Categories
Berita Semasa

140 tahanan teruskan mogok lapar untuk hari ke 13

Rabu, 25-09-2019 – 140 tahanan Palestin di penjara Israel telah meneruskan mogok lapar tanpa penghujung untuk hari ke-13 berturut-turut, sebagai bantahan ke atas pemasangan alat penyekat isyarat telefon bimbit yang dipasang di pusat-pusat tahanan, kerana alat penyekat berkenaan dikatakan boleh menyebabkan penyakit barah.

Pihak berkuasa penjara Israel masih berkeras tidak akan menunaikan janji yang telah dibuat kepada wakil tahanan Palestin untuk menanggalkan alat penyekat isyarat telefon bimbit berkenaan, memasang telefon awam dan menghentikan segala tindakan yang sengaja menyusahkan tahanan.

Sejak beberapa bulan lalu, pihak Perkhidmatan Penjara Israel telah memasang alat penyekat isyarat telefon bimbit di dalam penjara-penjara Israel. Mereka kemudiannya telah meningkatkan aras isyarat radio alat penyekat berkenaan yang amat berbahaya, di lokasi-lokasi di antara bahagian-bahagian di dalam penjara.

Tahanan Palestin di penjara-penjara yang berbeza telah mengadu sakit kepala yang serius, yang disebabkan oleh alat penyekat isyarat telefon bimbit berkenaan, tetapi pihak Perkhidmatan Penjara Israel tetap tidak mengendahkan kesan-kesan negatif ke atas kesihatan tahanan yang disebabkan oleh isyarat radio berkuasa tinggi yang dihasilkan oleh alat penyekat berkenaan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul