Categories
Berita Semasa

Haneyya: Tiada Keamanan Jika Israel Meneruskan Keganasan di Baitulmaqdis

Jumaat,30-04-2021 – Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya telah memberi peringatan bahawa tidak akan ada keamanan jika negara pendudukan Israel meneruskan tindakan ganasnya di Baitulmaqdis Yang Diduduki, sambil menegaskan bahawa pemberontakan Palestin akan berlanjutan.

Dalam sebuah pertemuan maya, Haneyya mengatakan bahawa pihak penentang Palestin di Gaza tidak akan membiarkan Baitulmaqdis bersendirian menghadapi pencerobohan Israel dan akan sentiasa bersedia melindungi rakyatnya.

Beliau memuji para pemuda Baitulmaqdis kerana telah memaksa peneroka dan pasukan polis Yahudi untuk meninggalkan dataran dan kawasan pejalan kaki Bab al-Amud dan mempertahankan identiti kota suci Islam itu.

Pemimpin Hamas tersebut menyatakan kepercayaannya bahawa tindakan peneroka baru-baru ini di Baitulmaqdis, terutama di Bab al-Amud, adalah sebahagian daripada usaha untuk mengambil alih Masjid Al-Aqsa dan mengyahudikan kota suci tersebut.

“Apa yang telah terjadi di Baitulmaqdis dan jalanannya adalah sebahagian dari polisi [Israel] untuk merobohkan rumah-rumah kediaman dan rancangan untuk membahagi ruang dan masa Masjid Al-Aqsa dan mencegah orang-orang kami untuk sampai ke sana,” kata Haneyya.

Beliau menjelaskan bahawa Baitulmaqdis bukan milik rakyat Palestin sahaja tetapi untuk seluruh negara Arab dan Muslim, sambil menggambarkan kota suci itu sebagai “titik pusat konflik” dengan penjajahan Israel.

Dia menggesa negara-negara Arab dan Muslim untuk bersedia menyokong dan bersatu dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mempertahankan Baitulmaqdis dan tanah mereka.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul