
Selasa, 18-02-2020 – Syarikat e-dagang Amerika Syarikat Amazon telah dikecam kerana menawarkan penghantaran percuma ke penempatan haram di Tebing Barat Terjajah, tetapi tidak kepada rakyat Palestin.
Menurut Financial Times, pelanggan yang tinggal di Wilayah Palestin boleh menerima penghantaran percuma hanya apabila mereka meletakkan Israel sebagai alamat mereka.
The Financial Times berkata, penemuan hasil siasatan yang dijalankan di Tebing Barat mendapati bahawa Amazon menawarkan penghantaran percuma jika alamat pelanggan berada di Israel dan jumlah pesanan adalah melebihi $49.
Walau bagaimanapun, pelanggan Palestin yang meletakkan alamat mereka sebagai “Wilayah Palestin” terpaksa membayar yuran penghantaran bermula dari $24.
Jurucakap Amazon Nick Caplin berkata, “Jika pelanggan di Wilayah Palestin memasukkan alamat mereka dan memilih Israel sebagai negara mereka, mereka boleh menerima penghantaran percuma melalui promosi yang sama.”
Banyak organisasi hak asasi manusia mengkritik dasar Amazon. Seorang peguam hak asasi antarabangsa menuduh Amazon mengamalkan “diskriminasi secara terang-terangan antara bakal pelanggan berdasarkan kewarganegaraan mereka”.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul & nur idawati