Khamis ,24/08/2006 – Sheikh Tayseer Al-Tamimi, Kadi Besar Palestin, Isnin lepas, memberikan taklimat kepada Menteri Wakaf Mesir, Mahmoud Zakzok tentang tindakan pihak penceroboh Israel yang berterusan melakukan onar untuk meng-yahudi-kan bandar suci tersebut dan memisahkannya dari kawasan penduduk Palestin.
Tamimi berkata pihak berkuasa Israel tersebut sedang dalam rangka mengasingkan kawasan tersebut dengan membina tembok pemisah yang mana apabila siap kelak akan mengakibatkan seluruh kawasan tersebut terasing dari Tebing Barat.
Beliau menambah, Israel telah bersungguh-sungguh melakukan pelbagai cubaan bagi mengosongkan kawasan Baitul Maqdis dari penduduk asal dalam misi mereka untuk “menyeimbangkan” komposisi yang mana secara jelas lebih memihak kepada kaum Yahudi.
Kadi Besar itu turut menyorot perhatian Menteri Mesir kepada bahaya tindak-tanduk puak fanatik Yahudi yang berterusan mencuba untuk menceroboh dan menoda kesucian Masjid Al-Aqsa dengan mereka (fanatik Yahudi) mendapat sokongan penuh dari Tel Aviv – yang dalam masa yang sama – menghalang umat Islam dari masuk dan beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa – yang merupakan satu bentuk tindakan menghalang kebebasan mengamalkan agama.
Selanjutnya beliau (Tamimi), memberikan amaran tentang tindak-tanduk Israel menebuk di bahagian bawah Masjid Al-Aqsa yang mana menurut beliau bertujuan untuk memusnahkan terasnya (Al-Aqsa).
Tamimi kemudiannya mengalih pandangan kepada pencabulan Israel keatas Masjid Ibramimi di Al-Khalil termasuk dengan mengadakan konsert muzik didalam masjid, menghalang dari dialunkan azan dalam masa yang panjang, dan usaha berterusan meng-yahudi-kan Bandar Lama di Al-Khalil.
Menteri Mesir pula – bagi pihaknya – berjanji akan menyampaikan perkara tersebut kepada pemerintah kerajaan Mesir dalam kempen untuk membantu menghentikan pencabulan yang serius ini.