Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Robohkan 13 Kediaman di Qabalan, Rampas Karavan di Susiya

Selasa,27-04-2021 – Selasa lalu rejim Zionis telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan serta untuk merobohkan 13 rumah kediaman di bandar Qabalan, selatan Nablus.

Ghassan Daghlas, seorang pegawai yang memantau kegiatan penempatan di Tebing Barat utara, menyatakan bahawa rejim Zionis telah menyerbu kota itu dan menyampaikan notis arahan menghentikan kerja-kerja pembinaan dan untuk merobohkan 13 rumah kediaman yang terletak di sebelah utara bandar.

Tentera Zionis mendakwa bahawa bangunan-bangunan ini terletak di dalam kawasan yang diklasifikasikan (C) dan adalah tidak berlesen, menurut Daghlas.

Beliau menambah bahawa beberapa rumah kediaman tersebut sudah berpenghuni manakala beberapa yang lain berada di peringkat akhir pembinaan.

Dalam perkembangan yang berasingan, Jihad Al-Nawajah, ketua Majlis Kampung Susiya, mengesahkan bahawa rejim Zionis telah merampas dua karavan di daerah Wadi Al-Rakhim di kampung berkenaan, di sebelah timur Yatta di al-Khalil.

Nawajah menyatakan bahawa salah satu karavan tersebut digunakan sebagai tempat tinggal sementara yang sebuah lagi digunakan sebagai tempat simpanan makanan haiwan ternakan. Kedua-duanya dirampas dengan alasan bahawa mereka berada di kawasan (C).

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul