Categories
Berita Semasa

Pertembungan Baru Antara Belia Tempatan dan Rejim Zionis di Bandar Beita

Khamis,17-06-2021 – Suatu pertempuran ganas yang baharu telah berlaku pada Isnin malam antara berpuluh-puluh pemuda Palestin dengan pasukan rejim Zionis berhampiran Gunung Sobeih di bandar Beita, selatan Nablus.

Menurut sumber tempatan, rejim Zionis telah melepaskan peluru getah dan tembakan gas pemedih mata dan bom tangan ke arah para pemuda tersebut.

Semasa kejadian, banyak pokok zaitun di daerah itu telah terbakar akibat tembakan gas pemedih mata dan bom tangan yang bertubi-tubi.

Sementara itu, sejumlah penduduk Yahudi yang menaiki bas berpusu-pusu menuju ke Gunung Sobeih di bawah perlindungan tentera atas alasan melakukan upacara dan mengadakan perayaan.

Selama beberapa minggu, para pemuda tempatan dari kota Beita dan daerah-daerah lain di Nablus mula menganjurkan acara tunjuk perasaan setiap malam sebagai bentuk bantahan terhadap penjajahan Israel dan para peneroka, yang telah menubuhkan sebuah pos tentera di Gunung Sobeih.

Semasa acara itu berlangsung, para pemuda membakar tayar, menggunakan pembesar suara untuk memainkan slogan agama, lagu kebangsaan dan siren, serta memancarkan sinaran laser dan lampu suluh ke arah peneroka yang berada di kawasan gunung.

Penganjur mengatakan bahawa perhimpunan waktu malam itu bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan peneroka dan memaksa mereka meninggalkan kawasan itu.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul