Haneyya: Kami tidak akan khianati kehendak rakyat


Isnin , 16/10/06 –
Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya mengecam tindakan sebahagian parti politik dan bukan politik di Palestin yang bertindak merancang konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya yang dipilih secara demokrasi pada pilihanraya Januari lalu. Beliau mengatakan bahawa parti-parti itu menggunakan pelbagai cara dan cubaan untuk memaksa kerajaan Hamas mengiktiraf Israel.

Walau bagaimanapun, beliau yang berucap ketika demonstrasi anjuran Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Muslim Khamis lalu di Rafah menegaskan bahawa kerajaannya tidak akan sekali-kali mengkhianati kehendak rakyat Palestin dalam apa jua keadaan meskipun terlalu banyak tekanan yang terpaksa dihadapi.

Beliau berkata bahawa kerajaannya masih lagi bersemangat untuk meneruskan permbentukan kerajaan gabungan berdasarkan persetujuan yang termaktub di dalam Dokumen Harmoni Kebangsaan yang telah ditandatangani oleh semua paksi di Palestin. Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa kerajaannya adalah fleksibel dalam usaha membentuk kerajaan gabungan hanya untuk menghadapi kempen boikot tidak adil yang dianjurkan oleh Amerika dan Israel bersama-sama dengan Eropah dan musuh-musuh dalam selimut.

“ Kita begitu hampir dengan kemenangan dan kita akan dapat memasuki Masjid al-Aqsa sebagai rakyat yang merdeka tidak lama lagi InsyaAllah. Dari sini, Rafah tanah syuhada, kami memperbaharui janji kami terhadap rakyat palestin dan hak kemanusiaan yang tidak akan kami khianati.” Perdana Menteri itu meyakinkan penduduk-penduduk yang menghadiri demonstrasi pada hari itu. Tambahnya lagi, kerajaan PA akan menambah 250,000 dollars sebagai bantuan kecemasan kepada penduduk di bandar Rafah dalam masa beberapa hari lagi menerusi kementerian-kementeriannya.

Dalam pada itu, sumber Palestin memberitahu bahawa kerajaan PA baru sahaja menerima 52million dollar daripada Algeria sebagai bantuan kepada rakyat Palestin yang ditindas, membantu membayar gaji serta mengurangkan beban yang ditanggung oleh kakitangan kerajaan. Menteri Perancangan Palestin, juga selaku pemangku Menteri Kewangan, Samir Abu Aisha mengatakan harapannya bahawa kerajaan PA akan dapat membayar gaji kepada kakitangan kerajaan sebelum bermulanya sambutan Aidilfitri minggu depan. Abu Aisha mengatakan bahawa beberapa kerajaan Arab telah mengatakan kesediaan untuk menambah bantuan kewangan kepada Palestin dan bantuan itu dijangka tiba dalam masa beberapa hari lagi.