Categories
Berita Semasa

Hamas Keluarkan Kenyataan Tegas Kepada Israel.

Isnin, 28-06-2021 – Pada hari Selasa lepas, Gerakan Hamas telah mengeluarkan kenyataan yang tegas mengenai sekatan Israel yang sedang berlangsung di Semenanjung Gaza dan kedudukan PBB dalam hal ini berikutan pertemuan yang diadakan dengan pemimpin puak-puak penentang Palestin.

Dalam pernyataannya, kepemimpinan Hamas yang dipimpin oleh Yehya as-Sinwar memberi amaran kepada negara pendudukan Israel dan sekutunya tentang sebarang kelewatan dalam mengakhiri sekatan di Gaza dan menghormati apa yang telah dipersetujui dalam hal ini atau sebarang usaha untuk menghalang proses pembinaan semula.

“Rakyat kami dan perjuangan kami sama sekali tidak akan berdiam diri dan para musuh akan nampak bahawa kami sudah bersedia menghadapai sebarang kemungkinan dan akan memberi tentangan dengan apa sahaja cara yang kami miliki,” tegas Hamas.

“Pihak musuh tidak akan berjaya dalam polisi mereka yang menggunakan peras ugut dan paksaan, dan kami tidak akan membenarkan percubaan untuk menekan rakyat kami atau mencampurkan fail,” kata Hamas, sambil menambah bahawa “tahanan berkenaan ditukar dengan tahanan.”

Kenyataannya juga mengecam keras PBB kerana bersekutu dengan penjajahan Israel dengan mengecualikannya daripada senarai hitam dan mengkritik pendirian perutusan keamanan PBB yang memberikan sokongan kepada Israel.

“PBB adalah organisasi politik dan kemanusiaan antarabangsa yang bertanggungjawab untuk mencapai perdamaian dan menolong mereka yang berada di bawah penjajahan dan tidak bersekongkol dan menyokong kuasa penjajah terhadap orang-orang yang tidak berdaya yang mengalami berbagai bentuk pemerasan dan pengepungan.” Hamas menjelaskan.

Kenyataan itu meminta Setiausaha Agung PBB untuk berdiri bersama rakyat Palestin, menguatkuasakan berpuluh-puluh resolusi antarabangsa yang menyebelahi mereka, dan berusaha untuk mewajibkan Israel, sebagai kuasa penjajah, untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul