
Selasa, 22-12-2020 – Gerakan Hamas telah menegaskan kedudukan tinggi orang Kristian di Semenanjung Gaza, dengan menyifatkan bahawa mereka adalah teras struktur nasional.
“Kami bangga dengan hubungan bersejarah antara rakyat Palestin dari orang Kristian dan Islam,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum dalam suatu siaran akhbar.
“Mereka adalah teras struktur nasional … Kita telah bersama-sama membina sejarah dan tamadun untuk orang-orang ini dan kita telah bersama-sama membayar harga untuk akar umbi kita di tanah yang diberkati ini selama bertahun-tahun perjuangan getir rakyat kita menentang penjajahan Israel,” Barhoum menambah.
Kenyataan oleh Hamas ini dikeluarkan setelah beberapa laman web dan laman media sosial menimbulkan kecurigaan mengenai kedudukan Kementerian Awqaf Palestin di Gaza terhadap warga Kristian.
Sebagai tindak balas, Kementerian Awqaf menjelaskan kedudukannya dalam hal ini, dengan mengatakan bahawa orang Kristian di Palestin, terutama di Gaza, adalah rakan seperjuangan di tanah air mereka.
“Mereka berhak untuk mengadakan upacara keagamaan mereka sendiri dan tidak dibenarkan sesiapa sahaja menyinggung perasaan atau menghalang mereka. Pemerintah menjamin pelaksanaan upacara mereka dan memberikan perlindungan untuk gereja dan tempat perayaan mereka, ”kata Kementerian.
Ia menegaskan bahawa komunikasi dalamannya sama sekali tidak kena-mengena dengan orang Kristian yang mengadakan acara, festival dan ritual mereka, dan ia adalah berkaitan membimbing umat Islam tentang undang-undang Syariah mengenai penyertaan dalam acara keagamaan orang bukan Islam.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul