
Rabu,02-06-2021 – Pada malam Ahad dan subuh Isnin lalu rejim Zionis telah menahan beberapa rakyat tempatan, termasuk tahanan yang telah dibebaskan, di pelbagai kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Di Al-Khalil, rejim Zionis menahan bekas tahanan, Baha Zahdeh, 41, setelah menyerbu kediamannya di kawasan Al-Haraiq dan menggeledah banyak rumah kediaman keluarga Zahida dan Dais.
Rejim Zionis juga telah menahan tahanan yang telah dibebaskan, Ismail Al-Nattah, setelah menyerbu kediamannya di bandar Idna, di sebelah barat al-Khalil. Nattah dibebaskan dari penjara Israel hanya dua bulan yang lalu.
Tentera Zionis juga menyerbu beberapa kawasan di Al-Khalil dan mendirikan pusat pemeriksaan tentera di pintu masuk ke kota Sa`ir dan Halhul dan di pintu masuk utara bandar. Kenderaan warga awam digeledah dan kad pengenalan mereka diperiksa.
Di Bethlehem, rejim Zionis telah menahan seorang remaja lelaki Hamza Al-Harimi, 17, setelah menyerbu, menggeledah dan mengacau kandungan rumah keluarganya di daerah Wadi Maali.
Di Ramallah, rejim Zionis menangkap Muhammad Atta dan bekas tahanan, Mahmoud Safi, ketika serbuan di kampung Deir Abu Mishaal, di sebelah barat Ramallah.
Tentera Zionis menangkap Omar Abu Ruwais dan Muhammad Abu Ghazaleh setelah menyerbu kem pelarian Al-Amari berhampiran bandar Al-Bireh.
Di Nablus, rejim Zionis menahan Abdel Rahman Dashon setelah menyerbu dan menggeledah rumahnya.
Sejumlah besar tentera Zionis telah masuk ke perkampungan Burin, di selatan Nablus, dan bandar Aqraba, tenggara kota, dan menggeledah kediaman Riad Lafi.
Sementara itu, Yusef Khatatbeh, 40, dari Khirbet Tana di bandar Beit Furik, timur Nablus, cedera setelah diserang oleh para peneroka haram.
Di Baitulmaqdis Yang Diduduki dan sekitarnya, polis Israel menangkap Abdullah al-Sayyad dari kampung al-Tur dan Jamal Abu Khdeir dari Shu’fat, di utara kota tersebut.
Kamera keselamatan di kampung Ar’ara, di Palestin (Israel) 1948, merakamkan serangan ganas oleh polis Israel terhadap warga tempatan.
Polis juga melakukan kempen penangkapan besar-besaran di kampung Kafr Kanna.
Sumber tempatan mengatakan bahawa polis Israel telah menangkap enam pemuda, termasuk yang cedera, Wajdi Hamdan, ketika kempen penangkapan yang sedang berlangsung di kampung itu.
Jawatankuasa Darurat Arab di Wilayah Terjajah 1948 mengatakan bahawa pihaknya telah memantau lebih dari 2,200 penangkapan dan 300 kes serangan terhadap penduduk Arab atau harta benda mereka semasa kejadian baru-baru ini.
Jawatankuasa berkenaan juga memberitahu bahwa sejak awal kempen yang kononnya dipanggil “Law and Order” atau “Undang-undang dan Ketenteraman”, hampir 100 orang warga Arab ditahan setiap hari.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul