Amerika Tolak Kerajaan Perpaduan Nasional Kerana Haneya


Jumaat, 26/01/07 –Satu sumber penting di Palestin pagi ini menyebutkan,
penasihat presiden Mahmud Abbas yang berada di Amerika ketika ini telah menyampaikan
kepadanya bahawa Amerika Syarikat menolak sebarang perbincangan berkenaan kerajaan
perpaduan nasional Palestin yang ingin dibentuk oleh PM Ismael Haneya.

Bahkan Amerika mengancam akan terus memulaukan kerajaan Palestin.

Beberapa sumber lain menyebutkan, gerakan Hamas mengajukan kepada presiden Mahmud Abbas empat nama calon Perdana Menteri dalam kerajaan yang akan dibentuk iaitu; Dr. Zahir Kahel, rektor Universiti Antarabangsa Palestin, Dr. Muhammad Shaber, Dr.
Khalid Al Hindi dan Dr. Basim Naem, Menteri Kesihatan.

Jurucakap kerajaan Palestin, Dr. Ghazi Hamd menyebutkan belum ada perkembangan
terbaru kerana satu-satunya calon PM ialah Ismael Haneya sendiri. Ini kerana kerajaan Palestin masih tetap dengan pendirian kepentingan Palestin bukan
kepentingan Amerika.

Sumber Palestin juga menyatakan, Setiausaha Negara Amerika, Condalizza Rice akan datang berkunjung ke beberapa kawasan dengan tujuan menekan pemerintah bersatu Palestin supaya menolak kepimpinan Ismael Haneya di samping mewar-warkan cadangan pendirian Negara Palestin sementara. Beliau juga dijangka akan menyampaikan kepada Israel agar membebaskan Palestin dari embargo dan mengalihkan hasil cukai kepada pihak presiden Palestin.

Seorang pegawai kanan presiden Palestin menegaskan bahawa pada 17 Januari lalu dua
penasihat presiden Mahmud Abbas berlepas ke Amerika dan negara-negara Eropah untuk
melakukan beberapa perbincangan. Kunjungan ini dilakukan dalam rangka meyakinkan
dunia Barat agar bersedia berinteraksi dengan pemerintah dan membebaskan Palestin
dari embargo.