
Isnin, 20/11/06 –
Sebuah keluarga Palestin yang disokong oleh beratus-ratus penduduk yang lain di kem pelarian Jabalia telah Berjaya menghentikan serangan udara Israel ke atas rumah mereka selepas mereka enggan meninggalkan rumah itu. Mereka kemudiannya membentuk satu benteng manusia di atas dan di sekeliling rumah terbabit. Rumah tersebut adalah milik keluarga Wael Baroud, salah seorang pemimpin Kumpulan Pejuang Popular.
Keluarga tersebut telah menerima sebuah panggilan telefon daripada jurucakap tentera Israel yang menyuruh mereka meninggalkan rumah itu kerana tentera udara Israel mahu memusnahkannya. Mereka kemudiannya merayu kepada penduduk setempat supaya berkumpul di dalam, atas dan sekeliling rumah itu untuk membentuk perisai manusia dalam usaha menghentikan serangan Israel.
Beratus-ratus penduduk berkumpul di rumah itu termasuklah Dr.Nizar Rayyan, salah seorang pemimpin Hamas yang mengumumkan kempen melindungi rumah-rumah di Gaza dengan membentuk benteng pertahanan manusia. Tentera Israel yang cuba mengebom rumah terbabit bagaimanapun dilihat meninggalkan kawasan itu setelah penduduk berdegil dan enggan berundur.
Sejak dua hari yang lepas, tentera udara Israel dilihat telah memusnahkan sekurang-kurangnya sepuluh buah rumah di Semenanjung Gaza beberapa minit selepas menelefon keluarga berkenaan dan meminta mereka meninggalkan rumah masing-masing. Empat bulan yang lepas, sebuah keluarga di Khan Younis di selatan Gaza telah mengambil langkah membentuk perisai kemanusiaan selepas menerima panggilan telefon dari Israel yang mahu meranapkan rumah mereka. Keengganan mereka meninggalkan rumah itu dan bertindak demikian adalah untuk menghentikan kekejaman Israel.