Categories
Berita Semasa

Berpuluh-puluh Rakyat Palestin Ditahan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis

Rabu,26-05-2021 – Rejim Zionis telah melancarkan kempen penangkapan di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan lain-lain kawasan di sekitar “Tanah 1948” pada hari Ahad malam dan subuh Isnin lalu. Di Baitulmaqdis Yang Diduduki, polis Israel melancarkan kempen penangkapan di pelbagai tempat berbeza di kota suci berkenaan dan telah menahan 18 orang awam.

Pegawai perisik rejim Zionis telah menyerbu rumah Malik Asila di Kota Lama Baitulmaqdis, merosakkan isi kandungan rumah dan menyerahkan saman kepadanya.

Di Nablus, rejim Zionis menyerbu desa Til dalam usaha kali ketiga untuk menangkap calon senarai “Baitulmaqdis Menyatukan Kita”, Imad Rayhan. Sementara itu, Moaz Rayhan ditahan dan kemudiannya dibebaskan setelah disiasat di lapangan serta ditahan untuk beberapa jam.

Di Qalqilya, rejim Zionis telah menahan Mustafa Mansour setelah menceroboh masuk kota Azzun, sebelah timur Qalqilya, dan menggeledah rumahnya. Di Ramallah, tentera rejim Zionis menahan Musab Al-Barghouti dari bandar Kober dan Ahmed Raafat dari Dura Al-Qara setelah menyerbu dan menggeladah rumah keluarga mereka.

Rejim Zionis juga menyerbu kota Al-Mazra’a Al-Sharqiya dan Bil’in. Di al-Khalil, rejim Zionis menahan Saeed Asafra dari bandar Beit Kahil, di sebelah barat al-Khalil.

Di Bethlehem, rejim Zionis menyerbu bandar Beit Fajar dan menahan Khattab Thawabata, 24, yang baru sahaja menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu, Saoud Thawabata, 30, dan bekas tahanan yang cedera, Mahmoud Blue, 25, setelah menyerbu dan menggeladah rumah keluarga mereka.

Tentera rejim Zionis menahan pemuda bernama Muhammad Abu al-Tin setelah mereka menyerbu dan menggeledah kediamannya di kampung Al-Walaja, sebelah barat Betlehem.

Polis Israel sebelumnya mengumumkan niat mereka untuk menjalankan kempen penangkapan besar-besaran yang mensasarkan 500 orang Palestin dari wilayah dijajah 1948 yang telah turut serta dalam perarakan tunjuk perasaan.

Aktivis Palestin meminta orang ramai dari Tanah 1948, Tebing Barat dan Baitulmaqdis untuk mengisytiharkan keadaan darurat untuk menggagalkan rancangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul