
Selasa , 20-10-2020 – Tahanan Maher Al-Akhras, 49, dari Jenin meneruskan mogok lapar terbuka pada hari Ahad untuk hari ke-84 berturut-turut menolak penahanan pentadbirannya walaupun di ambang maut akibat kesihatan yang merosot.
Akhras dirawat di hospital Kaplan Israel dalam keadaan kesihatan yang sangat membimbangkan kerana dia mengalami keletihan dan tekanan yang teruk, sakit pada sendi, perut dan sakit kepala yang kerap di samping penurunan berat badan dan gangguan keseimbangan.
Dia juga tidak dapat bergerak, kehilangan banyak cecair dan garam. Deria pendengaran dan pertuturannya terjejas. Doktor memberi amaran akan kerosakan pada beberapa organ tubuh Akhras, seperti ginjal, hati dan jantung, dan berisiko mati secara tiba-tiba.
Organisasi hak asasi manusia dan parti politik Palestin memberi amaran bahawa Akhras akan mati bila-bila masa kerana dia memasuki tahap membahayakan nyawa.
Akhras berkata, “Saya komited dengan keputusan saya dan hanya akan makan makanan di rumah saya, dan saya tidak akan melanggar kehendak saya. Saya sekarang di Hospital Kaplan, saya tidak minum apa-apa kecuali air, dan saya akan terus melakukannya sehingga saya kembali ke rumah saya. “
Pada 12 Oktober 2020, mahkamah Israel telah menolak lagi permintaan pembebasan segera yang dikemukakan oleh peguamnya. Mahkamah mengemukakan cadangan yang menunjukkan kemungkinan melanjutkan penahanan pentadbirannya dan tidak memperbaharuinya dengan syarat menghentikan mogoknya. Akhras menolak cadangan ini dan menyatakan bahawa dia akan meneruskan perjuangannya hingga kebebasannya.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ameen