
Isnin, 21-12-2020 – Aktivis al-Quds, Abdul Karim Abu Sneina, anggota Jawatankuasa kampung Wadi Rababa, mengatakan bahawa penjajah Israel sedang merancang membangunkan kampung penempatan bagi orang Yahudi Perancis di bahagian utara kampung Wadi Rababa, di Silwan, al-Quds.
Abu Sneina menyatakan bahawa penjajah Israel telah menyiapkan infrastruktur yang diperlukan untuk tujuan ini di wilayah tersebut.
Beliau memperingatkan bahawa tindakan tersebut merupakan langkah awal untuk mengubahnya menjadi penempatan Yahudi, seperti yang terjadi dengan 11 penempatan di wilayah yang diduduki penjajah Israel sejak tahun 1967. Ketika itu penjajah Israel mendirikan penempatan Givat Ze’ev, Gilo, Ma’aleh Adumim dan Jabal Abu Ghneim di tanah yang disita oleh pihak Otoriti Perlindungan Alam Israel dengan alasan bahawa daerah tersebut adalah kawasan hijau.
Aktivis Al-Quds ini menyatakan bahawa pada tahun 1996 seramai 4 orang peguam Israel yang bekerja dengan pemerintah kota penjajah Israel di al-Quds memaksa warga Palestin membayar denda kerana dianggap melanggar peraturan. Namun hari ini jumlah mereka meningkat kepada antara 40-50 orang peguam. Beliau menyatakan bahawa wang denda yang dikenakan pada warga al-Quds mengalir ke kantong-kantong pemerintah kota penjajah Israel.
Abu Sneina menjelaskan bahawa pembelaan warga al-Quds untuk mempertahankan hak-hak mereka sudah berlangsung selama lebih dari setengah abad.
sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : Osman