‘Armada Kemerdekaan’: Kami akan tentang cubaan hentikan kami

Khamis , 27/05/2010 –Pakatan ‘Armada Kemerdekaan’ yang sedang menuju ke Semenanjung Gaza memberi amaran kepada pihak berkuasa Zionis yang telah memberikan ugutan untuk menyekat dan menghalang armada berkenaan agar pihak Zionis tidak berbuat demikian bagi menghalang kapal-kapal yang memuatkan pelbagai bantuan kemanusiaan itu. Pakatan tersebut juga menegaskan bahawa para aktivis yang menyertai armada berkenaan mengambil pendekatan untuk menghadapi dan menentang sebarang percubaan untuk menyekat armada tersebut.

Menurut sumber yang bertanggungjawab terhadap armada berkenaan dalam satu kenyataan kepada al-Quds Press: “Kami mengikuti kenyataan-kenyataan media pihak berkuasa Israel yang tidak konsisten. Oleh itu, kami ingin tegaskan di sini dengan jelas bahawa tujuan dan matlamat kami ialah Gaza. Kami tidak akan tersasar daripada matlamat tersebut. Oleh itu, kami akan menentang sebarang percubaan pihak Israel untuk memberhenti dan menyekat armada ini.”

Beliau juga memaklumkan pihak Zionis masih lagi sehingga kini menyebarkan laporan-laporan tentang niat mereka untuk memintas kapal-kapal yang terlibat dalam armada berkenaan serta menangkap para aktivis yang menyertainya. Di samping itu, terdapat juga laporan-laporan yang menunjukkan bahawa pihak keselamatan Zionis mahu mengganggu isyarat komunikasi dan memencilkan berita tentang armada tersebut daripada diketahui oleh dunia.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir