Yaman seru pertahankan, beri amaran ancaman bahaya terhadap Masjid Al-Aqsa

Khamis ,24/08/2006 –
Dr. Ahmed Al-Asbahi, Ahli Majlis Syura Yaman, telah menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi negaranya kepada rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka, serta memberi amaran tentang bahaya tindakan gerakan ekstrimis Israel terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Dalam seminar yang dianjurkan oleh Institut Al-Quds cawangan Yaman di Sana’a dua hari lepas, beliau berkata sokongan negara-negara Arab kepada pejuangan di Palestin masih dibawah tahap yang sepatutnya.

Beliau menyorot kembali ancaman-ancaman yang telah dikenakan keatas Masjid Al-Aqsa sebelum ini, dan memberi amaran akan ada ancaman yang lebih hebat di masa akan datang. (Ancaman) Ini, menurut beliau adalah selari dengan hasrat Rabbi Yahudi yang mahu merobohkan Masjid Al-Aqsa dan membina diatasnya apa yang mereka dakwa sebagai kuil ketiga.

Sementara itu, Rasha Al-Rantisi, balu kepada pengasas gerakan Hamas, Dr. Abdul Aziz Al-Rantisi, mengecam media Arab kerana menumpukan kepada visual mangsa pembunuhan dan kekejaman Israel di Lubnan dan Palestin semata-mata. Kata beliau, “Kita mahukan mereka memaparkan kehancuran yang dialami oleh Mirkava (kereta kebal) Israel”, yang menurutnya – paparan seperti ini – akan membangkitkan semangat juang di kalangan orang Islam.

Hisham Ali, Setiausaha Kementerian Kebudayaan, membacakan kenyataan bagi pihak menteri, Khaled Al-Ruwaishan, menyeru kepada penentangan di Lubnan dan Palestin dan menyelar “tindakan terroris” Israel.