Categories
Berita Semasa

Tentera Laut Israel Serang Nelayan Berhampiran Pelaburan Gaza

Selasa, 25-8-2020 –  Pada hari Ahad lalu tentera laut rejim Zionis telah menyerang nelayan Palestin dan kapal mereka ketika mereka berada dalam jarak kurang dari sebatu nautika dari pantai barat pelabuhan Gaza.

Penyelaras kesatuan nelayan di Gaza, Zakariya Bakr mengatakan bahawa kapal perang Israel baru-baru ini telah meningkatkan pencerobohan mereka terhadap kapal nelayan dan melancarkan serangan ke atas mereka dalam lingkungan kurang dari satu batu nautika. Sebelum ini mereka sering menyerang mereka dalam lingkungan tiga batu nautika.

Bakr mengatakan bahawa penutupan laut Gaza oleh pihak Israel, yang telah berlanjutan untuk hari ketujuh berturut-turut, telah menjejas periuk nasi nelayan Gaza dan menambahkan penderitaan keluarga mereka.

Sebelum ketegangan terbaru di Gaza ini, tentera laut Israel juga sering menyerang dan mengganggu nelayan hampir setiap hari, tanpa apa-apa alasan.

Berdasarkan perjanjian Oslo 1993, nelayan Palestin diizinkan memancing dalam lingkungan 20 batu nautika dari pantai Gaza, tetapi semenjak itu Israel telah sedikit demi sedikit mengurangkan kawasan penangkapan ikan hingga ke lingkungan antara enam hingga tiga batu nautika.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul