Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Tahan Beberapa Rakyat Palestin di Tebing Barat, Baitulmaqdis

Isnin, 01-02-2021 – Pada awal pagi Selasa lalu, rejim Zionis telah melancarkan kempen penahanan di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Pertembungan telah meletus dan beberapa warga Palestin mengalami kesukaran bernafas.

Di Bethlehem, sumber tempatan melaporkan bahawa rejim Zionis telah menahan seorang kanak-kanak lelaki Qusay Ali Taqatqa, 16, dari bandar Beit Fajar setelah menyerbu dan menggeledah rumah keluarganya.

Di Tulkarem, saksi menyatakan bahawa tentera Zionis telah menahan Muhammad Abu Sabil dari kem pelarian Tulkarem dan Fadi al-Jabawi dan Uday Kassab dari kem pelarian Nour Shams setelah mereka memecah masuk dan menggeledah kediaman mereka.

Rejim Zionis juga menahan Muhammad Hashash setelah menyerbu kem pelarian Balata, di sebelah timur Nablus.

Sementara itu, puluhan tentera rejim Zionis telah memecah masuk rumah warga di kem pelarian Jenin, dan telah memeriksa mereka serta menahan tiga orang rakyat Palestin.

Di Qalqilya, rejim Zionis menahan Abd al-Rahman Hijjawi dan bekas banduan, Abdullah Walwil dan Qasim Suway. Suwaym yang telah dibebaskan hanya beberapa bulan yang lalu, merupakan saudara lelaki kepada dua orang yang telah syahid.

Rejim Zionis telah menyerbu bandar Tubas di mana pertempuran berlaku. 14 orang awam Palestin mengalami masalah pernafasan kerana terhidu gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak tentera. Rejim Zionis juga menyerbu kota Tayasir yang berdekatan.

Baitulmaqdis Yang Diduduki telah menyaksikan kempen penangkapan besar-besaran yang tertumpu di kem pelarian Shu’fat. Lebih daripada sembilan orang rakyat Palestin telah ditahan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul