Masjid-masjid Gaza Dibuka Solat Jumaat Terakhir Ramadhan

Selasa, 19-5-2020 – Masjid-masjid di Semenanjung Gaza akan dibuka pada Jumaat depan untuk solat Jumaat terakhir pada bulan suci Ramadan, seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Susulan COVID-19 Gaza pada Ahad lalu.

Jawatankuasa itu mengatakan bahawa orang ramai akan dibenarkan menghadiri solat Jumaat di masjid tertakluk kepada beberapa langkah perlindungan tertentu yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik, orang tua, anak-anak dan sesiapa yang baru selesai mengasingkan diri setelah datang ke Semenanjung Gaza dari luar negeri diminta untuk tinggal di rumah.

Penduduk Semenanjung Gaza juga akan dibenarkan untuk menghadiri solat Aidil Fitri di masjid sambil mematuhi arahan yang sama.

Arahan tersebut pada dasarnya mengarahkan penjarakan sosial, pemakaian topeng pelindung, dan mengelakkan berjabat tangan. Para jemaah juga mesti membawa sejadah mereka sendiri.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Islam Gaza mengumumkan penutupan sepenuhnya semua masjid Semenanjung Gaza dalam usaha memerangi penyebaran coronavirus (COVID-19).

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul