Khamis , 27/05/2010 –Anggota Biro Politik HAMAS, Dr Mahmud al-Zahhar menegaskan bahawa HAMAS sentiasa berusaha mencapai kesatuan dengan semua kumpulan pejuang Palestin dalam rangka usahanya untuk merealisasikan matlamat bersama, agar dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menguatkan pendirian Palestin.
Dalam satu pertemuan politik yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Politik HAMAS di timur Gaza pada hari Rabu (26/5), beliau menyeru kepada penyatuan barisan Palestin melalui perdamaian Palestin berdasarkan opsyen meneruskan perjuangan sebagai pilihan yang strategik dalam menghadapi pencerobohan terhadap isu Palestin.
Beliau menjelaskan, HAMAS telah mengisytiharkan melalui kunjungan-kunjungan yang dilakukan ke negara-negara barat bahawa ia tidak akan mengiktiraf negara haram Zionis yang berada di atas bumi Palestin. Beliau juga menjelaskan HAMAS sentiasa berusaha dalam rangka perancangan Palestin yang tidak terbatas kepada perkataan sahaja, tetapi melalui usaha dan perbuatan bagi merealisasikan matlamat dan kepentingan rakyat Palestin. Beliau juga menafikan kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemerhati yang membandingkan HAMAS dengan gerakan Fatah dari sudut hubungan dengan dunia barat.