Categories
Berita Semasa

Lebih 100 Peneroka Haram Cemar Masjid Al-Aqsa

Isnin, 07-12-2020 – Berpuluh-puluh peneroka haram Yahudi telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang diduduki pada pagi Khamis lalu.

Menurut sumber tempatan, sekurang-kurangnya 103 peneroka haram yang dikawal oleh pasukan polis memasuki Masjid melalui Pintu al-Maghariba secara berkumpulan dan mengelilingi halamannya.

Semasa lawatan tersebut, beberapa kumpulan peneroka haram dilaporkan melakukan upacara keagamaan Yahudi yang provokatif.

Pegawai polis juga memaksa para jemaah Islam meninggalkan kawasan timur Masjid dan ruang solat Bab al-Rahma semasa lawatan peneroka tersebut.

Setiap hari Masjid Al-Aqsa terdedah kepada pencemaran oleh peneroka haram Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.

Polis Israel menutup Pintu al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki Masjid, pada pukul 10:30 pagi setelah para peneroka haram menyelesaikan lawatan pagi mereka di tempat suci itu. Pada sebelah petang, pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan petang oleh peneroka haram.

Semasa kehadiran peneroka di perkarangan Masjid, sekatan masuk dikenakan ke atas jemaah Muslim di pintu masuk yang menuju ke Masjid dan kad pengenalan mereka dirampas sehingga mereka meninggalkan tempat suci berkenaan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul