
Selasa,15-06-2021 – Ribuan orang telah menghadiri perarakan solidariti pro-Palestin di London, untuk menggesa para pemimpin negara G7 yang kini bermesyuarat di barat daya England untuk menyokong hak-hak rakyat Palestin dan membatalkan perjanjian senjata dengan Israel.
Sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan “Tolak G7: Hari Bertindak Untuk Keadilan Antarabangsa”, para penunjuk perasaan pada hari Sabtu lalu telah menuju ke kediaman rasmi perdana menteri Borris Johnson di Downing Street, serta melaungkan slogan dan membawa papan sepanduk sebagai bantahan terhadap tindakan agresif Israel ke atas rakyat Palestin di wilayah yang dijajah.
Menurut laman web al-Jazeera, para penunjuk perasaan menuntut agar dihentikan apa yang mereka sifatkan sebagai keterlibatan dalam jenayah perang Israel terhadap Palestin oleh Britain dan negara-negara G7 yang lain.
Bekas pemimpin parti Buruh Jeremy Corbyn menghadiri perarakan tersebut dan memberi ucapan kepada orang ramai.
“Hadir di tunjuk perasaan Keadilan Untuk Palestin di London hari ini, juga menggesa hentikan jualan senjata,” ciap Corbyn di Twitter.
“Senjata buatan Inggeris membunuh orang awam – termasuk kanak-kanak – dalam konflik di luar negara. Ini mesti dihentikan,” katanya.
Semasa tunjuk perasaan tersebut, Raghad al-Takriti, ketua Persatuan Muslim Britain, mengatakan bahawa pesanan kepada para pemimpin G7 adalah “jelas.”
“Ini untuk menegakkan undang-undang antarabangsa. Ini adalah kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa,” kata al-Takriti kepada al Jazeera.
“Sudah tiba masanya para pemimpin ini berbincang mengenai penguatkuasaan, untuk mengakhiri kepungan di Gaza … dan untuk menghentikan keterlibatan mereka, perjanjian senjata mereka dengan Israel,” katanya.
Antara kumpulan yang mengambil bahagian adalah Sahabat Al-Aqsa dan Kempen Solidariti Palestin (PSC), yang menganggarkan kira-kira 8,000 orang hadir di luar Downing Street untuk menuntut keadilan bagi rakyat Palestin.
Dalam satu pernyataan, PSC mengatakan: “Semua pemerintah memiliki kewajiban untuk mengakhiri keterlibatan mereka dan membantu menghancurkan apartheid. Daripada membantu dan bersubahat dengan peraturan perkauman Israel terhadap rakyat Palestin, G7 harus mengakhiri semua kerjasama keselamatan ketenteraan dengan Israel, dan mengenakan sekatan bersasar sehinggalah Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul