
Isnin, 15-06-2020 – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada awalnya telah memutuskan untuk mengilhak tiga blok penempatan haram di Tebing Barat yang terjajah dan menunda pengilhakan Lembah Jordan dan kawasan Palestin yang lain, menurut para pegawai Israel pada hari Rabu.
Para pegawai berkenaan, yang bercakap kepada Zman Yisrael (laman sekutu The Times of Israel) dengan syarat tidak mahu nama mereka didedahkan, mengatakan bahawa Netanyahu akan menangguhkan kebanyakan pengilhakan dan akan hanya menumpukan perhatian pada blok-blok utama iaitu Ma’ale Adumim, Ariel dan Gush Etzion.
Ketiga-tiga blok pemukiman itu menempatkan hampir 80 peratus penduduk penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah.
Kerajaan Netanyahu merancang untuk mengadakan pemilihan kabinet bulan hadapan untuk mengilhak beberapa bahagian Tebing Barat, yang telah diduduki oleh Israel ketika perang Timur Tengah 1967.
Perdana menteri Israel itu telah berulang kali mengatakan dia akan mengilhak semua blok penempatan dan Lembah Jordan pada 1 Julai berdasarkan perjanjian dengan rakan pemerintahnya, Benny Gantz, ketua parti Biru dan Putih.
Awal minggu ini, Netanyahu memberitahu para pemimpin penempatan bahawa pengilhakan wilayah tanpa penempatan mungkin ditangguhkan dan tidak dapat disita buat masa ini.
Kawasan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis timur, dianggap wilayah yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa, maka menjadikan semua penempatan Yahudi di sana serta pengilhakan yang dirancang sebagai tidak sah.
Rancangan pengilhakan Israel yang diumumkan pada 28 Januari dilihat sebagai sebahagian dari “Perjanjian Abad Ini” oleh presiden AS Donald Trump. Ia merujuk kepada Baitulmaqdis yang terjajah sebagai “ibu negara Israel yang tidak berbelah bahagi” dan mengakui kedaulatan Israel ke atas sebahagian besar Tebing Barat.
Rancangan berkenaan membolehkan rakyat Palestin untuk mendirikan sebuah negara yang terpisah-pisah, dalam bentuk kepulauan yang terhubung melalui jambatan dan terowong.
Para pegawai Palestin mengatakan bahawa di bawah rancangan AS tersebut, Israel akan mengilhak 30-40 peratus Tebing Barat, termasuk keseluruhan Baitulmaqdis timur.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul