Categories
Berita Semasa

Hamas menyeru tindakan antarabangsa terhadap perluasan kawasan pencerobohan Rejim Zionis Israel.

Selasa, 01/09/2026 – Pergerakan Hamas telah mengutuk keputusan Israel untuk meluaskan kawasan pengaruh penempatan di Tebing Barat yang diduduki, menyifatkannya sebagai usaha yang disengajakan untuk merampas lebih banyak tanah Palestin dan mempercepat pengusiran rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, Hamas memberi amaran bahawa peningkatan pengilhakan tanah oleh pendudukan Israel di seluruh Tebing Barat bertujuan untuk mengurangkan populasi kawasan Palestin secara sistematik dan mengubahnya menjadi kawasan terpencil. Hamas menegaskan bahawa projek penempatan Israel tidak akan memberikannya hak  ke atas tanah Palestin mahupun keselamatan dan kestabilan jangka panjang.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Rundingan Fatah Di Kaherah Terhenti: Popular Front Mengusulkan Laluan Politik Alternatif

Selasa, 01/09/2026 – Menurut sumber Palestin yang bercakap kepada Al-Araby Al-Jadeed, pertemuan yang diadakan di Kaherah Mesir oleh delegasi kepimpinan gerakan Fatah gagal mencapai persefahaman mengenai kemungkinan mengadakan pakatan pilihan raya antara pelbagai puak dan kuasa Palestin. 

Laporan tersebut turut menyebut, parti itu juga gagal  memujuk kumpulan-kumpulan ini untuk mengubah semula hubungan mereka dengan Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas.

 Pertemuan ini berlangsung di tengah-tengah aktiviti politik yang rancak dalam arena Palestin, susulan laporan yang semakin meningkat mengenai hubungan antara ‘Arus Pembaharuan Demokratik’ Fatah yang dipimpin oleh Mohammed Dahlan dan ‘Forum Demokratik Nasional’ yang dipimpin oleh Nasser al-Qudwa bersama Hamas dan Jihad Islam Palestin, serta Barisan Popular dan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan pelbagai puak serta tokoh Palestin yang lain, yang kesemuanya bertujuan membincangkan pembentukan potensi pakatan pilihan raya.

Adakah Pilihan Raya akan membuka jalan bagi membina semula sistem politik Palestin?

 Langkah Fatah untuk mengadakan  pakatan memberi gambaran pergolakan politik semasa yang boleh menggugat kedudukan Pihak Berkuasa Palestin dan Presiden Mahmoud Abbas.

 Walau bagaimanapun, dalam satu pertemuan tertutup dengan para wartawan pada hari Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi Hussein al-Sheikh menafikan laporan mengenai pembentukan pakatan Palestin yang lebih besar, sambil menegaskan bahawa tiada pakatan sedemikian seperti yang digambarkan oleh media. 

Namun pada keesokan harinya, al-Sheikh berkunjung ke Kaherah diiringi oleh Ketua Perkhidmatan Perisikan Am Palestin, Majed Faraj, dan Speaker Majlis Kebangsaan Palestin, Rawhi Fattouh. 

Di sana, delegasi tersebut mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Mesir, bersama dengan Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan Arus Reformis.

Penterjemah : Halimah

Categories
Berita Semasa

Warga Palestin mengalami kecederaan akibat tembakan rejim Zionis Israel di perkampungan Nablus.

Rabu, 27/08/2026 – Seorang rakyat Palestin telah ditembak dan cedera parah oleh pasukan penjajahan haram Zionis Israel (IOF) pada petang Selasa semasa serbuan ke atas kem pelarian Al-Amari di Al-Bireh, di tengah Tebing Barat, ketika serangan peneroka dan penutupan jalan berterusan di beberapa kampung di gabenor Nablus.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata seorang rakyat Palestin yang mengalami luka tembakan di bahagian perut telah dimasukkan ke Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah, menyifatkan keadaannya sebagai kritikal.

Pekan Kafr Aqab, di utara Baitulmaqdis yang diduduki, turut menyaksikan konfrontasi pada petang Selasa selepas pasukan Israel menyerbu kawasan itu.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Hamas Kecam Serangan Zionis Ke Atas Syria

Rabu, 27/08/2026 – Pergerakan Hamas mengecam keras serangan Zionis ke atas pangkalan udara Abu al-Duhur di kawasan luar bandar timur Idlib pada pagi Selasa, menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran kedaulatan Syria” dan “ancaman kepada keselamatan dan kestabilan serantau.”

Dalam satu kenyataan, Hamas turut menyifatkan serangan Zionis ke atas wilayah Syria sebagai sebahagian daripada “keganasan sistematik negara” yang diamalkan oleh kerajaan penjajah Zionis terhadap negara dan rakyat serantau, yang jelas melanggar kedaulatan dan integriti wilayah mereka.

Hamas memberi amaran tentang akibat buruk daripada “amalan melulu” Zionis di rantau ini, dengan mengatakan serangan berulangnya terhadap negara-negara berdaulat akan mendorong rantau ini ke arah ketegangan dan ketidakstabilan yang lebih lanjut.

Pergerakan itu menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah segera dan berkesan bagi membendung serangan dan pelanggaran Zionis sedemikian.

Penterjemah : Ameen


Categories
Berita Semasa

Gaza: Hospital Berdepan Keruntuhan Bekalan Oksigen yang Hampir Berlaku

Rabu, 19/08/2026 – (PIC)Kementerian Kesihatan telah memberi amaran tentang akibat buruk yang bakal berlaku apabila kebanyakan stesen penjanaan oksigen di hospital-hospital Gaza telah berhenti beroperasi akibat larangan berterusan Israel terhadap kemasukan alat ganti dan bekalan penyelenggaraan yang diperlukan untuk mengendalikannya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kekurangan oksigen yang teruk kini melumpuhkan operasi hospital yang masih tinggal, sekaligus meletakkan berpuluh-puluh pesakit kritikal dan yang cedera, terutamanya mereka di unit rawatan rapi dan unit pernafasan, dalam risiko kematian segera.

“Kekurangan akut sokongan pernafasan telah menjejaskan 72 unit rawatan rapi, 54 unit penjagaan bayi baru lahir dan bayi pramatang, serta 19 unit rawatan rapi pediatrik,” kata kementerian itu.

Kementerian itu menggesa masyarakat antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia untuk menekan Israel supaya membuka pintu sempadan dan membenarkan kemasukan segera alat ganti dan peralatan penting yang diperlukan untuk mengekalkan operasi hospital.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

19 Bandar Seluruh Dunia Bakal Berhimpun Desak Kepungan Gaza Ditamatkan

Rabu, 19/08/2026 – 19 bandar di seluruh dunia, termasuk Istanbul, sedang membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan serentak pada Rabu depan, sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, bagi mendesak kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di tengah-tengah kepungan dan sekatan berterusan oleh Israel ke atas wilayah berkenaan.

Pengerusi Platform Sokongan Palestin, Osman Nuri Kabaktepe, pada hari Isnin berkata dalam satu persidangan media yang dianjurkan oleh pertubuhan masyarakat sivil Turkiye di Istanbul perhimpunan berkenaan akan diadakan secara serentak di 19 bandar, bertujuan menyuarakan desakan bagi menjamin akses kepada makanan, ubat-ubatan, tempat perlindungan dan perkhidmatan kesihatan untuk penduduk Gaza.

Beliau berkata perhimpunan di Istanbul akan diadakan di Dataran Üsküdar di bahagian Asia bandar berkenaan pada 6.30 petang waktu tempatan (3.30 petang GMT).

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Pusat Gaza: Pernyataan Ben-Gvir Menunjukkan Niat Mengusir dan Memusnahkan Warga Palestin

Rabu, 19/08/2026 – Pusat Hak Asasi Manusia Gaza mengecam keras pernyataan berulang yang disampaikan Menteri Keamanan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir. Pernyataan tersebut dilihat mengungkapkan niat eksplisit dan terbuka untuk mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza serta menerapkan tindakan genosid terhadap mereka.

Hal ini berlaku ketika serangan militer Israel terhadap Semenanjung Gaza memasuki hari ke-1044 sejak 7 Oktober 2023. Konflik tersebut telah mengakibatkan puluhan ribu kematian, ratusan ribu orang tercedera, serta kehancuran luas yang kelihatan pada hampir seluruh infrastruktur awam.

Dalam pernyataan yang dikeluarkan pada Ahad, pusat tersebut mengecam keras komentar Ben-Gvir dalam sebuah wawancara di podcast pada 8 Ogos. Dalam wawancara tersebut, beliau menyeru serangan udara Israel setiap malam ke Semenanjung Gaza, dengan menegaskan bahawa Israel dapat “melenyapkan 30, 40 atau 50 teroris” setiap malam.

Ben-Gvir juga menyatakan bahawa penduduk Gaza “tidak perlu hidup” dan “bukan manusia”, seraya menambah bahawa dia telah berbuat baik dengan menyebut mereka sebagai manusia. Ben-Gvir juga menuntut penjajahan seluruh wilayah Gaza, pengusiran penduduknya dan pengeboman Beirut.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Para ibu-ibu merangka penyelesaian mudah untuk menghadapi musim panas di khemah-khemah Gaza

Rabu, 19/08/2026 – Di Gaza, penderitaan ibu-ibu yang tinggal di khemah perlindungan bermula seawal pagi apabila bahang matahari mula menyerap masuk melalui fabrik khemah. Suhu yang semakin meningkat serta pengudaraan yang terhad menyebabkan keadaan menjadi semakin sesak dan tidak selesa, terutama bagi kanak-kanak. Kehadiran lalat dan serangga turut menambah kesukaran kepada keluarga yang terpaksa bertahan dalam keadaan serba kekurangan.

Dengan cuaca panas yang semakin terik, khemah berubah menjadi ruang yang amat bahang dan sukar didiami. Para ibu terpaksa mencari pelbagai penyelesaian menggunakan bahan yang ada di sekeliling, bukan untuk mendapatkan keselesaan, tetapi sekadar memastikan anak-anak mereka mempunyai ruang untuk tidur dan berehat terlindung daripada pancaran matahari.

Bagi ibu-ibu berkenaan, waktu siang terasa panjang ketika mereka berada di dalam khemah, khususnya apabila suhu meningkat dan pergerakan udara semakin terbatas.

Tanpa kemudahan penyejukan atau bahan penebat yang sesuai, kebanyakan keluarga terpaksa menggunakan apa sahaja yang tersedia, termasuk kayu, kain penutup dan plastik. Mereka turut membuka bahagian sisi khemah serta membina teduhan tambahan di sekelilingnya dalam usaha mengurangkan bahang dan memberi sedikit perlindungan kepada anak-anak daripada cuaca panas.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Dakwaan Israel tentang pelanggaran gencatan senjata adalah propaganda Rejim Zionis

Rabu, 19/08/2026 – Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata dakwaan Israel bahawa Pergerakan itu telah melanggar perjanjian gencatan senjata dan menyambung semula aktiviti ketenteraan adalah sebahagian daripada kempen propaganda Israel yang bertujuan untuk mewajarkan pelanggaran perjanjian oleh Israel sendiri dan menghasut terhadap Hamas.

Dalam satu kenyataan akhbar, Qassem mengulangi komitmen Hamas terhadap perjanjian gencatan senjata dan pelan tindakan tersebut.

Beliau menyeru semua pihak untuk memaksa Israel melaksanakan apa yang telah dipersetujui dan memenuhi komitmennya.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Zionis Usir Keluarga Palestin

Selasa, 18/08/2026 – Pasukan Zionis (IOF) telah mengambil alih tiga buah rumah bertingkat yang baru dibina di kampung Jalud, selatan Nablus di utara Tebing Barat, selepas mengusir penduduk mereka dengan senjata.

Sumber tempatan berkata pasukan Zionis menyerbu kampung Jalud dan mengubah tiga buah rumah menjadi pos tentera dan menara pengawal selepas memaksa keluarga Palestin meninggalkan kediaman mereka.

Serangan Zionis dan serangan peneroka haram semakin meningkat di selatan Nablus, di mana askar baru-baru ini telah merampas beberapa rumah Palestin sebagai pos tentera.

Di pekan Kafr Sur, selatan Tulkarem, tentera Zionis hari ini telah menyampaikan notis perobohan untuk rumah dan struktur pertanian Palestin.

Menurut sumber tempatan, notis perobohan itu menyasarkan sebuah bangunan pangsapuri lima tingkat, dua pangsapuri, empat rumah yang didiami, sebuah rumah yang belum siap dan sebuah ladang di bandar itu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Mesir Desak Penarikan Tentera Israel dari Gaza dan Laksana Tahap Kedua Kesepakatan

Selasa, 18/08/2026 – Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada Ahad lalu menyeru penyelesaian penarikan tentera Israel dari Semenanjung Gaza dan pelaksanaan seluruh kewajiban yang telah disepakati.

Seruan Abdelatty disampaikan setelah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak rancangan Dewan Perdamaian berkait Gaza.

Menurut pernyataan Kementerian Luar Negeri Mesir, Abdelatty menyampaikan seruan tersebut melalui telefon dengan pegawai Dewan Perdamaian, Nickolay Mladenov.

Abdelatty dan Mladenov membincangkan perkembangan terbaru di Semenanjung Gaza serta usaha untuk menyiapkan pelaksanaan rancangan Presiden AS Donald Trump dan peta jalan untuk memenuhi syarat rancangan perdamaian Gaza.

Abdelatty menekankan pentingnya mematuhi seluruh kewajiban yang telah disepakati, termasuk menjamin akses bantuan kemanusiaan yang penuh, aman dan berterusan. Beliau juga menyeru penyelesaian penarikan pasukan Israel dari Semenanjung Gaza.

Menurutnya, langkah-langkah tersebut akan membuka jalan menuju tahap kedua dan mendukung usaha pemulihan serta rekonstruksi awal.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

Euro-Med menolak naratif Israel mengenai kebuluran di Gaza

Selasa, 18/08/2026 – Euro-Med Human Rights Monitor berkata Israel terus memutarbelitkan fakta dalam usaha untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap kebuluran yang dialami orang awam di Semenanjung Gaza. Israel secara terpilih dan mengelirukan menggunakan data yang diterbitkan oleh Kluster Pemakanan UNICEF pada tahun 2026 untuk menafikan petunjuk kebuluran yang dikenal pasti oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) pada tahun 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Euro-Med Monitor berkata angka 0.5% yang diketengahkan oleh Israel adalah berdasarkan secara eksklusif kepada petunjuk “berat mengikut ketinggian” (weight-for-height) yang digunakan untuk mengukur malnutrisi akut, sambil mengetepikan petunjuk lain yang lebih menyeluruh. Data berdasarkan ukur lilit pertengahan lengan atas (MUAC) menunjukkan kadar sebanyak 1.3%, iaitu kadar yang sama diperoleh apabila kedua-dua petunjuk tersebut digabungkan. Menurut organisasi itu, perkara ini mencerminkan percubaan yang disengajakan untuk mengaburkan keseluruhan dapatan dan mengetengahkan angka terendah sebagai hasil muktamad kajian tersebut.

Organisasi itu menjelaskan bahawa angka 1.3% tersebut secara efektif bermaksud bahawa seorang daripada setiap 77 kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami malnutrisi akut dalam tempoh yang diliputi oleh kajian berkenaan. Ia menegaskan bahawa data tersebut hanya mencerminkan tempoh yang terhad dan tidak merangkumi kes yang berlaku sebelum atau selepas kajian, mahupun kanak-kanak yang mengalami episod malnutrisi berulang.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Kanak-kanak amputasi di Gaza membina semula impian mereka dengan bola kecil

Rabu, 12/08/2026 – Di sebuah taman permainan kecil di Bandar Gaza, yang hampir tidak cukup besar untuk sekumpulan kanak-kanak berkongsi bola dan peralatan sukan yang terhad, kanak-kanak Palestin yang kehilangan anggota badan semasa pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza cuba menuntut semula sebahagian daripada zaman kanak-kanak mereka yang dirampas daripada perang.

Dengan sumber yang sederhana, ruang sukan yang ringkas itu diubah menjadi tempat untuk ketawa, pergerakan, dan latihan. Bola sepak menjadi cara untuk kanak-kanak ini mengatasi kesakitan amputasi dan kenangan pengeboman buat seketika, dan untuk mendapatkan semula keyakinan diri dan keupayaan mereka untuk berlatih sukan dan hidup semula.

Akademi Bola Sepak “Heel” untuk Orang Kurang Upaya menganjurkan latihan khusus untuk kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, dengan penyertaan jurulatih yang berusaha untuk pemulihan atletik dan psikologi mereka, dalam program latihan selama enam bulan, dengan tujuan membentuk pasukan sukan yang mampu menyertai pertandingan di peringkat Palestin pada masa hadapan, dan kemudian di peringkat Arab dan antarabangsa.

Jurulatih Shaimaa Felfel berkata bahawa kategori ini telah menjadi berleluasa di Semenanjung Gaza akibat ramai kanak-kanak yang kehilangan anggota badan semasa perang, dengan menyatakan bahawa latihan itu menyasarkan kanak-kanak yang anggota badannya dipotong, sama ada di kaki atau tangan.

Felfel menjelaskan bahawa kekurangan peralatan sukan merupakan salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi dalam latihan, sehingga ketiadaan bola sepak menyebabkan penangguhan beberapa sesi latihan, sebelum bilangan yang terhad disediakan.

Beliau menekankan bahawa sukan bukan terhad kepada hiburan, tetapi juga membantu kanak-kanak melegakan tekanan psikologi, membina kecergasan fizikal, meningkatkan keyakinan diri, memperhalusi keperibadian dan memberi kanak-kanak rasa keupayaan mereka untuk menjadi ahli masyarakat yang aktif walaupun kehilangan salah satu anggota badan mereka.

Di padang, Nour Al-Ashqar bergerak dengan sebelah kaki, tetapi langkahnya membawa keazaman yang melangkaui batasan ruang. Dia datang ke latihan untuk bermain dan melepaskan ketakutan dan kesakitan yang terkumpul dalam dirinya, cuba menuntut semula sebahagian daripada apa yang telah hilang dari hidupnya.

Nour menceritakan bahawa kecederaannya berlaku pada 30 Jun 2024, semasa mengumpul kayu api bersama bapanya, apabila dia kehilangan kakinya, sebelum memulakan perjalanan baharu bersama keluarganya yang melibatkan amputasi dan kehidupan berbeza yang dikenakan oleh perang.

Dia mengatakan bahawa walaupun kehilangan kakinya, dia tidak berputus asa dengan permainan yang dicintainya, tetapi secara beransur-ansur kembali bermain bola sepak dan berlatih, menekankan bahawa kehilangan kaki tidak bermakna pengakhiran hidup, dan dia ingin membina masa depan baharu meskipun banyak impiannya musnah.

Nour tidak menyembunyikan sejauh mana kehilangannya dalam perang; dia kehilangan اbanyak perkara yang diimpikannya, dan bermain bola sepak dengan cara yang biasa dilakukannya, tetapi dia terus berlatih, dan cuba menguatkan badannya dan keupayaannya untuk bergerak, kerana impiannya belum berakhir.

Kanak-kanak Omar Halawa menyertai latihan dengan keazaman yang jelas, memanfaatkan taman permainan kecil itu sebagai ruang untuk keluar dari pengasingannya dan mendapatkan semula keupayaannya untuk bermain dan bergerak.

Omar bercakap tentang saat hidupnya berubah, apabila sekolah tempat dia belajar dibom, dia kehilangan ahli keluarganya dan dia cedera, sebelum mendapati dirinya berada di hospital kerana kehilangan salah satu kakinya.

Dari runtuhan saat yang sukar itu, Omar hari ini cuba mencipta suasana yang berbeza: bola di antara kakinya, jurulatih di sisinya, kanak-kanak bermain dengannya, dan ketawa yang cuba mengatasi ingatan pengeboman itu.

Omar berkata dia datang berlatih untuk bermain, berseronok, dan melepaskan diri daripada kesusahan yang dialaminya. Dia bermimpi untuk melancong ke luar Semenanjung Gaza untuk mendapatkan anggota badan palsu supaya dia boleh berlari dan bersukan dengan lebih baik.

Bagi Omar, mimpi ini mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar mendapatkan anggota badan palsu; dia ingin mendapatkan kembali kemampuannya untuk berlari, menjadi lebih kuat, dan kembali kepada kehidupan yang telah dirampas oleh perang.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Zionis terus membunuh banduan di dalam penjara dan nasib puluhan tahanan masih tidak diketahui

Rabu, 12/08/2026 – Pusat Hal Ehwal Tahanan Palestin menegaskan bahawa Israel terus membunuh tahanan Palestin di dalam penjara, meskipun puluhan tahanan telah meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, pusat berkenaan berkata seramai 91 tahanan Palestin yang identitinya telah dikenal pasti telah meninggal dunia akibat tindakan Israel, manakala nasib puluhan tahanan lain dari Semenanjung Gaza masih tidak diketahui. Menurut pusat itu, sebahagian daripada tahanan berkenaan dipercayai telah meninggal dunia dalam beberapa bulan pertama selepas bermulanya perang.

Pusat Pengajian Tahanan Palestin turut menyatakan bahawa identiti dan keadaan kematian tahanan dari Gaza terus diselubungi apa yang disifatkannya sebagai jenayah penghilangan secara paksa. Keadaan ini berlaku ketika berterusannya larangan lawatan terhadap tahanan Palestin sejak Oktober 2023, termasuk lawatan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tiga syahid dan beberapa individu cedera di Semenanjung Gaza

Rabu, 12/08/2026 – Tiga rakyat Palestin dilaporkan syahid manakala beberapa lagi cedera dalam serangan udara dan bedilan artileri yang dilancarkan oleh tentera Israel di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza pada hari ini. Serangan itu berlaku dalam ketika berterusannya pelanggaran Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

Di utara Gaza, seorang rakyat Palestin, Mahmud Taroush, dilaporkan syahid selepas serangan Israel yang menyasarkan kawasan berhampiran Masjid Hira di Jabalia al-Balad. Tiga individu lain turut mengalami kecederaan dalam serangan tersebut.

Sementara itu, satu lagi serangan berhampiran Jambatan Wadi al-Salqa di kawasan Al-Hakar, selatan Deir al-Balah di tengah Gaza, mengorbankan Ahmad Hisham al-Louh. Beberapa lagi penduduk dilaporkan cedera, termasuk seorang mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Penterjemah : Farah Najwa