat halaman Masjid dan menerima penerangan mengenai gunung kuil.
Masjid Aqsa terdedah kepada penindasan setiap hari oleh peneroka Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
Jumaat, 06-03-2020 – Tentera rejim zionis Israel bertindak memecah masuk beberapa buah rumah di Tebing Barat dan menahan sejumlah warga Palestin serta mencuri wang mereka.
Sumber tempatan berkata bahawa tentera rejim telah menahan 12 tahanan Palestin termasuk bekas tahanan dan pegawai Hamas dari rumah mereka sekitar Ramallah, Nablus, Tulkarem, Baitulmaqdis dan al-Khalil.
Menurut sumber itu lagi, anggota tentera rejim mencuri wang yang dianggarkan berjumlah 50,000 NIS (Mata Wang Israel) daripada lima buah rumah milik bekas tahanan di Nablus dan Salfit.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Jumaat, 06-03-2020 – Ketua Gerakan Hamas di Luar Negeri, Maher Salah, menegaskan bahawa kunjungan delegasi Hamas yang dipimpin oleh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah, berlaku pada waktu yang sangat penting setelah pengumuman Presiden Amerika Syarikat tentang Deal of Century (Kesepakatan Abad Ini) yang bertujuan untuk mencairkan isu Palestin.
Salah mengatakan, kunjungan delegasi gerakan Hamas ke ibu kota Rusia, Moscow berlaku pada waktu yang penting dan emosional, mengingatkan sikap Rusia yang menolak Deal of Century.
Beliau menyatakan bahawa Hamas dan Rusia sepakat bahawa Deal of Century bukanlah formula untuk perdamaian dan kemakmuran tetapi lebih merupakan perimbangan untuk mengekalkan konflik dan semakin menambahkan masalah yang sudah ada di Palestin.Beliau menambah bahawa pertemuan dengan para pegawai tinggi Rusia, terutama dengan Menteri Luar Negeri Rusia Sergey Lavrov, mengungkap kesepakatan besar dalam isu ini. Beliau menyatakan kesediaan para pemimpin Rusia untuk mendekatkan pandangan dalam kalangan pemimpin Palestin dan berusaha untuk mengembalikan persatuan nasional Palestin.
Menurutnya, apa yang membantu tercapainya keselarasan dengan sikap Rusia adalah kerana rakyat Palestin melalui pelbagai pihak komponen dan faksi bersatu melawan Deal of Century dan konsekuensinya, di samping pendirian Arab dan Islam yang dinyatakan dengan terang.
Salah mengungkapkan adanya kesepakatan dengan para pimpinan Rusia untuk melanjutkan pertemuan dan mengkoordinasikan usaha dengan semua pihak yang terkena kesan Deal of Century dan hegemoni Amerika di kawasan tersebut.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : osman
Khamis, 05-03-2020 – Delegasi peringkat tinggi dari Gerakan Hamas yang diketuai oleh biro politiknya, Ismail Haneyya bertemu dengan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di Moscow pada hari Isnin.
Mesyuarat itu dihadiri oleh timbalan
menteri luar negeri Mikhail Bogdanov dan beberapa pegawai dari kementerian luar
negeri.
Menurut pernyataan yang dikeluarkan oleh Gerakan, kedua belah pihak membincangkan terutamanya perdamaian antara Palestin, hubungan bersama dan rancangan keamanan AS.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor syuhada
Khamis, 05-03-2020 – Rejim Israel menutup semua pintu masuk sempadan di wilayah Gaza dan Tebing Barat pada hari Isnin sempena pilihan raya dewan Knesset ke 23.
Penutupan laluan akan bermula selepas pukul 12 malam, hari Isnin, selama 24 jam dan penutupan dibuat sehingga urusan selesai serta “bergantung kepada keadaan semasa”, kata pihak Penyelaras Pentadbiran Kerajaan bagi wilayah yang diduduki rejim.
Penutupan itu turut meliputi pintu masuk Karam Abu Salem dan Beit Hanoun (Erez) yang bersempadan dengan Gaza serta pintu-pintu masuk yang bersempadan dengan Tebing Barat.
Manakala laluan al-Karama antara Tebing Barat dengan Jordan ditutup selama 12 jam dan akan dibuka semula selepas pukul 12 tengah hari, hari Isnin.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Khamis, 05-03-2020 – UNRWA telah memberi amaran yang banyak perkhidmatan penting yang diberikan kepada pelarian Palestin akan dihentikan jika defisit dalam peruntukan tidak dapat diatasi dalam tempoh sehingga Mei.
“Jika
defisit yang dianggarkan berjumlah satu billion dan 275 juta dollar tidak
diperolehi semula pada bulan Mei, banyak program perkhidmatan UNRWA akan
terkesan seperti pendidikan, kesihatan dan pengagihan makanan yang meliputi
lima bidang operasi,” jurucakap UNRWA Adnan Abu Hasna menyatakan.
“Kami akan mengenakan prosedur ketat agar boleh meneruskan kerja,” Abu Hasna berkata, menyifatkan kedudukan kewangan agensi itu sebagai serius dan tidak tetap.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nor idawati
Khamis, 05-03-2020 – Pertembungan yang ganas telah tercetus pada hari Isnin antara rejim Zionis dengan warga Palestin yang berarak di Gunung Al-Orma di Nablus untuk mempertahankannya daripada dirampas oleh peneroka haram.
Sumber-sumber tempatan mengatakan bahawa kumpulan peneroka Israel yang
dikawal oleh tentera Zionis menyerang Gunung al-Orma dan menyerang penunjuk
perasaan Palestin.
Rejim Zionis melancarkan gas pemedih mata dan bom tangan ke arah
penunjuk perasaan warga Palestin. Sejumlah mereka mengalami sesak bernafas dan telah
dirawat di tempat kejadian.
Penduduk Palestin di Nablus, terutama di bandar Beita, telah berkali-kali menggagalkan percubaan-percubaan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel untuk mengambil alih Gunung al-Orma untuk membina pusat-pusat mukim baharu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul& nurul
Selasa, 03-03-2020 – Universiti terbesar Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah mengakhiri rundingan penajaan dengan jenama pakaian sukan global Puma kerana sokongan syarikat itu terhadap penempatan Haram Israel di Palestin yang dijajah.
Menurut
gerakan BDS, UiTM, yang mempunyai kontrak tiga tahun dengan Puma sebagai
penaja pasukan bola sepak university itu, mengesahkan yang kontrak itu tidak
diperbaharui kerana penglibatan Puma dengan perlanggaran hak asasi manusia oleh
Israel.
Puma menaja Persatuan Bola Sepak Israel yang menyokong pasukan di penempatan haram Israel. Penempatan haram Israel merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : nur idawati
Selasa, 03-03-2020 – Polis rejim zionis Israel menangkap dua pemuda warga Palestin di Kota Baitulmaqdis.
Saksi tempatan berkata, anggota polis rejim menahan Mohammed Abdin, 16 tahun di rumahnya di kawasan perumahan Ras al-Amud, bandar Silwan. Seorang lagi dikenali sebagai Rashid al-Resheq, 22 tahun telah ditahan di rumahnya di Bandar Lama Baitulmaqdis.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : zainudin
Selasa, 03-03-2020 – Dua delegasi dari Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan tiba di Kaherah dan Moscow pada hari Ahad.
Jurucakap Hamas Hazem Qasem berkata delegasi yang diketuai oleh ahli
biro politik Hamas, Rawhi Mushtaha, dijadual melawat Kaherah pada hari Ahad
untuk berbincang dengan pegawai Mesir.
Perbincangan itu dijangka berkisar mengenai situasi semasa di
Semenanjung Gaza akibat kepungan Israel, isu politik dalaman Palestin, keamanan
sempadan, dan hubungan dua hala.
Satu lagi delegasi yang diketuai oleh ketua biro politik Hamas, Ismail
Haneyya, telah menuju ke ibu kota Rusia, Moscow.
Hazem Qasem berkata kunjungan itu dibuat atas undangan pemerintah Rusia
untuk membincangkan hubungan dua hala.
Delegasi Hamas juga akan memberi taklimat kepada kerajaan Rusia tentang pencerobohan Israel yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, serta ancaman yang bakal timbul disebabkan oleh “rancangan perdamaian” AS-Israel untuk Timur Tengah, yang dikenali sebagai “perjanjian abad ini”.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : ezatul