Tahap Kesihatan Tahanan Palestin Dengan Barah Otak Semakin Kritikal

Khamis, 02-04-2020 – Tahap kesihatan seorang tahanan yang sedang menghidapi barah otak, Eyad Jerjawi, 34, semakin merosot disebabkan pengabaian perubatan secara sengaja oleh Perkhidmatan Penjara Israel di penjara Gilboa Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan pada Selasa lalu.  

Suruhanjaya itu berkata bahawa Jerjawi, seorang penduduk Khan Yunis di Semenanjung Gaza, telah disahkan menghidap barah otak baru-baru ini dan perlu menjalani pembedahan segera.

Suruhanjaya itu juga menuduh Perkhidmatan Penjara Israel sengaja melengah-lengahkan kebenaran untuk Jerjawi menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa Jerjawi, yang berisiko akan kehilangan daya penglihatan dan keupayaan untuk menggerakkan sebelah tubuh badannya, mesti dipindahkan ke hospital secepat mungkin.

Suruhanjaya itu meletakkan tanggung jawab sepenuhnya nyawa Jerjawi ke atas Perkhidmatan Penjara Israel, serta nyawa semua warga Palestin yang sedang ditahan di penjara Israel dan sedang menghidapi penyakit barah, yang kini berhadapan dengan risiko lebih besar disebabkan wabak coronavirus serta ketiadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang penting.

Jerjawi telah ditahan pada Jun 2011 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul