Categories
Berita Semasa

Hamas Sambut Baik Keputusan ICC Untuk Menyiasat Jenayah Perang di Palestin

Rabu , 10-03-2021 – Gerakan Hamas pada hari Rabu lalu menyambut baik keputusan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membuka siasatan rasmi terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin yang dijajah.

“Keputusan berani ini adalah langkah penting untuk mencapai keadilan bagi rakyat kami dan menghukum para pemimpin penjajah atas kejahatan mereka,” kata jurucakap Hamas Hazem Qasem dalam kenyataan media pada hari Rabu.

Qasem mendesak ICC untuk menolak sebarang tekanan yang berkemungkinan menghalangnya daripada menyelesaikan misinya.

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, pendakwa ICC Fatou Bensouda mengumumkan pelancaran siasatan ini dan mengatakan bahawa ia akan dilakukan “secara bebas, tidak berat sebelah dan objektif, tanpa rasa takut atau pilih kasih.”

“Hari ini, saya mengesahkan pelancaran siasatan oleh pejabat pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mengambil kira keadaan di Palestin,” kata Bensouda, dan turut menambah bahawa ICC secara khusus akan menyiasat tuduhan sejak 13 Jun 2014 tersebut.

Dalam hal ini, pentadbiran AS telah mengulangi pendiriannya menyokong Israel tanpa berbelah-bahagi dan mengumumkan tentangannya terhadap siasatan ICC tersebut.

“Amerika Syarikat menentang sekeras-kerasnya dan sangat kecewa dengan keputusan ini. ICC tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal ini,” kata setiausaha negara AS Antony Blinken. “Kami akan terus mempertahankan komitmen kami terhadap Israel dan keselamatannya.”

Dia mendakwa bahawa “rakyat Palestin tidak memenuhi syarat sebagai sebuah negara berdaulat, maka ia tidak memenuhi syarat untuk memperoleh keanggotaan sebagai sebuah negara, menglibatkan diri sebagai sebuah negara, atau mewakilkan bidang kuasa ke ICC.”

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul