
Rabu, 02-12-2015 – Jawatankuasa bagi Memecah Kepungan dan Pembangunan Semula Gaza, menerusi jurucakapnya, Adham Abu Salmiya berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian penuh pada kesan buruk yang timbul, susulan penutupan pintu sempadan Rafah, sempadan antara Gaza dengan Mesir kerana ia menjadi punca utama situasi kemanusiaan di Gaza, sekarang berada pada tahap kritikal.
Dalam satu kenyataan ringkas pada hari Ahad kelmarin, Abu Salmiya berkata, terdapat beribu-ribu warga Gaza yang terdiri dari pesakit dan pelajar serta penduduk tempatan yang memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka, menderita akibat penutupan berterusan pintu masuk sempadan itu.
Menurut Jawatankuasa itu, mereka akan cuba untuk terus memperbaharui usaha mendapatkan bantuan kemanusiaan dengan merayu pihak Mesir dan pihak-pihak berkaitan supaya pintu masuk sempadan itu dapat dibuka dengan segera. Sehingga hari ini, pintu sempadan Rafah itu, telah ditutup lebih 400 hari oleh pihak pemerintah Mesir kerana keadaan keselamatan di utara Sinai yang mereka dakwa semakin tidak terkawal.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : zainudin