Categories
Berita Semasa

Kementerian Kesihatan Gaza: 10,899 Wanita Dalam Usia Reproduktif Terkorban Pada 2025

Jumaat, 23/10/2026 – Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza telah menerbitkan Laporan Tahunan Kesihatan Ibu dan Anak 2025 yang mendedahkan petunjuk kesihatan dan kemanusiaan yang amat membimbangkan. Laporan itu menggambarkan kesan dahsyat perang genosid Israel terhadap wanita dan kanak-kanak, ketika sistem penjagaan kesihatan lumpuh, hospital musnah serta keadaan kehidupan dan pemakanan semakin merosot.

Pusat Maklumat Kesihatan kementerian itu memaklumkan pada Khamis bahawa laporan berkenaan merekodkan keadaan perkhidmatan kesihatan reproduktif, perancangan keluarga, penjagaan antenatal, proses kelahiran dan penjagaan bayi baru lahir sepanjang tahun yang luar biasa mencabar. Tahun tersebut menyaksikan gelombang perpindahan penduduk yang berulang, kemerosotan ketara keupayaan fasiliti kesihatan menyediakan perkhidmatan asas, ketidakjaminan makanan yang meluas serta peningkatan keperluan kemanusiaan.

Laporan itu merekodkan 10,899 wanita dalam usia reproduktif terkorban sepanjang 2025, manakala 17,469 wanita lagi mengalami kecederaan. Angka ini memperlihatkan besarnya korban manusia akibat perang dan kesannya terhadap wanita di Semenanjung Gaza.

Satu lagi petunjuk yang menggambarkan kesan mendalam krisis ini ialah jumlah kelahiran hidup yang direkodkan sebanyak 50,227 sepanjang tahun berkenaan, iaitu penurunan kira-kira 9% berbanding 2022.

Sementara itu, pusat penjagaan kesihatan primer di bawah kementerian tersebut merekodkan 7,402 kehamilan berisiko tinggi. Angka ini menyerlahkan cabaran serius yang dihadapi oleh wanita hamil dalam keadaan kesihatan dan kehidupan yang semakin buruk.

Anemia mengancam ibu dan bayi baru lahir di seluruh Gaza

Petunjuk kesihatan menunjukkan bahawa 52.2% wanita hamil di Gaza mengalami anemia, manakala kadarnya meningkat kepada 85% dalam kalangan wanita selepas bersalin. Keadaan ini berlaku ketika bekalan makanan semakin berkurangan, akses kepada suplemen pemakanan terhad dan ketersediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan asas terus merosot.

Dari segi kesihatan bayi baru lahir, laporan itu mendapati seramai 6,182 bayi, bersamaan 12.3% daripada keseluruhan kelahiran hidup sepanjang tahun tersebut, memerlukan rawatan di unit rawatan rapi neonatal.

Kadar kematian neonatal pula mencecah 9.1 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, dengan 61.7% daripada kematian tersebut berlaku dalam minggu pertama kehidupan.

Angka-angka ini menggambarkan risiko besar yang terpaksa dihadapi oleh ibu dan anak, sejak peringkat awal kehamilan sehinggalah proses kelahiran dan tempoh selepas bersalin.

Fasiliti kesihatan terus bergelut dengan kekurangan peralatan perubatan dan bekalan penting, sedangkan petugas kesihatan berusaha memberikan perkhidmatan paling asas dalam keadaan sektor kesihatan Gaza mengalami kemusnahan yang meluas.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa 98.4% kelahiran berlaku di sejumlah kecil fasiliti kesihatan yang terpaksa menanggung beban berlebihan, susulan kemusnahan hospital dan penutupan fasiliti yang lain.

Keadaan ini menambahkan tekanan terhadap fasiliti yang masih beroperasi, sekali gus melemahkan lagi keupayaan sistem kesihatan untuk memenuhi keperluan ibu dan bayi baru lahir yang semakin meningkat.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa kesan kekurangan makanan bukan sahaja menjejaskan kesihatan wanita, malah turut memberi kesan kepada janin dan bayi baru lahir.

Kemerosotan pemakanan ibu meningkatkan risiko kesihatan semasa kehamilan dan selepas bersalin, khususnya apabila wanita berdepan kesukaran mendapatkan makanan yang mencukupi serta rawatan perubatan khusus.

Tindakan antarabangsa segera diperlukan untuk melindungi ibu dan anak

Kementerian Kesihatan menyeru rakan kerjasama tempatan dan antarabangsa serta masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya supaya mengambil tindakan segera bagi melindungi fasiliti kesihatan dan memastikan bekalan ubat-ubatan, suplemen pemakanan serta keperluan perubatan asas dapat disalurkan tanpa gangguan.

Kementerian itu turut menggesa usaha untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan kesihatan ibu dan anak bagi mengurangkan risiko yang mengancam nyawa wanita dan kanak-kanak di seluruh Semenanjung Gaza.

Laporan ini diterbitkan ketika Gaza masih menanggung kesan dahsyat perang Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023, yang menyaksikan pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, perpindahan penduduk dan penahanan.

Perang tersebut telah mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur dan fasiliti perubatan, sekali gus mencetuskan amaran berulang kali daripada masyarakat antarabangsa mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Menurut laporan itu, perang berkenaan telah menyebabkan lebih 250,000 rakyat Palestin terkorban atau cedera, dengan sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Lebih 11,000 orang masih hilang, manakala ratusan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Krisis makanan yang serius turut meragut banyak nyawa, kebanyakannya kanak-kanak, di samping kemusnahan meluas bandar dan kawasan perumahan di seluruh Semenanjung Gaza.

Secara keseluruhannya, angka kematian, petunjuk kekurangan zat makanan dan kemerosotan perkhidmatan perubatan memperlihatkan betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh ibu dan anak di Gaza.

Kehamilan dan kelahiran, yang sepatutnya menjadi permulaan kepada kehidupan baharu, kini semakin bertukar menjadi pengalaman yang mengancam nyawa apabila bekalan perubatan dan sumber kesihatan semakin berkurangan, manakala akses kepada rawatan asas terus terjejas.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Penahanan seorang wanita Palestin dan anak perempuannya sekembali ke Gaza dikecam.

Jumaat, 23/10/2026 – Pusat Palestin bagi Pembelaan Tahanan mengecam penahanan tentera Israel terhadap seorang wanita Palestin, Amal Ghazi Muhammad Al-Rifi, 60, dan anak perempuannya, Yasmin Rifat Muhammad Al-Rifi, 33, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah selepas menjalani rawatan di Mesir.

Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pencabulan hak kedua-dua wanita tersebut untuk pulang dengan selamat ke rumah dan bertemu keluarga mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, pihak berkuasa Israel memutuskan untuk melanjutkan tempoh penahanan kedua-duanya sehingga 3 Disember 2026. Mereka juga dilaporkan tidak dibenarkan bertemu peguam masing-masing.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan penahanan serta keselamatan fizikal dan psikologi kedua-dua wanita berkenaan, khususnya selepas mereka pulang daripada menjalani rawatan dan dinafikan akses kepada bantuan guaman yang diperlukan bagi memastikan keadaan serta kebajikan mereka terpelihara.

Pusat itu menegaskan bahawa penahanan seorang wanita berusia 60 tahun bersama anak perempuannya ketika mereka pulang daripada mendapatkan rawatan telah menjadikan perjalanan kembali ke tanah air sebagai pengalaman yang menimbulkan ketakutan dan penderitaan. Menurutnya, perjalanan pulang sepatutnya menjadi laluan yang selamat bagi pesakit dan rakyat yang ingin kembali menjalani kehidupan bersama ahli keluarga masing-masing.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Tahanan Palestin Sakit Mati Perlahan

Jumaat, 23/10/2026 – Pusat Kajian Banduan Palestin (PCPS) telah memberi amaran bahawa lebih 1,500 tahanan Palestin yang sakit di penjara Zionis, termasuk berpuluh-puluh yang berada dalam keadaan kritikal, diabaikan khidmat perubatan biarkan mereka mati secara perlahan.

“Pengabaian perubatan bukanlah amalan baharu di penjara Zionis, tetapi satu dasar yang bermula sejak penubuhannya. Ancaman dasar ini terhadap nyawa banduan telah meningkat dengan mendadak sejak 7 Oktober 2023, dengan tahanan dinafikan sepenuhnya rawatan perubatan dan pemindahan hospital tanpa mengira betapa kritikalnya keadaan mereka,” kata PCPS dalam satu laporan baru-baru ini.

“Kelaparan, kekurangan zat makanan, dan kekurangan nutrien penting telah melemahkan sistem imun banduan dan mendorong penyebaran penyakit, terutamanya kudis. Isu-isu kesihatan ini diburukkan lagi oleh kesesakan yang teruk, akses terhad kepada peralatan kebersihan, dan ketiadaan protokol pengasingan perubatan untuk tahanan yang dijangkiti,” tambah PCPS.

Menurut pusat itu, pengabaian perubatan telah menjadi punca utama kematian sekurang-kurangnya separuh daripada 329 tahanan Palestin yang telah meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak tahun 1967.

“Sejak 7 Oktober 2023, pengabaian perubatan telah menjadi punca kematian kedua utama selepas penyeksaan, meragut nyawa 92 tahanan,” tambahnya.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Hamas Alu Pendirian Eropah

Rabu, 21/10/2026 – Pergerakan Hamas mengalu-alukan pendirian Majlis Eropah terhadap perluasan penempatan di Tebing Barat yang dijajah, dan menyeru agar pendirian itu diterjemahkan kepada langkah-langkah konkrit yang akan menekan kerajaan Israel untuk menghentikan pelanggarannya di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan pada hari Ahad, Hamas memuji Majlis Eropah kerana memberi amaran kepada syarikat dan institusi kewangan agar tidak menyokong atau menyertai projek penempatan haram.

Hamas juga memuji seruan majlis itu untuk memastikan bantuan kemanusiaan dan bantuan ke Gaza sampai.

Hamas menggesa majlis itu untuk mengenakan lebih banyak tekanan bagi menamatkan pendudukan dan serangan peneroka yang disokong kerajaan.

Gerakan itu menekankan bahawa keganasan peneroka kini kerap menyasarkan kakitangan diplomatik asing, wartawan dan aktivis.

Ia berkata kritikan AS dan Eropah terhadap serangan ini harus diikuti dengan langkah praktikal untuk membendungnya, meminta mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan, dan memastikan akauntabiliti kerajaan Zionis atas sokongannya terhadap keganasan peneroka.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

Ancaman Terhadap Masjid Al-aqsa Semakin Meningkat.

Rabu, 21/10/2026 – Penyelidik hal ehwal Baitulmaqdis, Ziad Ibhais, memberi amaran bahawa ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa semakin meningkat berikutan usaha pertubuhan-pertubuhan Temple Mount untuk membolehkan puak Israel menceroboh masuk ke kompleks masjid itu pada setiap hari Sabtu. Menurut beliau, kelewatan kerajaan Israel mengemukakan maklum balas terhadap permohonan tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan masih dalam pertimbangan.

Ibhais menjelaskan bahawa Asaf Fried, jurucakap Union of Temple Mount Organizations dan pengerusi Jawatankuasa Membuka Temple Mount pada Hari Sabtu, memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara Israel telah memohon lanjutan masa daripada Mahkamah Agung untuk mengemukakan jawapan kerajaan terhadap petisyen yang menuntut agar peneroka Israel dibenarkan menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu.

Beliau berkata, kes berkenaan telah ditangguhkan buat kali kedua, dengan lanjutan terbaharu dijangka diberikan selama 30 hari.

Menurut Ibhais, pertubuhan-pertubuhan Temple Mount menggunakan prosiding mahkamah itu untuk mempromosikan tuntutan mereka kepada masyarakat Israel, selain melancarkan kempen tekanan secara berperingkat bagi mencapai matlamat tersebut, meskipun cadangan itu belum tentu dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan seumpama itu sebelum ini pernah ditolak dengan segera atas alasan keselamatan. Sebagai contoh, permohonan untuk mengadakan upacara korban haiwan di Masjid Al-Aqsa pada tahun 2012 telah ditolak.

Bagaimanapun, kelewatan kerajaan memberikan maklum balas kali ini menimbulkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa Israel mungkin sedang mempertimbangkan untuk meluluskan permohonan tersebut.

Ibhais turut menyatakan bahawa Menteri Kehakiman Israel merangkap Timbalan Perdana Menteri, Yariv Levin, sebelum ini pernah membayangkan sokongannya terhadap langkah berkenaan ketika menghadiri sambutan Hanukkah di luar Pintu Mughrabi pada 21 Disember 2025.

Beliau menambah bahawa Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, secara terbuka berjanji untuk membenarkan peneroka Israel menceroboh masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa pada hari Sabtu. Kenyataan itu dibuat ketika beliau sendiri menceroboh masuk ke kawasan masjid berkenaan pada 31 Ogos 2026.

Ibhais seterusnya berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Agung Israel untuk mendengar kes tersebut mencerminkan peluasan campur tangan badan kehakiman Israel dalam hal ehwal Masjid Al-Aqsa. Perkembangan ini berpotensi menjejaskan status quo sejarah yang sekian lama dipertahankan di tapak suci berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa mahkamah itu telah mendengar kes-kes berkaitan Masjid Al-Aqsa sejak tahun 1993, dan jumlah kes sedemikian semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Ibhais menegaskan bahawa usaha untuk memperluas pembahagian waktu akses di Masjid Al-Aqsa serta membenarkan pencerobohan peneroka Israel pada hari Sabtu merupakan perkembangan serius yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu.

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya cadangan tersebut diluluskan, langkah itu boleh membuka jalan untuk menjadikan hari Sabtu sebagai hari tetap bagi pencerobohan peneroka ke kompleks Masjid Al-Aqsa setiap minggu, dengan berselindung di sebalik alasan keagamaan.

Sehubungan itu, Ibhais menyeru agar kehadiran umat Islam di Masjid Al-Aqsa dipertingkatkan, khususnya pada pagi hari Sabtu. Menurut beliau, peningkatan jumlah jemaah serta kehadiran umat Islam secara berterusan di kompleks masjid itu amat penting bagi mengekang usaha pihak tertentu untuk mengubah keadaan sedia ada dan memaksakan realiti baharu di tapak suci tersebut.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Seorang pakar penyelidik dalam hal ehwal Baitulmaqdis memberi amaran tentang bahaya yang mengancam Masjid Al-Aqsa

Isnin, 19/10/2026 – Pakar hal ehwal Masjid Al-Aqsa, Ziad Abuhays, memberi amaran mengenai usaha Israel untuk membuka Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan pencerobohan peneroka Yahudi pada setiap hari Sabtu. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai ancaman terhadap Masjid Al-Aqsa yang berpotensi menjadikan hari Sabtu sebagai hari keagamaan mingguan bagi peneroka Yahudi di dalam masjid berkenaan, seumpama hari Jumaat bagi umat Islam. Menurutnya, tindakan itu boleh membuka ruang kepada usaha mengubah status quo di masjid berkenaan serta mengehadkan kebebasan umat Islam untuk mengunjunginya bagi menunaikan ibadah.

Abuhays berkata, tempoh yang ditetapkan Mahkamah Agung Israel kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil agar Masjid Al-Aqsa dibuka bagi pencerobohan pada hari Sabtu, berakhir pada Khamis, 15 Oktober 2026. Beliau berkata, perkara itu susulan sesi pendengaran yang diadakan mahkamah pada 17 September lalu bagi meneliti petisyen yang dikemukakan berhubung tuntutan berkenaan.

Menurut Abuhays, mahkamah kini menunggu pendirian Netanyahu selepas Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menyokong tuntutan pertubuhan-pertubuhan Kuil itu. Ben-Gvir dilaporkan telah mengemukakan maklum balas pada 14 September lalu yang menggesa supaya Masjid Al-Aqsa dibuka untuk pencerobohan Yahudi pada setiap hari Sabtu, bermula dengan musim perayaan semasa.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Navi Pillay: Apa yang Berlaku di Gaza Merupakan Genosid

Isnin, 19/10/2026 – Penerima Hadiah Novel Perdamaian Navi Pillay menegaskan bahawa pelanggaran Israel di wilayah Palestin yang diduduki merupakan pelanggaran serius yang menunjukkan genosid.

Beliau menekankan perlunya meminta pertanggungjawaban pihak penjajah atas pelanggaran yang dilakukan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat serta mengakhiri impunitas (kebal daripada hukuman) yang dinikmati para pemimpinnya.

Dalam wawancara dengan Al-Araby Television, Pillay mengatakan bahawa apa yang terjadi di Semenanjung Gaza merupakan genosid, sebagaimana kesimpulan Jawatankuasa Bebas Penyelidikan Antarabangsa mengenai wilayah Palestin yang diduduki dan Israel, yang sebelumnya pernah dipimpinnya.

Beliau menegaskan bahawa dia tidak meninggalkan perjuangan untuk Palestin setelah menamatkan jawatannya.Pillay menekankan pentingnya meneruskan penyelidikan, mendokumentasikan pelanggaran dan menyampaikan hasilnya kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau secara khusus menyoroti pentingnya menyampaikan informasi tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan yang mempunyai kemampuan mengambil tindakan untuk menghentikan pelanggaran dan melindungi rakyat Palestin, terutama di Tebing Barat yang diduduki.

Pillay mengatakan, “Kami tidak memiliki kekuatan politik, tetapi kami memiliki hak moral untuk menjalankan peranan ini dan memberi tahu dunia, khususnya kepada PBB serta semua badan yang memiliki wewenang untuk menuntut penghentian pelanggaran dan perlindungan bagi rakyat Palestin di Tebing Barat.”

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

4 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh dikala gencatan senjata baru di Gaza.

Isnin, 19/10/2026 – Pasukan penceroboh rejim Zionis Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza pada hari Ahad, melakukan serangan dron, tembakan artileri, dan tembakan yang mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, sejak subuh hari ini.

Sumber laporan pihak perubatan di Hospital Nasser mengesahkan bahawa tiga rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila sebuah dron Israel menyasarkan sebuah khemah di barat Khan Yunis di selatan Gaza.

Serangan itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh oleh pasukan Israel di Khan Yunis dan Jabalia sejak awal Ahad kepada empat orang, termasuk seorang kanak-kanak.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

UNESCO Sebulat Suara Menerima Dua Resolusi Mengenai Perlindungan Warisan Dan Institusi Pendidikan Palestin

Khamis, 15/10/2026 – Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebulat suara meluluskan dua resolusi berkaitan Palestin yang menegaskan keperluan melindungi warisan budaya serta memelihara institusi pendidikan dan kebudayaan Palestin, ketika tapak bersejarah dan kemudahan pendidikan di wilayah Palestin terus berdepan serangan oleh Israel.

Kelulusan itu dibuat semasa sesi ke-225 Lembaga Eksekutif UNESCO. Resolusi pertama membincangkan keadaan di wilayah Palestin, manakala resolusi kedua berkaitan pelaksanaan keputusan UNESCO mengenai institusi pendidikan dan kebudayaan.

Kedua-dua resolusi itu menekankan kepentingan melindungi warisan budaya Palestin, termasuk tapak bersejarah di Baitulmaqdis, Hebron dan Bethlehem. Selain itu, resolusi berkenaan turut menegaskan keperluan memelihara institusi pendidikan dan kebudayaan serta memantau pelaksanaan keputusan UNESCO yang berkaitan. Langkah itu bertujuan memastikan warisan tamadun Palestin terus terpelihara, di samping menjamin kesinambungan proses pendidikan dan kegiatan kebudayaan dalam kalangan rakyat Palestin.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Bassem Naim: Hamas Tanggapi Secara Serius Ancaman Bunuh Pemimpin oleh Katz, Propaganda Pilihan Raya Umum

Khamis, 15/10/2026 – Anggota Biro Politik Gerakan Pejuang Islam Hamas, Bassem Naim, mengatakan bahawa Hamas menanggapi secara serius ancaman Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, untuk membunuh pemimpin gerakan tersebut.Walaupun demikian, Hamas memahami bahawa ancaman tersebut muncul dalam konteks kempen pilihan raya umum Israel.

Dalam hantaran ucapannya, Naim menjelaskan bahawa kelompok sayap kanan ekstrem Israel saling berlumba untuk memperoleh suara dalam pilihan raua umum dengan cara menggambarkan “penyebaran kematian di mana-mana”.Pernyataan itu merujuk kepada meningkatnya ancaman Israel untuk mensasarkan para pemimpin kelompok perlawanan Palestin.

Naim menyampaikan pesan terus kepada Katz dengan mengatakan, “Apakah engkau mengancam kami dengan sesuatu yang kami doakan siang dan malam? Kesyahidan? Sia-sialah usahamu.” Beliau menegaskan bahawa Hamas akan terus menempuh jalannya hingga mencapai kemenangan dan pembebasan.

Penterjemah : Dr Osman

Categories
Berita Semasa

3 Buah Rumah Rakyat Palestin di Beit Hanina dirobohkan.

Selasa, 13/10/2026 – Tentera pendudukan Israel (IOF) merobohkan tiga buah rumah milik keluarga Shawamreh di kawasan kejiranan Al-Ashqariya, Beit Hanina, utara Baitulmaqdis yang diduduki, pada Ahad. Tindakan ini berlaku ketika pihak berkuasa Israel terus melaksanakan dasar perobohan yang mengancam hak rakyat Palestin untuk terus menetap di kediaman mereka, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap risiko pengusiran paksa dari kota tersebut.

Perobohan ini berlaku di tengah-tengah sekatan ketat terhadap pembinaan dan pemilikan rumah oleh rakyat Palestin, sedangkan peluasan penempatan haram Israel terus berlangsung di Baitulmaqdis yang diduduki serta kawasan sekitarnya.

Pihak berkuasa Israel lazimnya memberikan alasan bahawa rumah-rumah tersebut dibina tanpa permit. Namun, rakyat Palestin berdepan pelbagai halangan untuk mendapatkan kelulusan pembinaan daripada pihak berkuasa perbandaran Baitulmaqdis yang dikawal oleh Israel.

Keadaan ini meletakkan keluarga Palestin dalam dilema yang amat menyakitkan. Mereka terpaksa memilih antara merobohkan rumah sendiri bagi mengelakkan denda yang tinggi serta kos perobohan, atau menunggu jentolak Israel meranapkan kediaman mereka sebelum dikenakan pula bayaran tambahan bagi kerja-kerja perobohan tersebut.

IOF MEMAKSA RAKYAT PALESTIN MEROBOHKAN RUMAH SENDIRI

Menurut Gabenor Baitulmaqdis, jentolak Israel telah merobohkan ketiga-tiga buah rumah di kawasan kejiranan Al-Ashqariya, Beit Hanina, pada Ahad.

Perobohan tersebut menyusuli satu lagi kejadian pada Sabtu, apabila pihak berkuasa Israel memaksa seorang penduduk Palestin, Fadl Al-Rajabi, merobohkan rumahnya sendiri di kawasan yang sama atas alasan ketiadaan permit pembinaan.

Tindakan memaksa pemilik rumah merobohkan kediaman sendiri memberikan tekanan kewangan dan emosi yang amat berat kepada rakyat Palestin. Mereka dipaksa memusnahkan rumah yang dibina dengan titik peluh sendiri, hasil usaha bertahun-tahun demi menyediakan tempat berlindung untuk keluarga.

Namun, kesan daripada tindakan ini jauh melangkaui kehilangan harta benda semata-mata.

Keluarga Palestin bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah terpaksa menanggung beban kewangan, menghadapi risiko pengusiran dan berdepan gangguan terhadap kehidupan sosial serta hubungan komuniti mereka. Perobohan yang berulang turut mengancam keupayaan mereka untuk terus bertahan dan menetap di tanah kelahiran sendiri.

Kemusnahan rumah-rumah rakyat Palestin yang berterusan ini semakin menimbulkan kebimbangan bahawa sekatan perancangan dan pembinaan oleh Israel digunakan sebagai alat untuk menyingkirkan penduduk Palestin dari Baitulmaqdis yang diduduki. Apabila rumah yang dibina dengan penuh pengorbanan boleh dirobohkan, yang musnah bukan sekadar dinding dan bumbung. Turut terancam ialah rasa selamat, kesinambungan kehidupan keluarga dan hak rakyat Palestin untuk terus tinggal di tanah air mereka sendiri.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Mamdani mengutuk perang Israel ke atas Gaza: Selepas 3 tahun, pelaku tidak boleh terus terlepas dari hukuman

Isnin, 12/10/2026 – Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengecam perang Israel di Semenanjung Gaza, sambil menuduh Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai sejak Oktober 2023. Mamdani berkata lebih 74,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, termasuk lebih 21,000 kanak-kanak.

Dalam satu hantaran di platform X pada Rabu, Mamdani mendakwa kerajaan Israel telah membunuh lebih 74,000 rakyat Palestin dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Beliau turut mendakwa lebih 1,400 rakyat Palestin telah terbunuh sejak gencatan senjata yang diumumkan sebelum ini.

Menurut Mamdani, serangan yang menyasarkan ambulans di hadapan hospital, kawasan tempat tinggal serta para wartawan, selain sekatan terhadap kemasukan bantuan makanan melalui sempadan, telah memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

Penterjemah : Farah Najwa

Categories
Berita Semasa

Albanese: Genosid di Gaza belum berakhir, kemusnahan tidak terungkap dengan kata-kata

Isnin, 12/10/2026 – Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, berkata genosid Israel di Semenanjung Gaza belum berakhir, tiga tahun selepas ia bermula, sambil memberi amaran bahawa skala kemusnahan, kebuluran yang berterusan dan keadaan yang semakin buruk di seluruh wilayah Palestin yang diduduki memerlukan tindakan yang melangkaui kecaman diplomatik.

Dalam satu temu bual dengan Agensi Anadolu, Albanese berkata situasi di Gaza adalah “katastropik” dan di luar apa yang boleh digambarkan dengan kata-kata. Beliau memberi amaran bahawa kemusnahan yang berterusan menimbulkan persoalan serius mengenai tindak balas komuniti antarabangsa, khususnya kerajaan-kerajaan yang terus menyokong Israel.

Albanese berkata merujuk kepada rakyat Palestin sebagai “mangsa yang terselamat daripada genosid” boleh memberi gambaran yang salah bahawa bahaya telah berlalu, sambil menyatakan bahawa sekitar 70% Semenanjung Gaza berada di bawah kawalan Israel manakala kemusnahan secara meluas terus berlaku.

Amaran beliau itu bertepatan dengan kenyataan Pelapor Khas PBB mengenai hak kepada makanan, Sofía Monsalve Suárez, yang berkata bantuan kemanusiaan masih tidak memasuki Gaza secara bebas atau pada skala yang diperlukan, menyebabkan rakyat Palestin terperangkap dalam ketidakjaminan makanan yang teruk.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

4 syahid, termasuk seorang anggota Pertahanan Awam di Gaza

Isnin, 12/10/2026 – Empat rakyat Palestin, termasuk seorang anggota Pertahanan Awam, terbunuh dan yang lain cedera pada hari Rabu akibat tembakan dan pengeboman Israel di pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, serentak dengan peningkatan pelanggaran oleh pendudukan perjanjian gencatan senjata.

Wartawan Pusat Maklumat Palestin berkata bahawa warga emas Hisham Ibrahim Musa Abu Mustafa (60 tahun) terbunuh akibat serangan dron Israel yang menyasarkan kem Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.

Di Khan Yunis juga, warga Ziad Zuhair Fakhri Zaarab terbunuh akibat pengeboman Israel yang menyasarkan kawasan Qizan Rashwan di selatan bandar.

Budak lelaki Nimer Ahmed Nimer Barabakh juga syahid, meninggal dunia akibat luka yang dialaminya akibat peluru yang dilepaskan oleh pasukan pendudukan di kepala di kawasan komunikasi, di timur bulatan Abu Hamid, di timur Khan Younis.

Pada pagi Rabu, anggota Pertahanan Awam Mohammed Tamous terbunuh dalam pengeboman Israel yang menyasarkannya semasa dia dalam perjalanan untuk memindahkan orang yang cedera dari sekitar
Hospital Kamal Adwan di utara Semenanjung Gaza.

Dua warganegara cedera akibat serangan Israel berhampiran pintu pagar utara Hospital Kamal Adwan, serentak dengan dron Israel menjatuhkan bom bunyi di sekitar hospital.

Di Khan Younis, seorang gadis cedera oleh pasukan pendudukan Israel di kawasan Mawasi di bandar itu, sementara kenderaan pendudukan melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah orang yang terlantar di kawasan itu.

Kebakaran kereta kebal pendudukan turut mengenai khemah-khemah yang melindungi orang-orang yang kehilangan tempat tinggal di sekitar kolam kejiranan Al-Amal di Jalan 5, utara Khan Younis, serentak dengan tembakan berat di timur bandar.

Wartawan “Center” melaporkan bahawa tentera pendudukan menjalankan dua operasi perobohan di timur laut Khan Younis dan di timur bandar, sementara kapal perang Israel melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah orang yang terlantar di kawasan Rafah di selatan Semenanjung Gaza, bertepatan dengan tembakan berat dari kenderaan pendudukan di kawasan itu.

Di sektor tengah, tembakan meriam Israel bersambung di timur bandar Deir al-Balah, bertepatan dengan tembakan berat daripada kenderaan
Israel yang menceroboh, sementara tentera pendudukan menjalankan operasi perobohan di tenggara bandar.

Bagi Bandar Gaza, pasukan pendudukan menjalankan operasi perobohan di timur kawasan kejiranan Al-Tuffah dan timur selain operasi perobohan lain di timur bandar.

Di langit di atas Semenanjung Gaza, pesawat perang Israel melancarkan bom termal, di tengah-tengah peningkatan berterusan di lapangan dan pelanggaran perjanjian gencatan senjata.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Perang Meninggalkan Luka Panjang Di Gaza, 71000 Anak Yatim Dan 64000 Janda

Isnin, 12/10/2026 – Tiga tahun perang di Semenanjung Gaza tidak hanya meninggalkan reruntuhan rumah dan bangunan. Perang juga meninggalkan luka sosial yang mendalam kepada keluarga Palestin. Puluhan ribu orang kehilangan ayah, ibu, anak dan pencari nafkah, sehingga kehilangan tersebut berubah dari sebuah peristiwa menjadi kenyataan sehari-hari yang membebani seluruh masyarakat.

Data Kementerian Pembangunan Sosial di Gaza menunjukkan besarnya perubahan tersebut. Jumlah anak yatim mencapai sekitar 71,846 orang, sementara jumlah janda mencapai angka 64,413 orang sepanjang perang yang berlarutan. Pada masa yang sama, jumlah ketua keluarga yang ditanggung oleh wanita meningkat menjadi sekitar 86,000 keluarga.

Angka-angka tersebut tidak sekadar menunjukkan data statistik, di belakangnya terdapat ribuan rumah yang berubah, anak-anak yang terpaksa menjadi dewasa sebelum waktunya, perempuan yang tiba-tiba menghadapi tanggung jawab baru dan berat, serta keluarga yang kehilangan sumber pendapatan dan pencari nafkah dalam keadaan ekonomi dan kemanusiaan yang sangat buruk.

Kehilangan ayah atau pencari nafkah dalam masyarakat Gaza bukan hanya bererti hilangnya satu orang dari rumah. Keadaan tersebut membuka rangkaian panjang keperluan dan cabaran yang dimulai dari pendapatan, makanan dan tempat tinggal, seterusnya ke aspek pendidikan, kesihatan, rawatan psikologi dan perlindungan sosial.

Dengan meningkatnya jumlah keluarga yang ditanggung wanita menjadi sekitar 86,000 keluarga, ribuan ibu kini menghadapi tanggung jawab berganda. Mereka perlu menjaga anak, memenuhi keperluan rumah, menghadapi kemiskinan dan pengangguran, sekaligus menghadapi akibat kehilangan, tinggal di khemah dan kehancuran.

Penterjemah : Dr Osman