Categories
Berita Semasa

Haneyya Desak Biden Perbetulkan Keputusan Tidak Adil Terhadap Palestin

Selasa, 10-11-2020 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya pada hari Sabtu lalu telah meminta presiden dipilih Amerika Syarikat John Biden untuk memperbetulkan hala tuju politik yang tidak adil yang telah diambil oleh pentadbiran sebelumnya terhadap rakyat Palestin, terutama berkaitan dengan perjanjian abad ini.

“Dasar AS yang tidak adil telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai sekutu dalam ketidakadilan dan keganasan [Israel], merosakkan kestabilan wilayah dan dunia, dan melumpuhkan kemampuan AS untuk menjadi pemain utama dalam menyelesaikan konflik,” kata Haneyya dalam suatu kenyataan.

“Rakyat Palestin telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu disebabkan ketidakadilan pentadbiran Amerika yang menyokong rejim Zionis, tetapi presiden Trump dan pemerintahannya adalah yang paling melampau dalam sokongan kepada Zionis dengan mengorbankan hak nasional Palestin,” tegas ketua politik Hamas tersebut.

Beliau mendesak agar pemerintah yang telah terpilih menolak perjanjian abad ini oleh presiden Donald Trump dan membatalkan pengiktirafannya terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel serta keputusannya yang menyebabkan penempatan semula kedutaan AS ke kota suci.

Beliau juga menggesa agar keputusan Trump mengenai isu pelarian Palestin dan penggantungan sokongan kewangan AS untuk UNRWA turut dibatalkan.

Haneyya juga meminta pemerintahan AS yang baharu untuk menghormati kehendak rakyat Palestin, dan menghormati pilihan demokratik mereka serta perjuangan nasional mereka dan untuk tidak memaksa negara-negara serantau untuk memulihkan hubungan mereka dengan Israel.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul