Mishaal: Israel Mulakan Keganasan dan Mesti Berundur

Ahad,16-05-2021 – Khaled Mishaal, pemimpin luar negeri Hamas, menegaskan pada hari Khamis lalu bahawa rejim Zionis yang memulakan pencerobohan harus mundur dan menghentikan pencabulannya.

Mishaal mengesahkan bahawa rakyat Palestin sedang membela diri mereka sendiri dan mereka telah meningkatkan tentangan mereka kerana desakan pihak penjajah untuk meneruskan kejahatan mereka dengan menyerang Al-Aqsa dan rancangannya untuk mengusir penduduk di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Yang Diduduki.

Bercakap mengenai apa yang diperlukan untuk mengakhiri keganasan tersebut, dia berkata, “Biarkan pihak penjajah mengundur diri dari Masjid Al-Aqsa, menghalang peneroka daripada mendekatinya, mencegah gangguan terhadap Kota Lama dan gerbangnya, menghentikan usaha mengusir penduduk Sheikh Jarrah, menghentikan keganasan di Gaza, dan membebaskan tahanan yang ditahan semasa pertempuran baru-baru ini. “

Pemimpin Hamas berkenaan menekankan bahawa rakyat Palestin di Gaza, Baitulmaqdis, Tebing Barat dan tanah 1948 yang diduduki adalah satu umat. “Kami berada di bawah penjajahan dan sekatan dan setiap orang yang berada di bawah penjajahan berhak untuk menentang”, katanya.

Mengenai usaha yang dilakukan untuk meredakan situasi, Mishaal mengatakan bahawa ada usaha oleh Mesir, Qatar, Turki dan pentadbiran AS dengan sekutunya dan Rusia, dan usaha ini dihargai.

Dia mengakhiri dengan menyatakan penghargaan atas sokongan negara-negara Arab dan Islam kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul