Pegawai Hamas Antara Yang Diculik Rejim Zionis di Tebing Barat

Rabu, 14-04-2021 – Rejim Zionis malam tadi dan pada awal pagi Isnin telah menculik beberapa warga Palestin, termasuk beberapa orang pegawai Hamas, dalam kempen penangkapan besar-besaran di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Menurut sumber tempatan, rejim Zionis menyerbu pelbagai kawasan di al-Khalil pada waktu subuh dan menculik tiga pegawai Hamas dari rumah mereka. Yang ditahan dikenali sebagai Anas Rasras, Omar al-Qawasmi dan Mustafa Shawar.

Rejim Zionis juga telah menculik seorang pemuda yang dikenali sebagai Mohamed Abu Mariya dari bandar Beit Ummar di utara al-Khalil. Ayahnya Wahid Abu Mariya telah dibebaskan dua hari yang lalu.

Di Jenin, rejim Zionis menculik seorang aktivis wanita dan bekas tahanan bernama Mona Qa’dan setelah menggeledah rumahnya di bandar Arraba.

Qa’dan telah ditangkap lima kali sebelum ini dan menghabiskan tujuh tahun di penjara Israel yang berbeza.

Sementara itu, dua lelaki bersaudara yang dikenali sebagai Hammouda dan Ramez as-Sameer ditahan ketika serbuan rejim Zionis di rumah mereka di Bandar Jenin.

Di Bethlehem, rejim Zionis menculik seorang bekas tahanan bernama Hammad Abu Mariya di persimpangan Container di timur laut bandar.

10 bekas tahanan muda yang lain ditawan semasa kempen rejim Zionis di bandar Teqoa di selatan Bethlehem. Kesemua mereka berasal dari keluarga al-Amour.

Di Ramallah, rejim Zionis menyerbu kediaman di bandar Deir Jarir dan menculik seorang pemuda bernama Mahmoud Maali dan seorang lagi warganegara bernama Abdul-Aleem Alawi, bapa tahanan Maan yang diculik kira-kira satu minggu yang lalu.

Rejim Zionis juga menyerbu kawasan Tebing Barat yang lain, tanpa penangkapan yang dilaporkan.

Di Baitulmaqdis, pegawai keselamatan berpakaian biasa Israel menculik Adam Qara’in yang berusia 18 tahun setelah memukulnya dengan teruk di kejiranan Ras al-Amud di daerah Silwan.

Tiga pemuda lain juga diculik oleh pasukan polis dari kediaman mereka di kejiranan at-Tur di Baitulmaqdis timur.

Dalam kejadian yang berasingan, seorang warganegara dari Gaza ditahan oleh rejim Zionis setelah dia didakwa cuba menyusup masuk ke Israel.

Tentera Zionis Israel mendakwa bahawa pasukannya di utara Gaza telah menahan seorang warga Palestin yang tidak bersenjata selama beberapa jam dan telah membebaskannya setelah disoal siasat.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul