
Jumaat, 27-11-2020 – Berpuluh-puluh warga Palestin terdedah kepada gas pemedih mata ketika rejim Zionis menggunakan kekerasan melampau untuk menghalang perarakan damai yang diadakan di Lembah Jordan utara sebagai bantahan terhadap kegiatan penempatan pada hari Selasa lalu.
Menurut sumber tempatan, rejim Zionis menghalang sekumpulan penunjuk perasaan Palestin untuk bergerak ke desa Hamsa al-Fawqa, di mana kegiatan perobohan berlaku pada awal November lalu dan menghujani mereka dengan gas pemedih mata.
Rejim Zionis juga melepaskan peluru hidup dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan dan menyerang mereka ketika mereka sampai di kawasan berhampiran pusat pemeriksaan tentera al-Tayaseer di Lembah Jordan utara.
Akibatnya, ramai penunjuk perasaan tersedut gas pemedih mata dan lima yang lain cedera apabila tabung gas pemedih mata terkena tepat kepada mereka.
Beberapa wartawan juga diserang dengan gas pemedih mata dan dihalang untuk membuat liputan peristiwa tersebut.
Para peserta dalam perarakan tersebut datang dari beberapa kawasan berlainan di sekitar Tebing Barat dan cuba untuk sampai ke Hamsa al-Fawqa, yang telah dimusnahkan oleh tentera Israel tiga minggu lalu.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul