Qana berdarah lagi!

oleh : Maszlee Malik

Pada tahun 1996, bandar Qana yang terletak di selatan Lubnan, 16 km daripada bandar Tyre telah menempatkan dirinya ke dalam peta dunia. Bukanlah sebelum tahun tersebut ianya tidak wujud, tetapi kewujudannya hanya dirasakan selepas tahun tersebut. Mengapa?, kerana bandar yang serba dhaif tersebut telah dibedil oleh tentera Rejim Zionis. Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa yang teramaidi dalam keganasan tersebut. Lebih daripada 100 orang awam telah mati dibedil ketika mereka sedang berlindung di dalam pusat perlindungan PBB. Mereka terpaksa berlindung kerana tentera Rejim Zionis pada waktu tersebut masih lagi menjajah Selatan Lubnan dan masih menggila membunuh, menangkap dan menyiksa rakyat Lubnan.


30 Julai 2006, Qana sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah 10 tahun ia dilupakan. Sekali lagi rakyat awam dari masyarakat Lubnan menjadi mangsa jenayah keganasan Rejim Zionis. Perang yang telah terletus semenjak 12 Julai 2006 telah dijadikan alasan untuk Rejim Zionis untuk menghalalkan darah rakyat awam Lubnan. Pihak tentera Zionis (IDF) telah menuduh para pejuang Hizbullah menjadikan kampung di Qana sebagai tapak melancarkan roket untuk menyerang bandar-bandar Zionis. Sehingga kini, lebih 60 rakyat (dan hampir 40 kanak-kanak) menjadi korban keganasan mereka. Rumah-rumah hancur dan menjadi debu kerana serangan bom yang telah digugurkan oleh pesawat perang Zionis pada jam satu pagi hari tersebut. Seluruh dunia telah bangkit mengutuk dan mengecam jenayah tersebut.

Malangnya, Dan Gillerman, wakil Rejim Zionis di PBB meletakkan tanggung jawab kematian rakyat di Qana di atas bahu Hizbullah. Di dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama, beliau dengan bangganya tidak mahu mengaku bersalah di atas jenayah berkenaan. Menurut beliau dan juga lain-lain pemimpin Zionis, termasuk Ehud Olmert, Hizbullah telah menjadikan orang awam sebagai perisai manusia mereka. Demi menjustifikasikan tindakan mereka, mereka sanggup mengatakan bahawa Hizbullah telah menyimpan senjata mereka di rumah-rumah masyarakat awam. Di atas premis tersebut, mereka ingin mencuci tangan mereka di atas apa yang berlaku di Qana dan melonggokkan kesalahan di atas bahu Hizbullah.


Percayalah, rejim Zionis adalah pasukan yang penakut dan bacul kerana hanya menyerang kanak2 dan wanita sahaja !! Ini adalah mangsa di Qana.


Menariknya, semua pemimpin Rejim mempunyai nada yang sama dan rentak yang sama di dalam mengeluarkan kenyataan. Samada yang mengeluarkan kenyataan itu Ehud Olmert, ataupun Menteri pertahanan mereka (Emir Perez), ataupun Menteri Luar mereka, mahupun wakil mereka di PBB, hatta rakyat awam sekalipun. Jawapan mereka amat mudah, Rejim Zionis berperang dengan Hizbullah, Hizbullah merupakan pengganas yang perlu dihapuskan. Segala tindakan tentera Zionis menurut mereka adalah untuk merealisasikan resolusi 1559 PBB dan juga resolusi 1680. Kedua-dua resolusi tersebut dengan jelas telah memaksa Hizbullah untuk melucutkan senjata. Sesudah 600 rakyat Lubnan yang dikorbankan, ribuan yang lain tercedera dan 700,000 yang lain pula terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka, Rejim Zionis tetap bertegas mereka hanya menyerang Hizbullah dan bukannya rakyat Lubnan. Bagi mereka, dunia sepatutnya menerima tindakan Rejim Zionis sebagai usaha untuk mempertahankan diri.

Rejim Zionis juga seperti biasa akan mengatakan bahawa mereka tidak pernah mensasarkan orang awam. Mereka hanyalah menyerang para pengganas dan kebetulan masyarakat awam dijadikan perisai oleh para pengganas. Agak lucu, kerana perisai yang mereka dengan tidak sengaja membunuhnya itu jumlahnya sudah meningkat beribu, bukan hanya di Lubnan, malah di Palestin (Gaza dan Tebing Barat). Rejim Zionis juga berusaha untuk menyalahkan Iran dan Syria yang mereka dakwa sebagai penyebab utama peperangan dan penaja keganasan. Iran dan Syria dilabel sebagai penaja keganasan kerana telah membiayai Hizbullah. Mudah sahaja sifir mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh rakyat Palestin ataupun Lubnan ialah keganasan, dan apa sahaja yang mereka lakukan adalah usaha membenteras keganasan. Resolusi 1559 dan 1680 dijadikan alasan utama mereka untuk bertindak, walhal mereka bukanlah wakil PBB untuk tujuan tersebut.

Rejim Zionis menggesa Lubnan untuk melaksanakan kedua-dua resolusi tersebut, seolah-olah mereka adalah entiti yang begitu berpegang dengan segala resolusi-resolusi PBB. Bagaimana pula dengan resolusi 194 (memaksa Rejim membenarkan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka) dan 242 (Rejim wajib berundur dari Gaza dan Tebing Barat) yang tidak pernah dipatuhi oleh Rejim Zionis?, Bagaimana pula dengan keputusan ICJ pada Julai 2004 yang menyuruh pihak Rejim merobohkan tembok pemisah (Apartheid) mereka?, bagaimana juga dengan resolusi 425 yang memaksa mereka meninggalkan Lubnan dengan segera pada tahun 1978 dan tidak pernah mereka patuhi?


Deretan mayat di Qana, umat Islam masih tunggu dah lihat.


Jika mereka menuduh Hizbullah dan juga HAMAS sebagai pengganas, tidakkah mereka melihat siapakah yang mencipta para pengganas ini?, tidakkah juga mereka melihat apakah yang menyebabkan mereka mengganas?, lebih parah lagi, tidakkah mereka melihat apa yang telah dilakukan oleh pihak rejim semenjak tahun 1917 lagi adalah 100 kali ganda ganas daripada apa yang dilakukan oleh HAMAS dan Hizbullah?, Apakah mereka sudah lupa bahawa IDF itu sendiri terbina di atas gabungan kumpulan-kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Stern, Haganah dan lain-lain lagi? Apakah orang yang menjajah itu adalah lebih mulia daripada mereka yang menentang penjajahan?, malangnya masyarakat dunia sering ditipu dengan propaganda Zionis di seluruh dunia.

Walau apapun kesimpulan yang kita buat, yang pasti Rejim Zionis akan terus mengganas. Jika tidak di Lubnan, mereka akan mengganas di Gaza, jika tidak di Gaza, mereka akan mengganas di Tebing Barat, jika tidak di Tebing Barat, mereka akan menyerang Syria dan juga lain-lain tempat di rantau berkenaan. Apakah yang kita hendak harapkan kepada sebuah negara yang mempunyai lebih 200 peluru nuklear, tidak pernah mematuhi segala keputusan PBB, sentiasa disokong oleh AS dengan veto-veto di Majlis Keselamatan PBB, dibiayai setiap tahun oleh AS terutamanya di dalam bidang persenjataan dan juga tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan di atas keganasan yang mereka lakukan semenjak tertubuhnya negara haram bernama “Israel” pada 15 Mei 1948 ?

Jika anda masih lagi berharap, dan masih lagi berbaik sangka untuk mendapatkan kedamaian dengan Rejim Zionis, maka anda bukanlah seorang yang mempunyai akal yang waras!!!