Selasa, 02-11-2021 – Tahanan Palestin Alaa Al-Araj memberi amaran tentang situasi kesihatannya dan rakan-rakannya adalah kritikal akibat tindakan mogok lapar mereka di penjara Israel selama berminggu-minggu.
Al-Araj, yang telah mogok lapar selama 83 hari, menyatakan kekecewaannya terhadap kekurangan sokongan terhadap tindakan bantahan mereka.
Isteri Al-Araj, Asmaa Quzmar, turut memberi amaran tentang keadaan kesihatan suaminya yang semakin teruk, terutamanya sistem saraf.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Selasa, 02-11-2021 – Tujuh banduan Palestin yang melancarkan mogok lapar terbuka kerana membantah ditahan atas perintah “tahanan pentadbiran” menghadapai risiko maut.
Para banduan melancarkan mogok lapar terbuka sebagai bantahan terhadap dasar penahanan pentadbiran Israel yang membenarkan penahanan rakyat Palestin tanpa tempoh penamat berdasarkan “maklumat rahsia”, tanpa dituduh secara rasmi atau dibicarakan.
Tahanan mogok lapar yang paling lama ialah Kayed Fasfous, yang telah melakukan mogok lapar selama 108 hari sebagai protes terhadap penahanannya tanpa tuduhan atau perbicaraan, diikuti oleh Miqdad Qawasmeh (101 hari), Alaa Aaraj (83 hari), Hesham Abu Hawwash (74 hari), Shadi Abu-Akr (67 hari), Ayyad Hureimi (38 hari), dan Louay Al-Ashqar (20 hari).
Abdullah Qandil, pengarah Persatuan Banduan Wa’ed, telah memberi amaran tentang keadaan kesihatan yang serius bagi dua banduan yang sedang bermogok Fasfous dan Qawasmeh, dengan mengatakan bahawa mereka berisiko maut pada bila-bila masa.
Pada masa yang sama, banduan dari Baitulmaqdis Amin Shweiki, 61, terus-menerus tidak mengambil ubat-ubatannya untuk hari ke-43 berturut-turut sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbirannya yang berterusan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Selasa, 02-11-2021 – Israel mengadakan latihan ketenteraan terbesar pagi ini untuk menguji kesiapsiagaan kekuataan ketenteraan dalam negeri penjajah Israel. Latihan ini mengadakan simulasi senario perang komprehensif di beberapa sektor selepas berlaku siri rusuhan di beberapa bandar di wilayah Palestin dalam jajahan 1948.
Siri latihan diawasi oleh badan keselamatan Israel sempena Minggu Pertahanan Nasional.
Sepanjang latihan ketenteraan, Israel menetapkan status darurat ekstrim untuk simulasi perang habis-habisan (besar) untuk menguji front dalam negeri Israel yang terkena serangan peluru berpandu Iran, menurut saluran televisyen 7 Israel.
Latihan akan berterusan sepanjang minggu sehingga Khamis hadapan, dengan penglibatan ribuan tentera melibatkan penduduk dan pasukan keselamatan dan akan mencakupi pelbagai pihak- penduduk dari garis konflik dan garis hadapan dan menghadapi serangan elektronik dan peluru berpandu yang akan menghentikan arus kehidupan.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Selasa, 02-11-2021 – Seorang remaja warga Palestin cedera ditembak peluru getah dan yang lain ditembak gas pemedih mata pada petang hari Sabtu dalam satu pertempuran ganas dengan tentera rejim Zionis di Bab az-Zawiya di bandar al-Khalil.
Menurut sumber tempatan, tentera rejim Zionis menghujani pemuda warga Palestin dan pusat komersil di laluan masuk ke jalan ash-Shuhada berdekatan jalan Bab az-Zawiya dengan gas pemedih mata dan peluru getah. Seorang kanak-kanak cedera ditembak peluru getah dan yang lain sakit disebabkan gas pemedih mata semasa insiden berkenaan.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Selasa, 02-11-2021 – Pihak berkuasa Israel merobohkan sebuah rumah Palestin di Bandar Lod di tengah Israel pada pagi hari Ahad dengan alasan pembinaan itu tidak berlesen.
Menurut laman web Arab 48, rumah yang terletak di kawasan kejiranan al-Muhatta di bandar itu adalah milik seorang penduduk tempatan bernama Ibrahim at-Turi.
Dalam kejadian berasingan, pihak berkuasa Israel memaksa seorang warga Palestin merobohkan rumahnya sendiri di Bandar Qalansuwa di tengah Israel pada hari Jumaat.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Neina Mukhtar
Isnin, 01-11-2021 – Polis rejim Israel pada Selasa menghalang warga Baitulmuqaddis dan menahan dua daripada mereka ketika berkumpul dekat perkuburan Islam al-Yusufiya di kota lama Baitulmuqaddis bagi melindunginya daripada dimusnahkan.
Menurut sumber tempatan, polis rejim pada paginya dan kemudian pada waktu petang menghalau para pemuda Palestin dari perkuburan itu bagi menghalang yang lain memasukinya dan melepaskan bos tangan kepada orang awam ketika mereka cuba menghalang pendatang Yahudi daripada memusnahkan tempat itu.
Pegawai polis turut menahan seorang pemuda yang dikenali sebagai Mousa Khalaf ketika berada di perkuburan itu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Isnin, 01-11-2021 – Berpuluh penceroboh Yahudi pada pagi hari Rabu mencemar masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki dengan iringan polis.
Menurut sumber tempatan, sekurang-kurangnya 141 orang penceroboh memasuki masjid al-Aqsa di dalam kumpulan melalui pintu Maghariba dan mengelilingi halamannya di bawah jagaan ketat pihak polis.
Masjid al-Aqsa terdedah kepada kunjungan pihak penceroboh dan polis pada waktu pagi dan tengah hari setiap hari kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Isnin, 01-11-2021 – Rejim Zionis (IOF) telah memanggil dua pemuda Palestin untuk disoal siasat di timur Baitulmaqdis dan menculik dua lagi di Tebing Barat.
Menurut sumber di Baitulmaqdis, dua pemuda tersebut dikenali sebagai Firas al-Atrash dan Ahmed at-Taweel telah menerima saman daripada IOF kerana penyertaan mereka dalam perhimpunan untuk menentang pemusnahan tanah perkuburan al-Yusufiya di Kota Lama.
Pegawai polis juga menyerbu rumah Mohamed Odeh di kejiranan Bir Ayyoub di Silwan dan menyoalsiasat penduduknya.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Dr Nurul
Khamis, 28-10-2021 – Ahli biro politik Hamas Ezzat al-Resheq memuji agensi perisikan Turki atas kejayaan menggagalkan rangkaian pengintip Mossad dan menangkap ahlinya di negara itu.
“Keganasan Israel dijangka bila-bila masa dan di mana-mana, dan jenayahnya tidak mengira negara,” Resheq memberitahu Akhbar Quds pada Isnin.
Beliau mengesahkan bahawa pejuang Palestin dan tokoh kebangsaan sentiasa disasarkan oleh Mossad di luar negara.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Khamis, 28-10-2021 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyuarakan “kebimbangan yang mendalam” terhadap pengumuman Israel mengenai rancangan untuk memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki secara haram, dengan menekankan bahawa “semua penempatan adalah haram.”
Dalam satu kenyataan pada Ahad, utusan PBB untuk proses damai Timur Tengah Tor Wennesland melahirkan kebimbangan terhadap hasrat Israel untuk membina rumah pendatang baharu di Tebing Barat dan kegigihannya dalam meluaskan penempatan di wilayah yang diduduki secara haram, termasuk Baitulmaqdis timur.
“Hari ini, pihak berkuasa Israel mengumumkan tender untuk pembinaan lebih 1,300 unit perumahan di Tebing Barat yang dijarah,” kata Wennesland.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor syuhada
Khamis, 28-10-2021 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya pada hari Isnin telah menelefon menteri luar negeri Malaysia, Saifuddin Abdullah dan menekankan mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara dan kesungguhan Hamas untuk membangunkan hubungan tersebut.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Haneyya memuji pendirian Malaysia yang menyokong hak-hak Palestin dan penolakannya ke atas normalisasi hubungan dengan negara haram Israel.
Ketua Hamas tersebut menjelaskan situasi sebenar di Israel kepada menteri luar negeri Malaysia tersebut, terutamanya berkenaan keganasan Israel di Baitulmuqaddis dan masjid al-Aqsa.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Amrul Azmi Mizan
Rabu, 27-10-2021 – Berpuluh-puluh peneroka haram Yahudi yang diiringi oleh pasukan polis telah mencemar Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang Diduduki pada pagi Isnin lalu.
Menurut sumber tempatan, sekurang-kurangnya 148 peneroka memasuki Masjid secara berkumpulan melalui Pintu al-Maghariba dan bersiar-siar di halamannya di bawah perlindungan polis.
Saksi melaporkan melihat beberapa peneroka haram melaksanakan upacara keagamaan semasa lawatan mereka di tapak suci Islam itu.
Masjid Al-Aqsa saban hari sering terdedah kepada pencemaran oleh peneroka haram Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Ezatul
Rabu, 27-10-2021 – Lebih 40 pertubuhan di Amerika Syarikat menggesa Amazon dan Google agar menarik balik kontrak yang ditandatangani beberapa bulan lalu dengan tentera rejim.
Pertubuhan-pertubuhan itu menyatakan mereka melancarkan kempen “Tiada Teknologi untuk Apartheid”, sebagai memberi tindak balas kepada surat terbuka daripada 500 orang pekerja Amazon dan Google yang baru-baru ini disiarkan dalam The Guardian. Surat tersebut menyeru majikan mereka membatalkan kontrak dengan tentera rejim yang dikenali sebagai “Projek Nimbus” dan menolak semua kontrak yang menyumbang kepada penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Ketika bom-bom Israel memusnahkan bangunan kediaman di Gaza pada Mei lepas, para eksekutif Amazon Web Services dan Google Cloud menandatangani Projek Nimbus: satu kontrak lumayan berjumlah $1.22 billion dengan kerajaan rejim untuk membina Infrastruktur Teknologi Awan bagi tentera dan kementeriannya,” demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pertubuhan-pertubuhan tersebut.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor idawati
Rabu, 27-10-2021 – Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah, terpilih dalam senarai 50 tokoh Islam (Kelompok Pemimpin Dan Politik) berpengaruh di dunia tahun 2021.
Haniyah menduduki tempat 20 dalam senarai 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia, yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian dan Penyelidikan Kerajaan (MABDA) yang berpusat di ibukota Jordan, Amman.
Puluhan pemimin Islam dan Arab termasuk dalam senarai tersebut, seperti Amir Qatar, Syekh Tamim bin Hamad dan pemimpin Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz.
Haniyah merupakan salah satu tokoh Hamas, pernah menjadi PM Palestin setelah kemenangan Hamas dalam pilihan raya legislatif pada tahun 2006.
Beliau disingkirkan oleh ketua otoriti Palestin, Mahmud Abbas pada Jun 2007. Beliau kemudiannya terpilih menjadi ketua biro politik Hamas pada Mei 2017.
sumber : https://melayu.palinfo.com/ penterjemah : Osman
Rabu, 27-10-2021 – Berpuluh-puluh rakyat Palestin mengalami kecederaan pada hari Ahad apabila Tentera Regim Zionis Israel (IOF) menyerang perarakan yang diadakan di al-Khalil City sebagai solidariti dengan tahanan pentadbiran yang melakukan mogok lapar.
Beberapa perarakan dan aksi duduk telah dianjurkan di Bandar al-Khalil petang semalam untuk menyatakan solidariti dengan tujuh orang yang melakukan mogok lapar dan menuntut pembebasan mereka dari penjara Israel.
Para peserta dalam perhimpunan itu membawa bendera Palestin, sepanduk menentang penahanan pentadbiran dan gambar pemogok lapar.
sumber : http://english.palinfo.com penterjemah : Nor syuhada