Kerugian Terus Meningkat: Media Israel Minta Serangan Ke Lubnan Dihentikan.

Jumaat ,11/08/2006 –
Akibat kerugian yang ditanggung Israel semakin meningkat, pihak medianya mulai berteriak “hentikan serangan”. Kelmarin sahaja seramai 15 tentera Israel terkorban, 10 orang cedera dan 6 antaranya parah.

Peristiwa yang menimpa pasukan Israel kelmarin disebut oleh Yediot Aharonot sebagai hari paling
sukar dengan dua kali digempur Hizbullah. Dalam serangan itu 10 Israel mati di perkampungan Debl.
Empat antaranya mati dalam ledakan bom rangkai yang memusnahkan kereta kebal yang dinaiki tentera
Israel.

Hampir semua akhbar Israel kelmarin membincangkan tentang kerugian nyawa dan infrastruktur Israel akibat serangan Hizbullah. Begitu juga hampir semuanya mulai menyuarakan permintaan kepada pemerintah Israel untuk menghentikan serangan ke Lubnan. Bahkan akhbar Yediot Aharonot, menyiarkan sebuah artikel khusus surat kecaman dari isteri-isteri soldadu Israel terhadap Ehud Olmert agar menghentikan perang ini.

Seorang kolumnis Israel, Nahem Barniya’ juga menulis artikel berjudul “Olmert putuskan hubungan
keluarga rakyatnya” dan meminta agar perang dihentikan kerana hasilnya sangat meragukan.

Sementara itu seorang wartawan Israel, Ilkiyas Visman menulis di Aharonot “di selatan Lubnan ada
3000 hingga 4000 tentera Hizbullah. Ratusan sudah meninggal dalam perang darat. Bakinya menunggu
Israel menyerang dengan perang saraf. Mereka akan bersembunyi di gua-gua dan tempat persembunyian lain dan meletakkan periuk api. Mereka juga akan melepaskan roket anti tank. Tentera Israel harus bersiap sedia untuk mengorbankan jiwanya” dengan bahasa menyindir.

Akhbar Israel juga menyatakan, menjauhkan Hizbullah dari selatan Lubnan akan memerlukan waktu sebulan setengah atau lebih dan akan memungkinkan lebih banyak tentera Israel terkorban. Tentera Hizbullah memiliki roket anti-tank canggih buatan Rusia di setiap kampung dan terdapat 150 tentera yang siap siaga menyerang tentera Israel pada bila-bila masa. Hingga kini kerugian ekonomi Israel mencapai USD1.2 bilion. Sementara itu Hizbullah telah menghancurkan 11 ribu bangunan Israel, membunuh 122 orang termasuk 88 orang tentera, menurut Yediot Aharonot.