Kerajaan Haneyya seru masyarakat antarabangsa sekat keganasan Zionis.

Rabu,  06/05/2009 – Kerajaan Palestin yang diketuai oleh Ismail Haneyya menyeru masyarakat antarabangsa agar berusaha untuk mengekang keganasan yang semakin memuncak dilakukan oleh para pemimpin regim Zionis. Ini perlu dilakukan bagi menghalang mereka melakukan jenayah yang lebih besar terhadap rakyat Palestin.

Kerajaan Palestin menjelaskan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat mingguannya pada petang Selasa (5/5) bahawa ia mengutuk pengeboman berturut-turut yang dilancarkan oleh pasukan tentera Zionis melalui kapal-kapal perang dan meriam mereka hampir setiap hari terhadap Semenanjung Gaza dan juga operasi penyusupan berterusan yang dilakukan di bandar dan perkampungan Tebing Barat. Dalam masa yang sama, kerajaan Palestin memberi amaran bahawa tindak balas dalam pelbagai bentuk mungkin akan berlaku terhadap pencerobohan tersebut.

Kerajaan Palestin juga memberi amaran terhadap operasi pengyahudian secara besar-besaran yang dilakukan pasukan tentera Zionis terhadap bandar al-Quds dan percubaan meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Dalam perkembangan yang sama, ia menyeru bangsa Arab dan umat Islam agar mengambil pendirian jelas dan tindakan yang praktikal demi memelihara tempat-tempat suci Islam daripada terus diyahudikan.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir