Categories
Berita Semasa

Institusi, Tokoh, Gesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa Siasat Jenayah Israel

Isnin, 04-05-2020 – Lebih dari 180 gabungan, organisasi, dan tokoh hak asasi manusia Palestin serantau dan antarabangsa telah menggesa Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda, untuk menyiasat jenayah perang dan kezaliman terhadap kemanusiaan di Palestin yang dilakukan oleh Israel.

Dalam surat bersama kepada Ketua Pendakwa ICC berkenaan, pihak-pihak tersebut menyatakan sokongan mereka terhadap kesimpulan Pendakwa tersebut yang telah diserahkan ke Kamar Pra-Perbicaraan ICC.

“Memandangkan keadaan kekebalan yang semakin menjadi-jadi dan telah berleluasa lebih dari lima dekad di kawasan terjajah Palestin, kami menggesa supaya pelaku jenayah perang dan kejahatan terhadap kemanusiaan yang dilakukan di Palestin harus dibawa ke pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” menurut surat tersebut.

Pada 20 Disember 2019, setelah hampir lima tahun melalui proses siasatan awal, Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengemukakan permohonan kepada Kamar Pra-Perbicaraan untuk mendapatkan keputusan mengenai bidang kuasa Mahkamah tersebut di Palestin yang menunjukkan bahawa “jenayah perang telah atau sedang dilakukan di Tebing Barat, termasuk di timur Baitulmaqdis, dan Semenanjung Gaza”.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul